Tusukan ‘handle’ bawa maut – Sinar Harian


Tusukan ‘handle’ bawa maut

KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN
8 Julai 2013
Tusukan 'handle' bawa maut
Keluarga Linkeswar meratapi pemergian mendiang setelah maut dalam kemalangan di Jalan Sekolah, Parit Buntar kelmarin

PARIT BUNTAR – Tusukan ‘handle’ motosikal ke dada menamatkan impian seorang pelajar untuk menjadi atlet karate-do apabila dia maut dalam satu kemalangan di Jalan Sekolah, di sini petang kelmarin.

Kejadian berlaku pada jam 4.45 petang dan ketika kejadian, mangsa, V Linkeswar, 17 dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Kerian Permai menaiki motosikal milik ayahnya.

Mangsa yang baru pulang dari rumah kawannya ketika itu terbabas ketika melalui satu selekoh di lokasi kemalangan dan terjatuh dari motosikal berkenaan.

Saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Rahman memaklumkan, dia menyedari seorang remaja (mangsa) ditimpa motosikal ketika melalui lokasi kejadian.

Menurutnya, dia bersama beberapa orang awam segera mendekati kawasan berkenaan untuk melihat keadaan remaja terbabit dan mendapati mangsa cedera parah kerana dadanya tertusuk ‘handle’ motosikal berkenaan.

“Selain cedera parah di dada, mangsa juga mengalami kecederaan pada kaki. Kami bawa dia ke Hospital Parit Buntar dengan segera selepas menyedari keadaan itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, kelmarin.

Sementara itu, bapa mangsa, P Vellayutham, 50, memberitahu, anaknya yang merupakan pelajar di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Cina Kerian disahkan meninggal dunia pada jam 5.15 petang.

Katanya, mangsa mengalami kecederaan teruk pada dada serta kaki dan gagal diselamatkan oleh pihak hospital.

“Doktor sahkan punca kematiannya adalah kerana kehilangan banyak darah akibat kecederaan parah pada dada. Kematiannya memang dirasai kami sekeluarga kerana Linkeswar adalah anak yang baik.

“Dia seorang yang suka berdikari serta sanggup kerja separuh masa di sebuah pasar raya untuk membantu kami sekeluarga. Lebih memilukan, Linkeswar pernah luahkan impiannya mahu jadi atlet karate-do suatu hari nanti,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan siasatan berhubung kejadian masih dijalankan.

Tidak sempat beli ‘top-up’ – Sinar Harian


Tidak sempat beli ‘top-up’

WARTAWAN SINAR HARIAN
2 April 2013
Tidak sempat beli ‘top-up’
MUHAMMAD FAREZ

GUNUNG SEMANGGOL – Keghairahan seorang remaja pergi ke kedai untuk membeli kad tambah nilai prabayar atau  ‘top-up’  tidak berpanjang apabila maut dirempuh sebuah kereta berhampiran rumahnya dalam kejadian sekitar jam 8.15 pagi di Jalan Kerian, di sini, kelmarin.

Mangsa, Muhammad Farez Musa, 14, yang menunggang motosikal jenis Honda Wave difahamkan dilanggar dari bahagian tepi oleh sebuah kereta jenis Honda Hybrid ketika menyeberangi jalan untuk memasuki satu simpang di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, mangsa difahamkan melambung sejauh beberapa meter dari tempat kejadian setelah motosikalnya dirempuh kenderaan yang dipercayai dipandu laju.

“Kesan rempuhan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di  kepala akibat terhentak pada permukaan jalan selain patah tangan kiri.

“Mangsa difahamkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat,” katanya sewaktu dihubungi media, di sini semalam.

Mat Fauzi berkata, mayat mangsa dituntut ahli keluarga sejurus dihantar ke Hospital Parit Buntar.

“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Musa Amran, 53, ketika ditemui berkata, dia pada mulanya tidak dapat menerima hakikat kehilangan anaknya itu, lebih-lebih lagi mereka sekeluarga hendak pergi bertandang ke majlis perkahwinan bapa saudaranya, di sini.

Jelasnya, dia tidak menyangka permintaan mangsa untuk keluar sebentar ke kedai merupakan petanda anaknya akan pergi buat selama-lamanya.

“Arwah merupakan seorang pelajar yang rajin dan dilantik sebagai pengawas sejak dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah.

“Arwah yang merupakan anak keempat daripada lima beradik merupakan seorang yang sangat pandai, periang dan rajin. Kehilangannya amat dirasai kami sekeluarga,” katanya.

Pelajar tingkatan dua maut dalam kemalangan ngeri – Sinar Harian


Pelajar tingkatan dua maut dalam kemalangan ngeri

WARTAWAN SINAR HARIAN
30 November 2012
Anak patung
Anak patung milik Daphne diletakkan di atas keranda mendiang sebagai tanda peringatan rakan sekolah. Gambar kecil: Daphne

KERIAN – Anak patung merupakan hadiah terakhir diterima Daphne Eng Yuik Yee, 14, daripada seorang rakan sekolahnya sebelum maut dalam kemalangan ngeri yang turut mengorbankan empat mangsa lain di Slim River, Selasa lalu.

