Seminggu jahit seragam sendiri – Sinar Harian


Seminggu jahit seragam sendiri

WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Jun 2013
Seminggu jahit seragam sendiri
Sebahagian pelajar tekun menjalani latihan jahitan anjuran Giat Mara Kuala Selangor.

KUALA SELANGOR – Tiada kemahiran asas dalam jahitan, tidak menghalang 20 anak penduduk di daerah ini menyiapkan pakaian seragam sekolah masing-masing dalam tempoh seminggu.

Cuti seminggu yang dimanfaatjab dengan menyertai kursus jangka pendek anjuran Giat Mara Kuala Selangor ternyata mampu memberi pengetahuan dan kemahiran menyiapkan baju kurung untuk kegunaan diri sendiri.

Peserta, Izzah Atirah Mohd Kamser, 17, bangga apabila dapat menyiapkan pakaian seragam sekolah dalam kursus terbabit walaupun sebelum ini tiada asas jahitan.

Menurut pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SAAS) itu, kemahiran yang diperoleh akan dimanfaatkan sebaik mungkin dan bercadang menjahit baju raya sendiri.

“Peluang yang ada tidak dilepaskan begitu sahaja memandangkan minat jahitan agak mendalam, terutama rekaan fesyen.

“Dengan mengikuti kursus seperti ini saya dapat pengalaman baru selain belajar. Saya mahu membuka kedai jahitan apabila dewasa nanti,” katanya.

Seorang lagi peserta, Amirah Fakhira Zaidon, 17, berkata, dia menganggap kursus ini berguna bagi mengisi masa luang pada hujung minggu.

Menurutnya, pada mulanya dia tidak begitu yakin dapat menyiapkan sepasang baju kurung dalam tempoh seminggu kerana tidak pernah menjahit sebelum ini.

“Namun akhirnya saya berjaya menyiapkan sepasang baju kurung sebagai seragam sekolah. Selepas ini pastinya kos pembelian pakaian seragam sekolah dapat dikurangkan.

“Bagi saya, jika ada kemahuan dan kesungguhan semua yang diusahakan pastinya berjaya. Sebagai contoh kursus ini, jika peserta itu bersungguh, mereka mampu melakukannya untuk manfaat diri sendiri dan orang lain,” katanya.

Lahad Datu: Murid di zon merah mula kembali ke sekolah – Bernama


Lahad Datu: Murid di zon merah mula kembali ke sekolah

MURID-MURID Sekolah Kebangsaan Tanjung Labian menyanyikan lagu ‘Negaraku’ semasa perhimpunan pagi setelah sekolah mereka dibuka semula hari ini dengan dikawal oleh pihak keselamatan. – BERNAMA

LAHAD DATU 8 April – Pakaian seragam sekolah, buku teks dan peralatan sekolah semuanya musnah akibat pencerobohan militan dari selatan Filipina di Sabah lebih sebulan lepas.

Bagaimanapun, itu tidak mematahkan semangat pelajar dari Kampung Tanjung Batu, Tanjung Labian dan Lok Buani untuk kembali belajar apabila sekolah mereka iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Labian dan SK Lok Buani dibuka semula hari ini, setelah lebih sebulan ditutup berikutan insiden pencerobohan itu.

Malah sebilangan besar daripada mereka hanya berpakaian biasa dan membawa sebuah buku yang diletakkan di dalam beg plastik ke sekolah hari ini.

“Dia bersemangat untuk menyambung kembali pembelajarannya walaupun semua keperluan sekolahnya musnah kerana rumah kami dibakar,” kata Siti Rogayah Mahatmah, 46, seorang ibu yang menghantar anak lelakinya yang bersekolah di SK Tanjung Labian.

Suri rumah dari Kampung Tanjung Batu itu berkata kehadiran anggota tentera yang lengkap bersenjata serta jaminan guru tentang tahap keselamatan di sekolah itu membuatkan dirinya rasa selamat untuk menghantar anak lelakinya di Tahun Empat memulakan persekolahan.

Tinjauan Bernama di dua sekolah itu mendapati enam anggota tentera lengkap bersenjata mengawal sekitar kawasan sekolah sejak perhimpunan pagi bermula pukul 7 pagi.

