Penunggang remaja maut – Sinar Harian


Penunggang remaja maut

SAPINAH AB GHANI & ROSALWANI CHE SOH
14 November 2012
Penunggang remaja maut
Keadaan Proton Waja yang terlibat dalam kemalangan itu dan mayat Muhammad Hakim ditutup orang ramai sementara menunggu untuk dihantar ke HUSM. -FOTO: KHIRU SHALEH ABDULLAH

KOTA BHARU – Seorang sukarelawan Muktamar Tahunan Pas ke-58 maut di tempat kejadian apabila mangsa melambung selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh Proton Waja di Panchor, Pengkalan Chepa di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, motosikal ditunggangi Muhammad Hakim Mat Jid, 15, dari Kemumin dipercayai dipandu laju dan gagal dikawal sebelum terbabas dan merempuh kereta yang dipandu Wan Hassan Wan Ismail, 50.

Mangsa yang juga merupakan pelajar Maahad Tahfiz Darul Anuar, Pulau Melaka maut di tempat kejadian dipercayai cedera teruk di bahagian kepala.

Rakannya, Zafri Ahmad, 15, berkata, sebelum kejadian mangsa menaiki motosikal secara berkumpulan dengannya dalam perjalanan pulang ke asrama selepas selesai membuat persiapan muktamar di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik).

Menurutnya, dia menyedari kejadian menimpa Hakim setelah berpatah balik ke Jalan Kemumin untuk mencarinya apabila mendapati mangsa tidak berada dalam kumpulan sama selepas kira-kira beberapa minit menunggu di jambatan Pak Nik Lah.

“Setelah lama menunggu saya mengambil keputusan untuk mencarinya dan saya terkejut apabila sampai di tempat kejadian saya melihat tubuh Hakim terbaring kaku, “katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Zafri berkata, kali terakhir berjumpa Hakim ketika sama-sama bertugas di Putik dan arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan akan meninggalkan mereka semua.

Dalam pada itu, Wan Hassan yang dalam perjalanan dari Pengkalan Datu ke Padang Tembak berkata, ketika tiba di tempat kejadian, dia melihat mangsa seolah-olah ingin membelok sebelum merempuh kereta dipandunya.

Menurutnya, sebaik keluar dari keretanya dia mendapati mangsa yang tercampak kira- kira tiga meter di sebelah kiri dari kenderaannya sudah tidak bernyawa.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Abd Rafar berkata, kejadian berlaku di Jalan Panchor berhampiran Jambatan Pok Nik Lah,
Kampung Petani, Sering melibatkan motosikal jenis Wave dan Proton Waja.

Katanya, mangsa dipercayai cuba memotong di garisan berkembar dan masuk ke laluan bertentangan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia untuk bedah siasat,” katanya.

Tragedi menjelang Tahun Baru 2012 – Utusan


Tragedi menjelang Tahun Baru 2012

 

Oleh AMIZUL TUNIZAR
AHMAD TERMIZI
pengarang@utusan.com.my

 

Salah sebuah kereta yang terlibat dalam nahas di Kilometer 9.6, Jalan Sitiawan-Teluk Intan dekat Lekir, Seri Manjung, Lumut, semalam.

 

LUMUT 1 Jan. – Ketika seluruh masyarakat menantikan detik menyambut Tahun Baru 2012, satu nahas ngeri meragut nyawa tujuh remaja termasuk dua beradik berlaku di Kilometer 9.6, Jalan Sitiawan-Teluk Intan dekat Lekir, Seri Manjung malam tadi.

Nahas pada pukul 10.30 malam itu melibatkan dua buah kereta iaitu Honda Stream dan Honda Civic dengan sebuah treler membawa muatan tong gas memasak LPG.

Mereka yang maut ialah enam penumpang Honda Stream iaitu Mohamad Kamil Samsuri, 15; Mohamad Shadan Mohd. Arshad, 15; Mohamad Hadi Sulaiman, 17 dan abangnya, Badrul Isa Sulaiman, 19.

Kesemuanya dari Batu 15 Lekir, Sitiawan dekat sini.

Turut terkorban ialah Ahmad Faizal Mohd. Termizi, 15, dari Kampung Parit Haji Dollah, Sitiawan; Muhammad Shafik Redzuan Yusof, 16, dan pemandu kenderaan pelbagai guna itu, Mohd. Hisam Mat Zaki, 22, berasal dari Sungai Mekong, Jeli, Kelantan.

Ketika kejadian, MPV dinaiki 10 penumpang itu dipercayai baru pulang dari membeli peralatan sekolah di Sitiawan sebelum terlibat dalam nahas.

Pemandu treler, Abdul Rashid Abdul Aziz, 49, yang berasal dari Lebuh Padang Tembak, Pulau Pinang cedera parah dan kini dirawat di Hospital Seri Manjung (HSM).

Ketua Trafik Daerah Manjung, Asisten Supritendan Ismail Munajat berkata, Mohd. Hisam meninggal dunia di HSM pukul 8.35 pagi ini manakala enam penumpang yang lain mati di tempat kejadian.

Seorang lagi penumpang, Khairul Mohd. Noor, 17, dari Batu 15, Lekir yang berada di tempat duduk sebelah pemandu hanya cedera ringan.

“Dua lagi penumpang perempuan MPV itu belum dikenal pasti kerana mereka telah pulang ke rumah dan tidak membuat laporan polis. Salah seorang daripada mereka cedera ringan dan seorang lagi tidak cedera,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Ismail, kesemua mangsa yang terbunuh mengalami kecederaan serius termasuk pecah dan putus kepala, mata tercabut dan perut terburai.

Menurutnya, nahas berlaku apabila MPV tersebut yang dari arah Sitiawan hilang kawalan ketika cuba memotong kereta Honda Civic di laluan kecemasan.

Katanya, MPV berkenaan kemudian masuk secara mengejut ke laluan hadapan kereta Honda Civic itu lalu hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan treler dari arah Teluk Intan.

“Ia menyebabkan MPV itu berpusing dan terbalik beberapa kali sehingga ramai penumpang kenderaan itu tercampak keluar. Seorang terjatuh di atas kereta Honda Civic berkenaan.

“Treler tersebut pula terbabas ke kanan jalan dan merempuh gerai buah-buahan di tepi jalan.

Difahamkan, treler itu dalam perjalanan dari Port Dickson, Negeri Sembilan ke Pulau Pinang,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal polis mendapati MPV tersebut dipercayai dipandu laju melebih 120 kilometer sejam berdasarkan keadaan kenderaan yang tercabut bumbung dan tercampak sejauh kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.

Katanya, keadaan jalan di situ lurus dan tidak hujan sewaktu kejadian. Ia agak gelap kerana tiada lampu jalan.

“Namun demikian kawasan itu sering berlaku kemalangan, mungkin disebabkan terdapat banyak gerai buah-buahan di tepi jalan dan menjadi punca banyak kereta berhenti di lorong kecemasan untuk membeli buah-buahan,” katanya.

Ismail memberitahu, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Pengangkutan Jalan 1987.