Pantau anak ketika mereka layari Internet – Sinar Harian


Pantau anak ketika mereka layari Internet

WARTAWAN SINAR HARIAN
31 Mei 2012

BUKIT MERTAJAM – Ibu bapa pelajar yang menerima Netbook 1Malaysia digesa memantau aktiviti anak-anak terutama ketika mereka melayari Internet.

Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Batu Kawan, A Mohan berkata, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk melakukan pemantauan terhadap anak-anak mereka agar menggunakan kemudahan yang diberikan secara
berhemah.

Menurutnya, bantuan itu diberikan untuk memudahkan mereka melakukan aktiviti berkaitan sekolah, bukan membuang masa dengan melakukan perkara tidak  berfaedah.

“Anak muda sememangnya mudah terpengaruh dengan perkara negatif dan melalaikan. “Justeru, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dengan sentiasa memantau apa yang dilakukan anak mereka ketika melayari Internet,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sejurus selepas menyampaikan bantuan Netbook 1Malaysia kepada 275 pelajar dari lima sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teknik Seberang Perai, di sini.

Lima sekolah berkenaan adalah SMK Teknik Seberang Prai, SMK Taman Inderawasih, SMK Taman Perwira, SMK Perai dan SMK Indah.

Mohan dalam pada itu mengingatkan pelajar supaya sentiasa mengenang jasa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang banyak memberikan bantuan  bagi meringankan beban rakyat.