Pameran lukisan memartabatkan pelukis muda, kreatif – Berita Harian


Pameran lukisan memartabatkan pelukis muda, kreatif

Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2012/04/03

gambar sebelum  gambar berikut

  • FotoMOHD Yusof (kanan) berkongsi pengalaman bersama Shaari (tengah) dan pensyarah IPGKIK serta pelukis dalam program GURIS 2012 di IPGKIK, Cheras, Kuala Lumpur.
  • FotoLUKISAN karya Nazli bernilai RM18,000 yang dipamerkan dalam program GURIS 2012 di IPGKIK, Cheras, Kuala Lumpur.

Mampu jadi komponen menjana ekonomi

LUKISAN bertajuk ‘Atuk! Nak Ikut’ membawa tuah kepada Pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Dato’ Razali Ismail, Kuala Terengganu, Nazli Hamzah apabila dibeli dengan harga RM18,000 pada Pameran Garis, Uniti, Ritma, Inspirasi dan Seni (GURIS) 2012 di IPG Kampus Ilmu Khas (IPGKIK) Cheras, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Lukisan menggunakan media cat minyak itu memaparkan seorang lelaki warga emas memakai kain pelekat berhampiran pokok kelapa dan di belakangnya seorang cucu lelakinya memegang wau.

Karya berkenaan adalah sebuah daripada 280 lukisan hasil kreativiti 110 peserta meliputi pelajar dan pensyarah bersempena program GURIS yang berlangsung lima hari mulai 26 Mac lalu di IPGKIK.

Ketua Pengarah Balai Seni Visual Negara (BSVN), Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata, kerjasama dengan pihak yang aktif menggerakkan aktiviti seni lukis dan visual seperti Balai Seni Lukis Negara (BSLN) dan BSVN menjadi pemangkin dalam melahirkan generasi muda yang cintakan cabang seni berkenaan.

Katanya, negara berjaya melahirkan tokoh seni visual yang hebat seperti Datuk Syed Ahmad Jamal yang digelar Seniman Negara, Hoessein Enas dan Ibrahim Hussin.

Beliau berkata, seniman terbabit tekun mengembangkan bidang itu sama seperti Leonardo Da Vincci iaitu pelukis potret misteri, Monalisa berusia lebih 500 tahun yang digantung pada satu sudut dinding Muzium Louvre di Paris, Perancis, selain Vincent Van Gogh, Claude Monet dan Pablo Picasso.
“Seni itu mampu dikembang lagi bagi melahirkan pelukis muda yang akan menyemarakkan seni visual negara yang bukan saja dikenali di negara ini, malah di peringkat antarabangsa.

“Dalam era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), bangsa Malaysia amat memerlukan tunjang seni sebagai santapan jiwa dan menjadi teras dalam sosio budaya rakyat,” katanya berucap merasmikan program GURIS 2012 di Dewan Dato’ Razali Ismail IPGKIK, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah IPGKIK, Shaari Osman dan Ketua Jabatan Pendidikan Seni Visual institusi itu, Azizah Suleiman.

Mohd Yusof berkata, bidang seni dan budaya pula seharusnya berkembang selaras dengan pelbagai cita rasa, konsep dan daya kreativiti setempat, yang akhirnya boleh dijadikan antara komponen untuk menjana pertumbuhan ekonomi berasaskan budaya.

Katanya, IPGKIK seharusnya terus giat dan aktif menganjurkan pameran di dalam dan luar kampus bagi melahirkan pelajar dan dan guru yang kreatif dan inovatif, sekali gus mampu memulakan perniagaan menerusi penjualan hasil karya kreatif mereka.

“IPG perlu membina rangkaian yang lebih profesional dengan semua pihak yang terbabit secara langsung dengan seni lukis dan visual bagi meningkatkan perhatian masyarakat bukan saja untuk menghayati seni diterapkan malah sanggup membeli karya berkenaan,” katanya.