Pantau harga kantin sekolah
Oleh Na’imah Mohamed
Kuala Selangor: Kementerian Pendidikan meminta guru memantau harga makanan di kantin sekolah dilaporkan naik mendadak sejak sesi persekolahan dibuka baru-baru ini.
Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh berkata, ia bagi memastikan tidak berlaku perbuatan mengambil untung yang keterlaluan dengan menggunakan peluang yang ada untuk menaikkan harga barang.
“Saya harap masyarakat sedar, walaupun ada berlaku kenaikan harga barang seperti petrol dan tarif elektrik, pengusaha kantin tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil kesempatan dengan meraih keuntungan berlipat kali ganda.
“Kementerian mahu rakyat dan sekolah memainkan peranan. Ada beberapa aduan diajukan kepada saya, tetapi apabila guru di sekolah menegur pengusaha kantin, mereka menurunkan harga dan kita tidak mengambil tindakan,” katanya ketika sidang media pada Majlis Anugerah Kecemerlangan UPSR 2013 peringkat Kebangsaan di Sekolah Kebangsaan Ijok, semalam.
Terdahulu, ketika berucap, Idris berkata semua pihak perlu memberi sedikit masa kepada KPM untuk merealisasikan pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) kerana ia mempunyai tempoh sehingga 2025, dan bukan mengkritiknya dalam akhbar dan blog.
Katanya, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah menyediakan satu pelan pendidikan yang begitu baik sehingga mendapat pengiktirafan badan dunia seperti Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
“Sebagai permulaan, peningkatan memberangsangkan dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2013 terutama di sekolah luar bandar, membuktikan pelan PPPM baru dilancarkan tahun lalu adalah satu pencapaian baik. “Tahun ini, kita raikan 46 sekolah yang mendapat keputusan baik di seluruh negara. Banyak sekolah di Sabah dan Kelantan, sekolah luar bandar juga menunjukkan prestasi yang baik.
“Perkara pertama iaitu akses pendidikan menjadi asas kepada pelan PPPM sudah mula dirasai sekolah luar bandar,” katanya.
Pada majlis itu, seramai 46 guru besar dari sekolah rendah di seluruh negara menerima Anugerah Kecemerlangan UPSR 2013, mengikut kriteria yang ditetapkan termasuk satu sekolah pendidikan khas iaitu Sekolah Rendah Pendidikan Khas Kota Kinabalu.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/14