Enam ahli keluarga buta – Sinar Harian


Enam ahli keluarga buta

WARTAWAN SINAR HARIAN
4 Mei 2012

 

KUALA KETIL – Sekeluarga enam beranak yang cacat penglihatan dari Taman Seri Wangi, Kuala Ketil mendapat perhatian banyak pihak bagi membantu meringankan beban keluarga itu.
N. Kumar, 36, selaku ketua keluarga menggalas tanggungjawab menjaga isteri, dua anak, adik ipar termasuk ibu bapa mertuanya yang mengalami masalah penglihatan sejak beberapa tahun lalu.
Berikutan masalah penglihatan keluarganya, Kumar terpaksa bekerja keras termasuk mencari besi buruk bagi memastikan kebajikan ahli keluarganya terbela.
Lebih memeritkan, dua anaknya iaitu, K Gunalan, 8, serta K Kanagamani, 6, terpaksa bergantung kepada cermin mata khas yang perlu ditukar enam bulan sekali.
Menurutnya, bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) termasuk bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sedikit sebanyak membantu meringankan beban yang ditanggungnya.
Penderitaan ahli keluarganya itu dipercayai disebabkan penyakit keturunan sejak puluhan tahun dulu dan kini penyakit itu diwarisi isteri, anak termasuk ibu bapa mertuanya.
Menurutnya, penderitaan itu sama sekali tidak melemahkan semangatnya untuk terus berbakti kepada keluarganya.
“Selagi saya masih sihat, saya akan terus bekerja untuk kebaikan mereka. Namun begitu, saya amat berterima kasih kepada semua pihak yang sudi membantu meringankan keluarga saya.
“Inisiatif pelbagai pihak yang sudi membantu antaranya individu termasuk pemimpin setempat amat dihargai,” katanya ketika ditemui di rumahnya.
Sementara itu, Penyelaras Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim turut bersimpati dengan nasib yang menimpa keluarga itu.
“Bukan seorang, tapi enam ahli keluarga buta. Saya kagum dengan semangat Kumar yang komited menjaga kebajikan ahli keluarganya itu,” katanya ketika melawat keluarga itu.
Hadir sama, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Ketil, Mohd Khairul Azhar Abdullah dan Pengerusi Kelab Putera 1 Malaysia Baling, R. Karthik.
Azeez yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno akan membawa dua anak N.Kumar ke Hospital Selayang bagi mendapatkan rawatan pakar mata, menjelaskan cukai pintu dan tanah keluarga itu yang tertunggak sejak 2008 serta menanggung bil air, elektrik keluarga itu setiap bulan.

Belajar semula – Metro


Belajar semula

Laporan dan foto SAFURI KAMARUDIN
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BALING: Pengorbanan dua beradik yang terpaksa berhenti bersekolah sejak setahun lalu bagi menyara keluarga dengan bekerja di kedai runcit, mendapat pembelaan selepas mereka bakal bersekolah semula bermula hari ini.

Fatin Irwayu Mustafa, 15, dan adik lelakinya, Mohd Musikmal, 14, kini menghela nafas panjang apabila dapat menyambung semula persekolahan selepas masalah mereka didengari Penyelaras Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.
Fatin berkata, selama ini dia terpaksa menyimpan hasrat belajar semula kerana kesempitan wang dialami keluarganya akibat masalah kesihatan bapanya, Mustafa Md Arof, 37, yang mengalami jangkitan paru-paru dan ketumbuhan di hempedu.

 

“Saya bersyukur dapat meneruskan persekolahan seperti rakan lain selepas hampir dua tahun tidak bersekolah kerana bapa saya diserang penyakit kronik dan tidak mampu bekerja.
“Mujur saya dapat meneruskan semula persekolahan selepas mendapat perhatian mereka yang prihatin,” katanya.
Fatin yang tinggal bersama keluarganya di Kampung Dalam Wang, Pulai berkata, dia dan Mohd Musikmal sebelum ini juga terpaksa melupakan cita-cita menjadi doktor kerana tidak dapat bersekolah.

