Halang guru besar: Bekas ketua cabang PKR Puchong dipenjara 18 bulan – Bernama


Halang guru besar: Bekas ketua cabang PKR Puchong dipenjara 18 bulan

2013/05/23 – 19:02:33 PMCetakEmel Kawan
PETALING JAYA: Bekas Ketua Cabang Puchong Parti Keadilan Rakyat (PKR), S Murali dipenjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas didapati bersalah menghalang tugas seorang guru besar, dua tahun lalu.

Majistret Nor Afidah Idris, memerintahkan Murali, 45, menjalani hukuman itu mulai hari ini.

Mahkamah turut memerintahkan Murali membayar kos sebanyak RM3,000 kepada pendakwaan dan jika gagal berbuat demikian, dia boleh dipenjara selama tiga bulan.

Terdahulu, dalam penghakimannya, Nor Afidah berkata, keterangan saksi pembelaan hanyalah berbentuk penafian semata-mata dan mereka juga tidak berada di lokasi ketika kejadian berlaku.

Murali didakwa melakukan kesalahan itu terhadap K G Sarasavathy, 53, di bilik guru besar Sekolah Rendah Kebangsaan Tamil Tun Sambanthan pada 12.50 tengah hari 10 Mac 2011 mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Saphira Selamat manakala Murali diwakili peguam S Selvam.

Sepanjang perbicaraan kes itu, pendakwaan mengemukakan lapan saksi manakala pembelaan memanggil empat saksi untuk memberi keterangan. – BERNAMA

1,888 ibu bapa fail saman tuntut bantuan prasekolah lebih RM1j – Bernama


1,888 ibu bapa fail saman tuntut bantuan prasekolah lebih RM1j

 

SHAH ALAM 14 Mac – Seramai 1,888 ibu bapa hari ini memfailkan saman terhadap kerajaan negeri Selangor menuntut tunggakan RM1.038 juta kerana gagal memberikan bantuan pendidikan prasekolah kepada anak-anak mereka seperti yang dijanjikannya dalam manifesto pilihan raya umum 2008.

Saman difailkan Tetuan Kamarudin & Partners di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bagi pihak ibu bapa di Selangor yang diketuai seorang suri rumah, Sarina Hashim, 35.

Mereka menamakan kerajaan negeri Selangor yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP sebagai defendan pertama dan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku Ketua Eksekutif kerajaan negeri sebagai defendan kedua.

Kesemua ibu bapa itu berasal dari tujuh kawasan Parlimen sekitar Selangor iaitu Gombak, Ampang, Pandan, Kelana Jaya, Petaling Jaya Selatan, Kuala Selangor dan Tanjong Karang.

Peguam yang mewakili plaintif, Kamarudin Ahmad selepas memfailkan tuntutan itu berkata manifesto itu menjanjikan untuk memberikan RM50 sebulan kepada kanak-kanak prasekolah di Selangor, namun ia gagal dilaksanakan sehingga ke hari ini. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130314/ma_03/1888-ibu-bapa-fail-saman-tuntut-bantuan-prasekolah-lebih-RM1j#ixzz2NUoX0fwZ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Remaja lelaki didakwa sumbang mahram bersama kakak – Utusan


Remaja lelaki didakwa sumbang mahram bersama kakak

REMAJA berusia 14 tahun dihadapkan ke Mahkamah Kanak-Kanak atas tuduhan sumbang mahram di Jerantut, Pahang, semalam. – BERNAMA

JERANTUT 13 Sept. – Seorang remaja berusia 14 tahun dihadapkan ke Mahkamah Kanak-Kanak di sini hari ini atas tuduhan melakukan sumbang mahram terhadap kakaknya sehingga melahirkan seorang anak.

Remaja terbabit yang tinggal di sebuah kampung dekat Batu Balai di sini, didakwa melakukan sumbang mahram bersama kakaknya yang berusia 15 tahun pada pukul 12.30 malam, dalam bulan November tahun lalu.