Datuk mangsa, H’ng Teoh Seah, 66, berkata, sebelum mendiang berangkat ke Muar, Johor bersama ahli kumpulan tarian dan nyanyian untuk mengadakan persembahan, seorang rakan perempuan Daphne menghadiahkannya patung itu sebagai peneman di sepanjang perjalanan.

Menurutnya, mendiang sebelum ini pernah meminta ibu bapa dan ahli keluarganya membelikan patung itu kerana terlalu meminatinya.

“Bagaimanapun, hasrat mendiang tidak dapat ditunaikan kami semua sibuk menguruskan hal keluarga.

“Sebelum mendiang berangkat, dia memberitahu saya tidak perlu membelikan anak patung kerana sudah dihadiahkan oleh seorang rakannya,” katanya di rumahnya di Bagan Selatan, semalam.

Kata Teoh Seah, dia sekeluarga tidak menyangka patung itu merupakan hadiah terakhir diterima cucunya dan agak terkilan kerana tidak dapat memenuhi permintaan itu.

Jelasnya, mendiang merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik dan meminati bidang nyanyian serta tarian sejak kecil.

“Mendiang yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (C) Kerian, Parit Buntar pernah meluahkan hasrat untuk menjadi seorang penari profesional apabila sudah dewasa kelak.

“Mendiang merupakan anak yang baik, ketika baru menyertai pasukan tarian, dia begitu gembira dan saya berbangga miliki cucu sepertinya,” katanya.

Teoh Seah berkata, dia terperanjat mendapat tahu kejadian itu daripada polis yang datang ke rumah mereka kira-kira jam 9 pagi hari kejadian.

“Pada awalnya tidak percaya, tetapi selepas saya dan ahli keluarga melihat gambarnya sekeluarga dalam berita di televisyen, kami akur dengan ketentuan tuhan,” katanya.

Mendiang Daphne dikebumikan di tanah perkuburan bukan Islam, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Pelajar cemari kesucian Ramadan – Sinar Harian


Pelajar cemari kesucian Ramadan
WARTAWAN SINAR HARIAN
8 Ogos 2012

Bekas botol arak dan tin gam yang ditinggalkan segelintir pelajar sekolah di belakang Jalan Maharaja, Parit Buntar.
Kawasan landasan keretapi yang menjadi sarang pelajar menghidu gam meminum arak di belakang Jalan Maharaja, Parit Buntar
Antara kesan conteng yang dilakukan sekumpulan pelajar sekolah bermasalah
PARIT BUNTAR (KERIAN) – Kawasan landasan kereta api yang terletak di belakang Jalan Maharaja, di sini bukan sahaja didakwa menjadi sarang pelajar sekolah menghidu gam dan minum minuman keras, malah turut disalah guna untuk aktiviti mencemarkan bulan Ramadan.

Seorang peniaga, Yong Wong Tiew, 55, berkata, sekumpulan pelajar akan datang untuk mengadakan sesi minum minuman keras dan menghidu gam di pekarangan tokong itu setiap hari pada sebelah petang dan lewat malam.

Lebih memburukkan keadaan, pihaknya pernah terserempak dengan sekumpulan pelajar lelaki yang membawa ‘masuk’ beberapa pelajar perempuan ke dalam ruang kosong di bawah landasan kereta api, dipercayai untuk melakukan aktiviti maksiat.

“Saya pernah menegur dan memberi amaran kepada mereka untuk meninggalkan tempat ini dengan membawa sekali barang-barang yang mereka bawa.

“Namun mereka tidak peduli, gelas dan tin gam termasuk beg plastik terus ditinggalkan di situ sehingga menjijikkan mata memandang,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian, di sini.

Wong Tiew berkata, keadaan bertambah buruk apabila sekumpulan remaja terbabit membaling botol arak ke dinding rumah kedai berhampiran selepas minum sehingga menyebabkan kaca botol itu bertaburan di atas lorong jalan belakang premis perniagaan itu.

Lebih mengecewakan, terdapat segelintir pelajar sekolah terlibat menconteng dinding premis perniagaan dengan perkataan tidak sepatutnya, sekali gus menjejaskan imej peniaga.

“Kehadiran segelintir remaja bermasalah itu menyebabkan kawasan lorong di belakang premis perniagaan kami kini jarang dilalui pelanggan kerana bimbang sesuatu buruk terjadi.

“Laporan kepada pihak berkuasa pernah dibuat dan polis ada mengadakan rondaan di kawasan itu, bagaimanapun kawasan itu masih menjadi tumpuan golongan remaja bermasalah dan saya berharap tindakan lebih tegas diambil terhadap mereka,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Wee Keong Seng, 45, menegaskan pernah menemu bual beberapa pelajar sekolah terlibat dan dimaklumkan mereka turut menjadikan kawasan landasan kereta api di belakang premis kedai mereka sebagai lokasi ponteng sekolah.