Bagi Rahmah Abu, 43, pula insiden pencerobohan itu tidak sedikit pun dijadikan alasan untuk tidak menghantar tiga anak lelakinya ke sekolah.

Berlainan pula dengan seorang bapa, Nasarallah Mohamad, 50, yang belum berani menghantar anaknya ke sekolah itu kerana ingin meninjau keadaan keselamatan kawasan sekolah itu terlebih dahulu.

Buat masa ini, anaknya bersekolah di sekolah lain berdekatan rumah saudara yang ditumpangi beliau sementara menunggu rumah mereka dibaik pulih.

Sementara itu, perhimpunan pagi sekolah itu memberi suasana berbeza apabila diselitkan dengan ucapan kata-kata semangat kepada pelajar, terutama mereka yang terjejas teruk ekoran insiden itu.

Perhimpunan dimulakan dengan bacaan doa yang menyelitkan tentang musibah yang melanda, sebelum ucapan para guru yang menaikkan semangat murid, ucapan syabas dan tahniah kerana kehadiran mereka dan sedikit makluman mengenai operasi sekolah setelah sebulan ditutup.

Walaupun kehadiran murid agak kurang ekoran ada antaranya masih bersekolah sementara di kawasan sekitar, mereka yang hadir dilihat cukup bersemangat ketika menyanyikan lagu “Negaraku”, “Perajurit” dan lagu negeri Sabah. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130408/dn_16/Lahad-Datu-Murid-di-zon-merah-mula-kembali-ke-sekolah#ixzz2PsVQRNCe
© Utusan Melayu (M) Bhd

Murid Di Zon Merah Op Daulat Kembali Ke Sekolah Tanpa Kelengkapan Sekolah – Bernama


Murid Di Zon Merah Op Daulat Kembali Ke Sekolah Tanpa Kelengkapan Sekolah

LAHAD DATU: Pakaian seragam sekolah, buku teks dan peralatan sekolah semuanya musnah akibat pencerobohan militan dari selatan Filipina di Sabah lebih sebulan lepas.

Bagaimanapun, itu tidak mematahkan semangat pelajar dari Kampung Tanjung Batu, Tanjung Labian dan Lok Buani untuk kembali belajar apabila sekolah mereka iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Labian dan SK Lok Buani dibuka semula hari ini, setelah lebih sebulan ditutup berikutan insiden pencerobohan itu.

Malah sebilangan besar daripada mereka hanya berpakaian biasa dan membawa sebuah buku yang diletakkan di dalam beg plastik ke sekolah pada Isnin.

“Dia bersemangat untuk menyambung kembali pembelajarannya walaupun semua keperluan sekolahnya musnah kerana rumah kami dibakar,” kata Siti Rogayah Mahatmah, 46, seorang ibu yang menghantar anak lelakinya yang bersekolah di SK Tanjung Labian.

Suri rumah dari Kampung Tanjung Batu itu berkata kehadiran anggota tentera yang lengkap bersenjata serta jaminan guru tentang tahap keselamatan di sekolah itu membuatkan dirinya rasa selamat untuk menghantar anak lelakinya di Tahun Empat memulakan persekolahan.

Tinjauan Bernama di dua sekolah itu mendapati enam anggota tentera lengkap bersenjata mengawal sekitar kawasan sekolah sejak perhimpunan pagi bermula pukul 7. Bagi Rahmah Abu, 43, pula insiden pencerobohan itu tidak sedikit pun dijadikan alasan untuk tidak menghantar tiga anak lelakinya ke sekolah.

Berlainan pula dengan seorang bapa, Nasarallah Mohamad, 50, yang belum berani menghantar anaknya ke sekolah itu kerana ingin meninjau keadaan keselamatan kawasan sekolah itu terlebih dahulu.

Buat masa ini, anaknya bersekolah di sekolah lain berdekatan rumah saudara yang ditumpangi beliau sementara menunggu rumah mereka dibaik pulih.

Sementara itu, perhimpunan pagi sekolah itu memberi suasana berbeza apabila diselitkan dengan ucapan kata-kata semangat kepada pelajar, terutama mereka yang terjejas teruk ekoran insiden itu.

Perhimpunan dimulakan dengan bacaan doa yang menyelitkan tentang musibah yang melanda, sebelum ucapan para guru yang menaikkan semangat murid, ucapan syabas dan tahniah kerana kehadiran mereka dan sedikit makluman mengenai operasi sekolah setelah sebulan ditutup.

