Lelaki ‘serang’ sekolah ditahan
Sungai Buloh: Seorang lelaki yang dipercayai ‘menyerang’ sekolah dan mengugut bunuh guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pristana, Sungai Buloh, ditahan, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Junaidi Bujang berkata, lelaki berusia 32 tahun terbabit ditahan berhampiran perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh pada jam 10.15 pagi.
“Lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah selepas guru besar sekolah berkenaan membuat laporan polis, 25 Julai lalu.
“Lelaki berkenaan ditahan dan dibebaskan dengan jaminan polis hingga 6 September ini selepas kawad cam dilakukan dua guru sekolah itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/27