“Saya fikir perkara ini perlu diberi perhatian serius kesemua pihak bertanggungjawab memandangkan kebanyakan pelajar sekolah yang merupakan tonggak kepimpinan negara pada masa hadapan,” katanya.

Sekeluarga nyaris maut – Sinar Harian


Sekeluarga nyaris maut
WARTAWAN SINAR HARIAN
30 Julai 2012

Dua kenderaan remuk di bahagian hadapan setelah bertembung di Kilometer 130, Jalan Persekutuan Ipoh-Butterworth lebih kurang jam 10.50 malam kelmarin.
BAGAN SERAI – Dua pemandu dan tiga penumpang dua kenderaan nyaris maut selepas kereta Perodua Kembara serta Viva yang mereka naiki bertembung dalam satu kemalangan di Kilometer 130, Jalan Persekutuan Ipoh-Butterworth dekat Kampung Sungai Rawa di sini, lewat malam kelmarin.

Saksi kejadian, Mokhtar Ahmad, 42, berkata, pemandu Viva mengalami kecederaan parah di bahagian kaki setelah tersepit di dalam keretanya manakala anak perempuannya berusia 10 tahun mengalami kecederaan di bahagian badan.

Menurutnya, isteri dan adik pemandu Viva berkenaan pula mengalami kecederaan ringan manakala pemandu Kembara tidak cedera.

“Kemalangan berlaku lebih kurang jam 10.50 malam selepas Kembara yang datang dari arah Parit Buntar menuju ke Taiping, dikatakan terbabas setelah melanggar beberapa kon penghadang jalan di Kilometer 130 yang sedang menjalani kerja membaik pulih.

“Ketika itu, datang Viva dari arah bertentangan dan cuba mengelak, tetapi gagal disebabkan terdapat longkang di bahagian kiri jalan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, kelmarin.

Kata Mokhtar, ketika kejadian dia berada di kedai makan berhampiran kawasan kemalangan dan terus bergegas selepas melihat kemalangan tersebut.

Jelasnya, dengan bantuan penduduk kampung, empat daripada mangsa yang tersepit dalam kenderaan itu berjaya dikeluarkan.

“Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Parit Buntar dengan bantuan ambulans dan berikutan kemalangan itu, lokasi yang sama mencatatkan tiga kemalangan dalam tempoh sehari.

“Faktor kejadian dipercayai berpunca daripada kegagalan pihak kontraktor menyediakan ciri-ciri keselamatan dan papan amaran perlu diletakkan di sepanjang jalan yang sedang dinaik taraf sejauh 100 meter demi keselamatan pengguna,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat turut menggesa pihak berkuasa tempatan mempertingkatkan ciri-ciri keselamatan di sepanjang jalan yang sedang dinaik taraf bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Saya percaya perkara ini perlu diberi perhatian oleh pihak bertanggungjawab dan saya akan membawa perkara ini ke Mesyuarat Tindakan Daerah dalam masa terdekat,” katanya.
Dalam pada itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Kanak-kanak bermain ular dipatuk ketika persembahan – Berita Harian


Kanak-kanak bermain ular dipatuk ketika persembahan

2012/04/29

KESAN patukan ular Punti pada bahagian muka pipi Mohd Amirul Azim.

KESAN patukan ular Punti pada bahagian muka pipi Mohd Amirul Azim.

PARIT BUNTAR: Seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun yang memiliki kepandaian bermain ular terpaksa dikejarkan ke Hospital Parit Buntar (HPB) selepas dipatuk haiwan itu ketika membuat persembahan di Dataran Pinggiran Sungai Kerian di sini, semalam.

Kejadian yang berlaku pada kira-kira jam 11.30 pagi ke atas Mohd Amirul Azimi Yahya itu mengejutkan orang ramai yang menyaksikan pertunjukan itu apabila melihat mangsa terus rebah dengan mulutnya berbuih selepas dipatuk ular Punti atau Tiong.

Ketika itu, mangsa mempersembahkan kepandaian bermain ular bersama bapanya, Yahaya Abdullah, 60, ketika majlis perasmian Program Fiesta Pelancongan peringkat Daerah Kerian sempena Tahun Melawat Perak 2012.

Ular berkenaan mematuk bahagian pipi kanan Mohd Amirul Azimi hingga mengeluarkan darah sebelum mulut mangsa berbuih dan jatuh tertiarap.

Sementara itu, Yahaya yang tinggal di Perumahan TPMS Bukit Merah, dekat sini, berkata kejadian seperti itu pernah berlaku ke atas anaknya tetapi beliau tidak bimbang kerana yakin anaknya akan selamat.

“Saya ada cara untuk merawat jika berlaku kejadian seperti ini selain mendapat rawatan di hospital,” katanya di sini, semalam.

Yahaya yang mempunyai 20 tahun pengalaman bermain ular termasuk membuat pertunjukan di Singapura berkata, beliau yakin anaknya bersemangat semula untuk menunjukkan kepandaian bermain ular yang diwarisi daripadanya.
Katanya, ular lain yang mereka bawa untuk membuat pertunjukan termasuk tedung selar.