Pelajar ketagih air ketum – Sinar Harian


Pelajar ketagih air ketum

WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Jun 2013

 

Pelajar ketagih air ketum
(Gambar Hiasan) Air ketum bakal mendatangkan kesan yang buruk kepada peminumnya.

PADANG RENGAS – Tidak cukup dengan pelanggan sedia ada, peniaga air ketum kini menjadikan pelajar sekolah di sekitar kawasan ini sebagai sasaran mengaut lebih keuntungan.

Kegiatan itu dikesan sejak setahun lalu apabila peniaga terbabit menjalankan aktiviti secara sembunyi di sebuah kampung bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Seorang penduduk, Ismail Harun, 47, berkata, penjualan air ketum dengan harga sekitar RM10 menyebabkan ramai pelajar sekolah mampu membelinya.

Menurutnya, daripada pemantauan dibuat, antara yang kerap membeli air ketum adalah mereka berusia lingkungan 16 dan 17 tahun.

“Mereka yang umur 15 tahun juga ada, sampai bila kita nak biarkan pelajar sekolah terus-terusan membeli dan minum air ketum sedangkan kita tahu air tersebut tidak baik untuk kesihatan malah pelajaran mereka.

“Penjual pun seperti ingin mengaut untung lebih dengan menjual air ketum kepada pelajar sekolah sedangkan perkara itu tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

“Bayangkan satu bungkus air ketum dijual dengan harga RM10. Sehari kadang-kadang mereka boleh jual sampai 40 bungkus. Bayangkan berapa untung yang mereka dapat.

“Ada saya dengar penjual air ketum boleh mendapat pendapatan mencecah RM10,000 satu bulan,” katanya.

Gesa sekolah pantau

Timbalan Pegawai Pelajaran Kuala Kangsar, Safuan Raba’ai menggesa pihak sekolah di kawasan berkenaan mengenal pasti pelajar terlibat dengan ketagihan ketum dengan mengambil tindakan segera bagi menangani masalah tersebut.

Beliau berkata, pihaknya akan memilih jalan ‘pendidikan’ berbanding ‘hukuman’ bagi menangani isu berkenaan.

“Kita tidak akan mengambil pendekatan menghukum pelajar berkenaan sebaliknya kita mungkin akan menjalankan beberapa aktiviti untuk memberi kesedaran kepada mereka tentang bahaya ketum.

“Pertama, kita akan beri nasihat dan kemudian akan hantar mereka ke sesi kaunseling. Ada beberapa fasa yang perlu dilalui dalam menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Beliau juga berharap agar masyarakat turut memainkan peranan mereka dalam membendung masalah ini dan bukan hanya meletakkan sepenuh tanggungjawab kepada pihak sekolah.

Polis akan siasat

Dalam perkembangan sama, Timbalan Ketua Polis Kuala Kangsar, Deputi Superintendan Guan Beng Kang menegaskan polis akan mengambil tindakan khas bagi mengatasi isu penjualan air ketum di Padang Rengas.

Menurutnya, penjual air ketum akan didakwa di bawah Seksyen 30 Akta Racun dan boleh didenda sehingga RM3,000 jika didapati bersalah.

ILI: 67 pelajar dikuarantin – Utusan


ILI: 67 pelajar dikuarantin

 

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
pengarang@utusan.com.my

 

SEBAHAGIAN daripada 67 pelajar Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah dikuarantin di bangunan berasingan sekolah berasrama penuh tersebut kerana dijangkiti penyakit serupa influenza (ILI) di Ayer Keroh, Melaka, semalam.

 

MELAKA 23 Feb. – Sebanyak 67 pelajar Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah, Ayer Keroh di sini dikuarantin di bangunan berasingan di sekolah berasrama penuh itu kerana dijangkiti penyakit serupa influenza (ILI).

Mereka terdiri daripada 29 pelajar perempuan dan 38 lelaki dikuarantin setelah dikesan dijangkiti penyakit itu malam Ahad lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran Belia dan Sukan negeri, Datuk Gan Tian Loo berkata, keadaan di sekolah terbabit terkawal dan setakat ini semua pelajar yang dijangkiti menunjukkan tanda-tanda semakin pulih.

“Malah, pada awalnya sebanyak 77 pelajar dijangkiti, namun semalam 10 daripada mereka iaitu lapan perempuan dan dua lelaki dibenarkan pulang ke asrama.

“Manakala 67 lagi pelajar yang masih mengalami ILI diasingkan di sebuah bangunan dengan rawatan dan pemantauan kesihatan dijalankan oleh para doktor dan kakitangan Jabatan Kesihatan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat sekolah tersebut di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa supaya tidak panik membawa keluar anak masing-masing dari sekolah tersebut kerana pengurusan kesihatan ILI adalah lebih baik dijalankan di situ.

“Di sini, terdapat doktor dan kakitangan perubatan yang bertugas secara berjadual bagi memberi rawatan dan ubat di samping kebersihan sekolah yang terjamin,” katanya.

Tian Loo menambah, punca bagaimana jangkitan tersebut boleh merebak juga masih belum diketahui dan sedang disiasat.

“Kita sedang menunggu laporan daripada hospital. Saya sudah tubuhkan satu unit khas untuk pantau perkembangan penyakit setiap hari,” katanya.