Panasonic anjur program cara menghasilkan klip video – Berita Harian


Panasonic anjur program cara menghasilkan klip video

Oleh Nor Azma Laila
norazma@bharian.com.my
2012/05/23

gambar sebelum  gambar berikut

  • FotoPANASONIC Kid Witness News Training Camp skype bergambar bersama murid dari Jepun.
  • FotoSESI Skype sedang berlangsung dan pelajar memberi tumpuan sepenuhnya pada program.
  • FotoPANASONIC Kid Witness News Training Camp sedang membuat tugasan filem pendek.

Beri peluang peserta KWN Malaysia berinteraksi, kongsi pengalaman dengan pelajar Jepun

SERAMAI 115 pelajar dari 53 sekolah seluruh negara berpeluang mempelajari kaedah dan cara menghasilkan klip video apabila terpilih menyertai program Kem Latihan Kid Witness News (KWN), di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Program lima hari anjuran Panasonic Malaysia Sdn Bhd dengan kerjasama Kementerian Pelajaran yang sudah masuk tahun kelapan itu mengetengahkan tema Eco dan Komunikasi.

Program ini banyak memberi maklumat mengenai penggunaan video, proses mengedit filem pendek dan juga teknik lakonan yang jarang didapati dalam sesi pembelajaran harian di sekolah. – Azizah Wahid, Pengurus Besar Komunikasi Korporat dan Penjenamaan, Panasonic Malaysia

Istimewanya program kali ini ialah peserta berpeluang berinteraksi dengan pelajar dari luar negara melalui satu program tambahan iaitu sesi pertukaran budaya antara peserta KWN Malaysia dan KWN Jepun melalui Skype serta menggunakan perakam video tiga dimensi (3D) untuk menghasilkan filem pendek.

Pengurus Besar Komunikasi Korporat dan Penjenamaan, Panasonic Malaysia Sdn Bhd, Azizah Wahid, berkata seramai 40 pelajar berpeluang mengambil bahagian dalam sesi Skype itu manakala selebihnya menyaksikan melalui siaran secara telecast.

“Sesi Skype ini bertujuan memberi peluang kepada peserta KWN Malaysia untuk berinteraksi dan berkongsi pengalaman dengan pelajar Jepun mengenai budaya masyarakat negara ini antaranya persembahan kompang, wayang kulit dan pakaian tradisional yang diperagakan pelajar bagi mewakili identiti rakyat berbilang kaum.

“Selain itu, pelajar juga berpeluang belajar merakam menggunakan perakam video 3D dan menghasilkan filem 3D pendek sebagai sebahagian tugasan mereka ketika menyertai kem itu,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan, baru-baru ini.
KWN Panasonic Malaysia adalah program pendidikan video tahunan untuk pelajar sekolah rendah dan menengah yang bertujuan memupuk kreativiti, inspirasi, rasa ingin tahu, pemikiran kritikal, membina keyakinan diri serta kerja berpasukan dalam kalangan pelajar dan sejak dilaksanakan pada 2005, seramai 5,000 peserta sudah menyertai program itu.

Kem latihan KWN itu meliputi proses produksi video bermula daripada pra-produksi, produksi sebenar dan selepas produksi yang dikendalikan jurulatih profesional daripada industri produksi filem termasuk pengarah filem terkenal Othman Hafsham; penggiat teater dan pendidikan Normah Nordin; pensyarah filem, Imri Nasution; Ketua Dokumentari dan Unit Kamera Televisyen tempatan, Abdul Aziz Hassan dan Md Rashid Ahmad serta editor filem dan jurulatih Isazaly Mohd Isa.

Sepanjang kem latihan berkenaan, pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan dikehendaki menghasilkan video selama tiga minit untuk kedua-dua tugasan rakaman di kawasan tertutup dan kawasan luar yang kemudiannya dikritik oleh tenaga pengajar sebagai persiapan untuk pertandingan KWN Peringkat Kebangsaan dan Serantau.

Sementara itu, pelajar Sekolah Kebangsaan Pekan 2, Wilayah Persekutuan Labuan, Muhammad Afiq Alusi Mohd Nazam, berkata dia sangat seronok kerana dapat mengambil bahagian dalam program KWN.

“Program ini banyak memberi maklumat mengenai penggunaan video, proses mengedit filem pendek dan juga teknik lakonan yang jarang didapati dalam sesi pembelajaran harian di sekolah,” katanya.