Paksa anak jadi amah – Harian Metro


Paksa anak jadi amah

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa dan Siti Nor Hidayatidayu Razali
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

GOMBAK: Seorang remaja perempuan mengalami tekanan mental selepas dikurung bapa kandung dan ibu tirinya di sebuah rumah di Idaman Sutera, di sini, lebih dua minggu lalu.

Difahamkan, remaja terbabit dilarikan bapanya pada 26 Mei lalu dengan alasan mahu melihat ibu saudaranya yang sakit tenat.
Remaja berusia 13 tahun ketika itu sedang menunggu ibunya di depan sekolah apabila ditemui bapanya.

 

Kejadian itu didedahkan ibu mangsa dikenali sebagai Diana, 32, yang hampir buntu mencari anaknya selepas dilarikan bekas suami yang juga jurulatih bina badan.
Katanya, pemergian anaknya itu tidak diketahui, malah bekas suaminya melarang anaknya menghubunginya walaupun sudah beberapa minggu tidak pulang ke rumah.
“Pada mulanya, anak saya dibawa ke rumah mereka dan dikurung dua hari sebelum dibawa bercuti bersama mereka sekeluarga di sebuah kawasan percutian di Pahang dan selepas itu dikurung semula di rumah.

 

 

“Anak saya juga dilarang ke sekolah bagi mengelak saya mencarinya selain tidak dibenarkan menggunakan telefon bimbit,” katanya.
Menurutnya, bekas suami dan isterinya yang sedang sarat mengandung memperlakukan anaknya itu seperti pembantu rumah apabila menyuruhnya membuat kerja rumah seperti membasuh kain dan memasak untuk mereka sekeluarga.

 

Beliau berkata, anaknya juga dipaksa mengasuh adik tirinya yang berumur lima tahun dan jika keadaan rumah bersepah ketika pasangan itu pulang lewat malam, anaknya itu dikejutkan untuk mengemas rumah.
Diana yang menjalankan perniagaan sendiri berkata, anaknya berjaya diselamatkan daripada penderitaan selepas dia memperoleh waran mahkamah untuk mengambilnya, Khamis lalu ketika pasangan itu tiada di rumah.
Katanya, dia yang berpisah dengan bekas suaminya sejak 10 tahun lalu mendapat hak penjagaan anak itu namun bekas suaminya yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah, membuat rayuan.
“Tindakan bekas suami melarikan anak saya itu adalah tindakan susulannya selepas membuat rayuan di mahkamah.
“Saya tidak sangka dia sanggup memperlakukan anak saya seperti pembantu rumah.
“Sebelum ini pun, anak saya itu pernah dipukul di kaki hingga lebam menyebabkan dia takut untuk mendekati ayahnya sendiri,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berkata pihaknya mengesahkan menerima laporan berhubung kes berkenaan dan kes berkenaan dirujuk kepada Pejabat Agama dan Mahkamah Syariah untuk tindakan lanjut.