Panel Pembelajaran Sejarah dibentuk – Utusan Malaysia


Panel Pembelajaran Sejarah dibentuk

 

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

 

PUTRAJAYA 29 Okt. – Kabinet hari ini bersetuju membentuk Panel Pembelajaran Sejarah yang akan memastikan subjek wajib lulus peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013 dan subjek teras di sekolah rendah pada 2014 itu mengandungi peristiwa-peristiwa yang diperakukan fakta dan tidak diputarbelitkan sebagai alat politik.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini juga tidak menerima sebarang bantahan daripada anggota Jemaah Menteri untuk menjadikan Sejarah subjek wajib lulus seperti dicadangkan beliau pada Perhimpunan Agung UMNO 23 Oktober lalu.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, Timbalan Perdana Menteri menjelaskan kepada Kabinet betapa Sejarah harus diberi penonjolan dan peranan dalam sistem pendidikan negara.

”Beliau menyatakan bahawa (keputusan menjadikan Sejarah subjek wajib lulus) bukan sesuatu yang dibuat secara mendadak. Hujah ini sudah berjalan berdekad-dekad, tinggal lagi baru terasa oleh kerana keadaan sekeliling dengan teguran, tohmahan dan kejelikan pendapat-pendapat tertentu yang menidakkan sejarah (negara).

”Maka sebab itu beliau membawanya (isu itu) ke perhimpunan partinya (UMNO) dan UMNO kemudian bersetuju. Hari ini pula tidak ada bantahan daripada ahli-ahli Kabinet.

”Dalam soal ini, Kementerian Penerangan sendiri juga berperanan untuk menjelaskan mengapa pendirian ini diambil ditambah dengan keadaan sekarang ramai golongan muda seolah-olah buta sejarah,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Selasa lalu, Ahli Parlimen DAP Rasah, Anthony Loke Siew Fook pada satu sidang akhbar di bangunan Parlimen mempersoalkan keputusan menjadikan Sejarah subjek wajib lulus seperti diumumkan oleh Muhyiddin.

Menurut Siew Fook yang juga Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), pengumuman Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran sepatutnya dibawa ke Kabinet, bukannya menerusi Perhimpunan Agung UMNO.

Siew Fook turut melemparkan tuduhan bersifat melaga-lagakan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) apabila mendakwa kononnya UMNO sahaja yang menentukan dasar kerajaan kerana keputusan Muhyiddin itu dibuat tanpa melibatkan MCA, MIC, Gerakan dan komponen lain.

Rais bagaimanapun percaya isu mempertikaikan kewajaran menjadikan Sejarah subjek wajib lulus peringkat SPM dan subjek teras di sekolah rendah itu tidak akan habis di situ.

”Badan-badan cauvinistik yang lain akan terus mempersoalkan inisiatif langkah yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri itu.

”Itu (pengumuman Muhyiddin) adalah satu langkah murni dan kita mesti menghormatinya demi menyatukan kebenaran dan realiti,” kata beliau.

Isu kepentingan pembelajaran Sejarah turut dihangatkan dengan penemuan terbaru hasil soal selidik Unit Khas Utusan Malaysia hari ini apabila mendapati ramai golongan muda negara ini buta sejarah.

Antaranya, Hari Kemerdekaan dijawab dengan pelbagai tarikh oleh sekelompok responden seperti 10 Ogos 1956, 31 Ogos 1943 dan 16 September 1957.

Walaupun keseluruhan responden berumur dari 16 hingga 51 tahun, namun mereka yang buta sejarah ini menjurus kepada kelompok usia di bawah 30 tahun khususnya antara 16 hingga 20 tahun.