Walaupun kehadiran murid agak kurang ekoran ada antaranya masih bersekolah sementara di kawasan sekitar, mereka yang hadir dilihat cukup bersemangat ketika menyanyikan lagu ‘Negaraku’, ‘Perajurit’ dan lagu negeri Sabah. –BERNAMA

425, 665 Masuki Darjah Satu Tahun Depan – mStar


425, 665 Masuki Darjah Satu Tahun Depan

Oleh EDMUND NGO

IPOH: Kira-kira 425,665 murid-murid akan memulakan sesi persekolahan darjah satu pada tahun depan.

Lim Kai Xiang, 7, berbisik sesuatu kepada kawan barunya, whispering Myra Lim, 7, (kanan) sambil diperhatikan ibu bapa mereka di SJKC Hun Bin, Tanjung Tokong.

 

Malah ada diantara mereka turut menyertai program orentasi yang dikendalikan sekolah mereka.

Walaupun belum menyesuaikan diri dengan suasana baru, murid-murid darjah satu di SJKC Ave Maria dilihat berada dalam keadaan tenang sepanjang sesi orentasi diadakan pada Jumaat.

Murid-murid dapat merasakan suasana alam persekolahan dan mengikut arahan guru baru mereka ketika sesi perhimpunan khas.

Mereka kemudiannya memasuki bilik darjah masing-masing manakala ibu bapa mereka menunggu di luar.

Simon Tan, 36, turut mengambil rakaman video gelagat anak perempuannya, Tan Zhou Ru, 7, ketika di dalam kelas.

“Dia amat berminat untuk datang ke sekolah pada pagi ini dan tidak takut dengan suasana baru.

“Saya tidak begitu bimbang kerana dia mudah berkawan,” katanya.

Sharifah Nadia Syed Mohamad, 28, berkata anak perempuannya, Wan Nur Aliyawafa Muhamad Khairol, 7, turut teruja mencuba pakaian seragam sekolah dan kasut baru tetapi agak gementar pada pagi ini.

“Dia bertanya sama ada akan bertemu kawan baru atau akan ada sebarang kerja sekolah.

Khoo Chia Hoay menangis ketika sesi orientasi pada Jumaat.

 

“Saya dan juga suami memutuskan untuk menghantarnya ke sekolah jenis Cina kerana mempelajari bahasa lain seperti Mandarin akan membantunya pada masa depan,” katanya.

Guru Besar Tan Lee Ei berkata kira-kira 306 murid-murid darjah satu mendaftar untuk sesi persekolahan 2013, berbanding 318 orang tahun ini.

“Ibu bapa tidak perlu bimbang mengenai anak mereka.

“Adalah penting bagi mereka untuk bekerjasama dengan kami bagi mencapai keputusan terbaik buat mereka,” katanya.

Rel kereta api lokasi lepak pelajar sekolah – Sinar Harian


Rel kereta api lokasi lepak pelajar sekolah
WARTAWAN SINAR HARIAN
15 Ogos 2012

Pelajar dilihat sanggup berbaring di kawasan landasan sewaktu sesi persekolahan.
Tiga pelajar berpakaian seragam ini cuba melindungi wajah mereka seolah-olah menyedari gelagat mereka dirakam.
ALOR SETAR – Kawasan projek pembinaan landasan kereta api elektrik berkembar telah disalahguna pelajar sekolah dengan menjadikan kawasan itu sebagai lokasi ponteng setiap hari.

Majlis Ketua Kampung (MKK) Taman Sri Taman, V R Kumar Naidu berkata, masalah yang berlaku sejak empat tahun itu masih belum diatasi walaupun pernah membuat laporan pada pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Setar pada tahun lalu.

Menurutnya, kebiasaannya sekitar 20 hingga 30 pelajar melepak di kawasan itu sekitar jam 7 pagi hingga waktu tengah hari sebelum masuk semula ke kawasan sekolah selepas tamat sesi persekolahan.

“Tahun lalu selepas saya membuat laporan, ada tindakan daripada polis namun selepas setahun kes ini berlalu, ia berlaku semula.