Dia yang juga anak bekas calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Umum ke-12 di salah sebuah Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Jerantut didakwa mengikut Seksyen 376A Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 376B kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam hingga 20 tahun dan sebatan.

TPM kesal asrama Yayasan Selangor diroboh – Utusan


TPM kesal asrama Yayasan Selangor diroboh

SHAH ALAM 4 Feb. – Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa kesal terhadap tindakan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang mahu merobohkan Asrama Yayasan Selangor Kuala Lumpur (AYSKL) di Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau amat kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab kerajaan negeri itu yang mengambil tindakan hanya untuk mencari keuntungan.

“Kenapa institusi yang sudah dibangunkan berpuluh tahun mahu diruntuhkan hanya kerana kalau dapat dibangunkan, dapat mencairkan aset dan mendapat untung. Tak dengar pula nak diganti di mana?

“Kerajaan negeri kata nak agih dan pindahkan pelajar masuk ke sekolah lain di bawah Kementerian Pelajaran tapi saya sebagai Menteri Pelajaran tak tahu pun. Maknanya, dia nak lepas tangan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program TPM Bertemu Warga Pendidik, PIBG dan Pengelola Sekolah Seluruh Selangor di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim dan Timbalan Menteri Luar, Senator A. Kohilan Pillay.

Tidak setuju roboh asrama – Utusan


Tidak setuju roboh asrama

KUALA LUMPUR 9 Ogos – Tindakan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor mahu merobohkan Asrama Yayasan Selangor Kuala Lumpur di Kampung Pandan di sini mendapat tentangan daripada dua bekas pengurus besar yayasan tersebut.

Mereka menganggap keputusan kerajaan negeri dan Yayasan Selangor itu tidak wajar kerana asrama yang berusia lebih 30 tahun itu banyak berjasa kepada rakyat negeri itu.

Bekas Pengurus Besar Yayasan Selangor yang pertama, Hashim Abdullah berkata, keputusan merobohkan asrama tersebut hanya akan merugikan rakyat negeri berkenaan.

Katanya, lebih 20,000 pelajar pernah menginap di asrama itu dan kebanyakannya kini merupakan golongan profesional.

“Asrama tersebut telah melahirkan banyak golongan profesional antaranya pakar kesihatan, pakar bedah, malah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Yusli Mohamed Yusoff juga merupakan salah seorang bekas pelajar yang pernah menginap di asrama berkenaan.

“Adalah satu kerugian sekiranya tempat yang telah melahirkan banyak pelajar cemerlang dan berpotensi itu dirobohkan. Ia merupakan harapan serta peluang kepada anak-anak Selangor terutamanya bumiputera yang menetap di luar bandar mendapatkan pendidikan terbaik di sekolah pilihan di bandar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan kerajaan negeri serta Yayasan Selangor itu dipercayai bagi menambah aset kerajaan negeri yang semakin berkurangan.

Berikutan keputusan itu, nasib 468 pelajar di asrama berkenaan bakal terjejas.

Asrama Yayasan Selangor Kuala Lumpur ditubuhkan pada 1975 bagi memberi peluang kepada pelajar dari kawasan kampung di Selangor melanjutkan pelajaran di sekolah terpilih sekitar Lembah Klang.

Asrama tersebut terdiri daripada Asrama Tun Dr. Ismail yang menempatkan pelajar lelaki manakala Asrama Toh Puan Norashikin menempatkan pelajar perempuan.

Kebanyakan mereka dihantar ke Sekolah Menengah Aminuddin Baki, Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria, Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Bukit Nanas dan Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist.

Seorang lagi bekas Pengurus Besar yayasan tersebut, Mohamed Shahibi Mohd. Sharif berharap kerajaan negeri menimbang semula keputusan itu kerana asrama berkenaan merupakan sebahagian daripada sejarah Yayasan Selangor.

“Apa lagi yang tinggal di Selangor dalam membantu pembangunan pendidikan penduduk di luar bandar jika asrama itu dirobohkan. Jadi asrama tersebut wajar dipertahankan,” jelasnya.