 

 

“Saya dan adik bukan tidak mahu bersekolah tetapi keadaan tidak mengizinkan dan terpaksa membantu emak, Rosnita Ahmad, 34, mencari rezeki untuk keluarga sementara dua lagi adik saya masih meneruskan pelajaran di sekolah rendah.
“Emak hanya mengambil upah menoreh getah milik penduduk kampung dengan pendapatan hanya bergantung pada cuaca dan pada masa sama terpaksa menjaga bapa yang perlu mendapatkan rawatan di hospital,” katanya di sini, semalam.

 

Fatin berkata, bapanya menderita penyakit asma sejak 2005 dan mulai tempoh itu mereka empat beradik dan bapanya bergantung hidup kepada ibunya.
“Sebaik berhenti sekolah, saya bekerja sebagai pembantu kedai dan selepas itu adik (Mohd Musikmal) turut berhenti sekolah dan bekerja di kedai perabot bagi menampung pendapatan keluarga,” katanya.
Sementara itu, Rosnita berkata, kedua-dua anaknya terpaksa berhenti sekolah kerana membantu keluarga, termasuk kos rawatan bapa mereka yang berulang alik ke hospital Baling dan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.
Beliau berkata, suaminya sering dimasukkan ke wad dan perlu dijaga sepenuh masa, menyebabkan segala urusan di rumah digalas Fatin, termasuk menguruskan persekolahan adiknya, Normazliana, 10, yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Dalam Wang dan Noraina Maisarah, 6, belajar di pra-sekolah.

Berlantai tanah – Metro


Berlantai tanah

Oleh Safuri Kamarudin
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BALING: Sebuah keluarga di Kampung Baru/Surau, Mukim Bakai, Kuala Ketil, dekat sini, hidup dalam kedaifan dengan menjadikan sebuah pondok berdindingkan buluh, beratap zink dan berlantaikan tanah dialas tikar getah sebagai tempat berteduh.

Abdullah Hassan, 39, dan isterinya, Hafiza Ridzuan, 41, serta anak tunggal mereka, Mohd Akmal, 15, melalui keperitan itu akibat dihimpit kemiskinan kerana hanya bergantung kepada pendapatan suaminya yang bekerja kilang di Prai, Pulau Pinang.
Hafiza berkata, dengan pendapatan tidak seberapa, mereka tidak mampu mengumpul wang membina rumah baru berikutan ia digunakan bagi keperluan harian termasuk kos rawatannya yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.

 

“Saya tidak mampu nak bantu suami menambah pendapatan keluarga kerana keadaan kesihatan tidak mengizinkan manakala gaji diperoleh suami digunakan membeli keperluan dapur dan membeli ubat manakala selebihnya untuk persekolahan anak.
“Kami teringin tinggal di rumah baru yang selesa seperti orang lain dengan kemudahan bekalan elektrik dan air, tetapi apakan daya akibat dihimpit kemiskinan maka impian itu tidak tercapai,” katanya.
Hafiza berkata demikian ketika menerima kunjungan Penyelaras Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim di rumahnya, semalam.

 

 

Turut hadir, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Ketil, Mohd Khairul Azhar Abdullah dan Pengerusi Biro Kebajikan Umno Baling, Noor Azman Ramli.
Katanya, akibat kesempitan hidup, dia terpaksa menghantar Mohd Akmal tinggal di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Bakai (SMKB) kerana rumahnya tiada kemudahan untuk anaknya mentelaah pelajaran.

 

“Anak saya sering merungut kerana tidak selesa belajar dengan keadaan rumah yang tidak terurus dan tidak mempunyai kemudahan untuk belajar.
“Dialah harapan keluarga walaupun kami dikurniakan seorang anak dan tidak akan mensia-siakan harapannya supaya belajar dengan bersungguh-sungguh meskipun kami tergolong dalam keluarga yang miskin,” katanya.
Sementara itu, Abdul Azeez berkata, pihaknya sudah meluluskan pembinaan sebuah rumah baru dengan peruntukan sebanyak RM16,000 bagi membolehkan keluarga itu hidup lebih selesa.
Menurutnya, ini berikutan keseluruhan struktur rumah berkenaan sudah reput dan tidak sesuai untuk keluarga terbabit.
“Saya akan menyegerakan membina sebuah rumah baru supaya keluarga itu hidup lebih selesa dengan kemudahan elektrik dan bekalan air bersih,” katanya.