Gejala LGBT di kalangan pelajar sekolah, IPT membimbangkan: Pakar – Bernama


Gejala LGBT di kalangan pelajar sekolah, IPT membimbangkan: Pakar

2013/03/17 – 15:50:05 PMCetakEmel Kawan
KUALA TERENGGANU: Gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini semakin membimbangkan kerana turut membabitkan pelajar sekolah menengah selain pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), kata pakar motivasi dan kaunseling Hushim Salleh.

“LGBT tidak memilih bulu sama ada tua atau muda, lelaki atau wanita, golongan menengah atau rendah semua boleh terlibat di mana apabila terperangkap dengan LGBT, ia sukar untuk dipulihkan.

“Kita sangat bimbang dengan gejala ini kerana ia boleh membawa penyakit seperti HIV, sindrom kurang daya tahan penyakit (AIDS) dan sebagainya,” katanya selepas menyampaikan ceramah pada Seminar Kesedaran LGBT kepada pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini, hari ini.

Hushim, pemilik Syarikat Hushim Motivational & Counseling Consultancy yang banyak menangani kes-kes LGBT, berkata apa yang paling menyedihkan terdapat kes guru di sekolah agama yang mengambil kesempatan melepaskan nafsu songsang terhadap pelajarnya sendiri.

“Biasanya di sekolah agama…mangsa tidak tahu hendak mengadu kepada siapa dan kebanyakan kes hanya diam dan berlalu begitu saja tanpa sebarang tindakan terhadap pelaku,” katanya.

Hushim berkata, walaupun tidak ada jumlah sebenar kes LGBT yang dicatat di negara ini, namun daripada kajian yang dijalankan ia lebih menakutkan daripada gejala penagihan dadah.

Beliau berkata, pengamal LGBT sukar dikenal pasti kerana mereka boleh bertukar perwatakan pada waktu dan keadaan tertentu dan mereka sukar untuk dipulihkan kerana ia membabitkan naluri manusia.
Bagaimanapun, katanya, pengamal LGBT boleh dipulihkan sekiranya mereka mempunyai keinsafan untuk berubah dengan menyertai seminar pencegahan dan ceramah termasuk ceramah agama.

Hushim turut memuji langkah UniSZA menganjurkan seminar seumpama itu yang dapat membendung gejala itu daripada menular di universiti itu. – BERNAMA

Padah tidak pantau anak – Metro


Padah tidak pantau anak

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: “Inilah padahnya membiarkan remaja berinteraksi di alam maya tanpa pemantauan orang tua,” kata pakar motivasi dan perunding cara keluarga, Zawiyah Hassan mengenai senario remaja perempuan melahirkan anak tidak sah taraf akibat terlanjur dengan pasangan masing-masing selepas berkenalan menerusi laman sosial.

Beliau berkata, apabila anak mula menunjukkan perubahan, peranan ibu bapa dalam membentuk remaja semakin besar, terutama di peringkat usia antara lapan hingga 15 tahun, di mana mereka seolah-olah terperangkap antara dua alam sama ada kanak-kanak atau remaja.
Merujuk kepada sistem pendidikan anak disarankan Saidina Ali RA, ada empat tahap mengajar cahaya mata iaitu peringkat pertama bagi anak berusia satu hari hingga tujuh tahun; kedua (lapan-15 tahun); ketiga (16-21 tahun) dan empat (21 tahun ke atas).

 

Zawiyah berkata, peringkat pertama bersifat kasih sayang, manakala kedua pula menekankan didikan penuh disiplin bagi membantu mereka membezakan perkara baik atau jahat.
“Peringkat ketiga pula, ibu bapa perlu menjadi kawan rapat kepada anak, bersedia mendengar masalah dan luahan perasaan mereka. Usah melenting terlebih dulu, nasihat anak secara berhemah, baru remaja selesa untuk berbicara.
“Ibu bapa cuba meletakkan diri di kedudukan anak remaja yang memerlukan seseorang bagi mendengar cerita mereka. Jika mereka tidak bersedia menjadi kawan kepada anak, anak mungkin memilih teman sebaya yang tidak berpengalaman sebagai rujukan.

 

 

“Bagi peringkat terakhir, bermaksud kebebasan kepada anak dengan kawalan dan pemantauan ibu bapa supaya mereka tidak tergelincir melakukan kesilapan dalam hidup. Seandainya sistem ini diterapkan, risiko anak mencari kasih sayang di luar berada di tahap rendah,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, anak muda juga perlu sedar tanggungjawab utama menjaga diri terletak di bahu masing-masing, bukan pada orang lain, sama ada keluarga atau masyarakat.

 

“Andai mereka menggunakan alasan kurang menerima kasih sayang dan perhatian keluarga bagi melakukan aktiviti tidak sihat, selain kononnya tindakan itu mampu menyedarkan kewujudan mereka di mata ibu bapa, sebenarnya mereka tersilap percaturan.
“Setiap perkara mereka lakukan, sama ada baik atau buruk, memberi implikasi besar terhadap diri sendiri, terutama pada masa depan.
“Cinta adalah perasaan anugerah kurniaan Allah SWT dan setiap individu memerlukannya, cuma usia muda dan pemikiran tidak matang membuatkan remaja terjerumus dalam maksiat,” katanya.

Boleh kahwin muda jika bersedia – Kosmo


Boleh kahwin muda jika bersedia

 

Oleh IKHWAN HAZWAN HAMIDUN
ikhwan.hamidun@kosmo.com.my

 

KUALA LUMPUR – Perkahwinan pada usia terlalu muda tidak menjadi masalah sekiranya sesebuah pasangan itu sudah bersiap sedia daripada segi fizikal dan mental untuk menempuh alam perkahwinan.

Perunding motivasi, Datuk Zawawi Yusof berkata, Islam menghalalkan perkahwinan asalkan ia memenuhi syarat walaupun pada usia yang muda.

“Jika pasangan pengantin sudah cukup umur untuk berkahwin dan faham mengenai tanggungjawab yang mereka perlu galas, maka ia dibenarkan.

“Kita juga perlu memahami keadaan sekarang sudah berubah dengan remaja zaman ini lebih cepat matang selepas mendapat banyak pendedahan yang membantu mereka berfikir,” katanya ketika dihubungi semalam.

Zawawi diminta mengulas langkah satu pasangan muda, Nur Fazira Saad, 12, dan Mohd. Fahmi Mohd. Alias, 18, dari Kulim, Kedah bernikah pada 17 November lalu dan mengadakan kenduri perkahwinannya mereka kelmarin.

Bagi seorang lagi pakar motivasi, Prof. Madya Md. Izzudin Ali, perkahwinan pada usia muda mungkin jalan penyelesaian terakhir dan terbaik untuk mencegah remaja daripada terjerumus dengan masalah sosial seperti seks bebas dan bersekedudukan.

“Sekiranya tidak ada jalan lain yang mampu dilakukan, maka tidak ada masalah untuk berkahwin pada usia muda,” katanya.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.