Rogol: 2 pemuda di jel 20 tahun, 2 sebatan – Sinar Harian


Rogol: 2 pemuda di jel 20 tahun, 2 sebatan

WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Januari 2013
Rogol: 2 pemuda di jel 20 tahun, 2 sebatan
Tertuduh keluar daripada mahkamah setelah dijatuhkan hukuman merogol gadis bawah umur, dekat sini, semalam.

KUANTAN – “Kamu berdua sudah cukup dewasa untuk menilai akibat daripada perbuatan ini tetapi masih sanggup melakukannya.

“Hukuman setimpal wajar dikenakan kepada kamu berdua sebagai satu pengajaran supaya tidak mengulangi perbuatan terkutuk ini,” kata Hakim Noradidah Ahmad terhadap Mohd Tarmizan Shamsudin,20 dan Muhammad Fadli Abduallah, 20, selepas kedua-duanya mengaku bersalah dalam Mahkamah Sesyen Kuantan semalam atas tuduhan berasingan merogol gadis bawah umur.

Noradidah dalam keputusannya memerintahkan tertuduh yang masing-masing berdepan dua tuduhan merogol dihukum penjara 10 tahun dan dua sebatan bagi setiap tuduhan  bermula dari tarikh mereka ditangkap bagaimana pun hukuman penjara itu berjalan serentak.

Mohd Tarmizan dari Jaya Gading dekat sini berdepan dua tuduhan merogol gadis berusia 14 tahun dalam dua kejadian berasingan  antara jam 9 pagi hingga 1.30 petang di sini, 27 Ogos tahun lalu.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang bekerja sebagai juruteknik pendingin hawa didakwa  menjemput mangsa untuk bersiar-siar di Bandar Kuantan sebelum membawa gadis itu ke rumahnya di Jaya Gading.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, tertuduh didakwa merogol gadis tersebut sebelum membawa mangsa ke Pantai Sepat  dekat sini dan mengulangi perbuatan itu dalam sebuah tandas kosong kira-kira jam 1.30 petang hari yang sama.

Susulan kejadian, satu laporan polis dibuat keluarga mangsa sehingga membawa kepada penahanannya kira-kira jam 10 pagi hari berikutnya.

Sementara itu, Muhammad Fadli Abduallah berasal dari Kampung Meragih Mukim Penyor, Pekan juga didakwa atas dua tuduhan merogol gadis bawah umur yang baru berusia berusia 12 tahun 6 bulan ketika kejadian.

Tertuduh yang bekerja sebagai buruh ladang didakwa merogol mangsa sebanyak dua kali dalam sebuah rumah di Felda Chini 5 Pekan antara jam 2 pagi hingga 1 tengah hari 12 Julai lalu sebelum dia berjaya ditahan polis lima hari kemudian.

Bagi perbuatan mereka itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan bagi setiap pertuduhan.

Peguam mereka, Zaharman Zainal Abidin sebelum itu dalam rayuannya memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman yang lebih ringan memandangkan ketika kejadian anak guamnya masih muda dan perbuatan itu berlaku atas dasar suka sama suka.

Menurutnya, kedua-dua tertuduh juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan mereka juga sudah insaf atas ketelanjuran itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Hidayatul Syuhada Shamsudin bagaimana pun memohon kepada mahkamah supaya menjatuhkan hukuman setimpal terhadap kedua-dua tertuduh sebagai satu pengajaran bukan sahaja kepada mereka tetapi kepada masyarakat keseluruhannya.

Mengambil kira pertimbangan sewajarnya termasuk faktor kepentingan awam, Noradidah menjatuhkan hukuman 20 tahun penjara dan 4 sebatan terhadap kedua-dua tertuduh bagaimana pun mereka bernasib baik apabila hanya melalui  hukuman 10 tahun penjara kerana hukuman itu berjalan serentak.

2 mati lemas, 1 kritikal, 3 terselamat – Utusan


2 mati lemas, 1 kritikal, 3 terselamat

 

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
utusanpahang@utusan.com.my

 

SEORANG lelaki dipercayai ahli keluarga mangsa bertungkus-lumus memberi bantuan kecemasan kepada kanak-kanak yang lemas di Pantai Sepat, Kuantan, semalam.

 

KUANTAN 22 Jan. – Kegembiraan satu keluarga meluangkan masa dengan mandi-manda di Pantai Sepat di sini sempena cuti hujung minggu dan Tahun Baru Cina, bertukar tragedi apabila dua daripada mereka mati lemas.

Mereka yang meninggal dunia merupakan adik- beradik tiri iaitu Mohd. Saiful Mohd., 11, dan Mohd. Zaiful Abu Talib, 13.

Dalam kejadian pukul 4 petang itu, seorang lagi daripada mereka yang terselamat dilaporkan kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini manakala tiga lagi dirawat di wad pesakit luar.

Menceritakan kejadian malang itu, ibu mangsa, Zaleha Abd. Ghani, 42, berkata, mereka sekeluarga yang berasal dari Sungai Isap di sini, datang ke pantai itu untuk mandi-manda.

“Kesemua enam anak saya mandi di pantai tersebut. Sedang asyik mandi, tiba-tiba mereka dipukul ombak menyebabkan tiga daripadanya lemas.

“Saya cuba tarik mereka tetapi hanya seorang sahaja dapat diselamatkan. Dua lagi dapat dibawa ke darat oleh orang ramai tetapi meninggal dunia akibat sesak nafas manakala yang lain dapat menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di HTAA, di sini malam ini.

Zaleha dalam nada sebak berharap tragedi di Pantai Sepat itu tidak berulang dan menimpa keluarga lain.

“Saya harap pihak berkuasa dapat melakukan pengawasan di pantai ini,” katanya.

Sementara itu, jurugambar Utusan Malaysia, Mohd. Mahathir Ali yang kebetulan melalui kawasan tragedi untuk ke rumah rakannya di Pekan, mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku apabila melihat orang ramai berkerumun.

“Ketika saya sampai, orang ramai sedang memberi bantuan kecemasan kepada seorang kanak-kanak yang lemas di gigi air.

“Saya kemudian diberitahu ada seorang lagi mangsa terdampar di kawasan rumput tidak jauh dari situ yang menunggu untuk dibawa ke hospital.

“Secara tiba-tiba juga orang ramai menjerit melihat seorang lagi mangsa terapung di air dan mereka bergegas untuk menyelamatkannya,” katanya.

Menurut Mahathir, selang beberapa minit pula, dia melihat seorang lagi mangsa lain didukung oleh orang awam naik ke pesisir pantai.

Katanya, kebanyakan mangsa dibawa ke hospital menggunakan kereta orang ramai di kawasan itu sebelum pasukan bomba dan polis tiba di lokasi kejadian pukul kira-kira pukul 6.15 petang.