“Mereka yang ponteng itu berusia di antara 13 tahun hingga 17 tahun dan kebiasaannya mereka akan memakai pakaian seragam sekolah, mungkin untuk mengaburi mata ibu bapa,” katanya kepada Sinar Harian.

Kumar berkata, pelajar bukan sahaja baring di kawasan landasan malah ada dalam kalangan penduduk yang mendakwa terlihat golongan terbabit mengutip besi di kawasan sekitar landasan.

Dia berkata, ada juga yang mendakwa pernah terlihat ada kenderaan yang akan datang kepada mereka untuk mengambil besi yang telah dikutip.

Menurutnya, selain itu ada juga dakwaan yang memaklumkan pelajar pernah meminta wang daripada penduduk berkemungkinan untuk membeli makanan bagi mengalas perut.

“Kita bimbang dengan masa hadapan pelajar sekiranya masalah ini tidak diambil peduli atau dibiarkan sehingga bertahun-tahun oleh pihak yang bertanggungjawab.

“Pihak sekolah perlu peka dengan kehadiran pelajar, sekiranya ada pelajar yang tidak hadir selama beberapa hari, mereka perlu mengambil tindakan dengan menghubungi ibu bapa pelajar,” katanya.

Katanya, pihak sekolah dan PPD diharap dapat melakukan pemantauan di kawasan terbabit agar kegiatan pelajar terlibat dapat dihentikan.Selain sekolah dan PPD, ibu bapa juga perlu memainkan peranan dengan memastikan anak mereka sentiasa berada di dalam kawasan sekolah pada waktu persekolahan.

Pelajar berasmara di sungai – Sinar Harian


Pelajar berasmara di sungai

WARTAWAN SINAR HARIAN
5 Mei 2012

KULIM – Gara-gara ingin melampiaskan nafsu dengan kekasih masing-masing, tiga pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di sini, sanggup ponteng sekolah untuk ke sebuah taman rekreasi air terjun bersama teman lelaki mereka.

Rahsia perbuatan sumbang mereka terbongkar apabila seorang waris pelajar terlibat dimaklumkan anaknya tidak hadir ke sekolah.

Curiga dengan kenyataan itu, waris pelajar meminta bantuan Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) untuk mencari tiga pelajar terlibat.

Timbalan Pengerusi PPKM, Ch’ng Seng Ang berkata, ahli PPKM diminta mencari pelajar terlibat di sekitar Sungai Kob dan Sungai Karangan.

Menurutnya, setelah usaha mencari gagal, beliau menerima panggilan kedua menyatakan tiga pelajar perempuan sedang berendam di sungai bersama tiga lelaki di Sungai Sedim.

“Kemudian saya memaklumkan kepada ahli PPKM melalui alat perhubungan supaya mencari tiga pelajar terlibat.

“Kira-kira jam 11 pagi, ahli PPKM dan waris pelajar terlibat berjaya menemui mereka bersama pasangan masing-masing di dalam air,” katanya yang mengakui kebanyakan pelajar sering ponteng sekolah dan melakukan perbuatan tidak bermoral itu di taman rekreasi berkenaan.

Seng Ang berkata, pemeriksaan mendapati, semua pelajar terbabit menyimpan pakaian seragam sekolah di dalam beg dan mereka hanya memakai pakaian biasa untuk menghabiskan masa bersama pasangan masing-masing.

“Ketiga-tiga pelajar perempuan dan kekasih mereka berusia 19, 20, dan 21, tahun kemudiannya dibawa ke Balai Polis Sungai Kon untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, ketika pasangan itu ditahan, masih ada beberapa pasangan lain dipercayai masih bawah umur turut berada di kawasan itu.

Beliau menasihatkan ibu bapa supaya memantau pergerakan anak-anak, terutama pelajar perempuan kerana bimbang perkara tidak diingini berlaku.

Katanya, sehingga kini permasalahan sosial melibatkan pasangan kekasih bawah umur sering berlaku.

“Terkini, seorang pelajar berusia 14 tahun didapati hamil dua bulan setelah melakukan hubungan seks bersama teman lelakinya.

“Waris pelajar yang kecewa dengan perlakuan sumbang yang dilakukan mangsa kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Kulim,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, pelajar yang masih di bawah umur terlibat dalam perlakuan seks, sama ada pasangan mereka merelakan atau tidak tetap akan disiasat mengikut seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.