Puad: Usah politikkan lagi isu SAR – Bernama


Puad: Usah politikkan lagi isu SAR

17 Oktober 2012
Dr Mohd Puad Zarkashi
Dr Mohd Puad Zarkashi

KUANTAN – Parti pembangkang diminta tidak lagi mempolitikkan isu sekolah agama rakyat (SAR) kerana kerajaan pimpinan Barisan Nasional, sejak sekian lama sentiasa memberi bantuan kepada sekolah berkenaan, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata gesaan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini supaya parti pembangkang turut sama dengan BN bagi membantu pendaftaran dan penukaran status SAR kepada Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), perlu dilihat sebagai sesuatu yang positif dalam usaha memartabatkan pendidikan negara.

“Kerajaan tidak pernah mempolitikkan isu pendidikan, apa yang dilakukan adalah semata-mata untuk melahirkan modal insan yang berkualiti dalam membangunkan negara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Kebangsaan Pendidikan Guru 2012, dekat Gambang, di sini.

Beliau berkata tindak tanduk parti pembangkang yang sentiasa mendakwa kerajaan meminggirkan SAR adalah tidak benar sama sekali.

“Dari dulu sehingga kini kerajaan tidak mempolitikan soal pendidikan negara termasuk tidak merancang menghentikan sekolah-sekolah vernakular itu.

“Masalah yang dihadapi oleh sekolah terbabit kerana pemiliknya enggan untuk menyertai SABK berikutan mereka mahu mewariskan sekolah berkenaan kepada generasi seterusnya,” katanya.

Mohd Puad berkata pada tahun lepas sahaja, sebanyak RM95 juta diperuntukkan bagi membantu menaik taraf kemudahan dan pendidikan di sekolah-sekolah berkenaan.

Beliau berkata daripada 385 SAR dan sekolah agama negeri, hanya 196 mendaftar di bawah SABK setakat ini.

“Sekiranya sekolah berkenaan berbuat demikian, banyak manfaat diterima seperti skim guru tetap, kenaikan pangkat dan memiliki pencen selepas bersara,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri sebelum ini berkata penukaran status SAR kepada SABK perlu dilaksana bagi memastikan sesebuah sekolah itu mendapat bantuan sewajarnya seterusnya tidak ditutup akibat masalah seperti  kekurangan dana dan pemilikan tanah.

Muhyiddin berkata Kementerian Pelajaran telah membuat tawaran itu sejak dahulu lagi supaya kesemua pihak boleh membantu penambahbaikan sekolah agama dari segi infrastruktur, kualiti guru, kurikulum dan latihan guru.    – Bernama

Manfaatkan Hari Terbuka Kementerian Pelajaran – Bernama


Manfaatkan Hari Terbuka Kementerian Pelajaran

5 Oktober 2012
Dr Mohd Puad Zarkashi
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Puad Zarkashi

MARAN – Masyarakat diminta memanfaatkan sepenuhnya Hari Terbuka Kementerian Pelajaran yang akan dianjur mengikut zon bulan ini untuk memberi pandangan berhubung sistem  pendidikan negara.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd PuadZarkashi berkata kementerian itu akan menggunakan forum tersebut untuk mengumpul input Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 sebelum dibentang ke Kabinet pada Disember ini.

“Kita memberi ruang kepada rakyat, badan bukan kerajaan dan pihak berkepentingan lain termasuk parti pembangkang untuk beri pandangan masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Mesra Anak Yatim Sekolah Menengah dan Rendah Daerah Maran, di sini hari ini.

Katanya dasar pendidikan negara memerlukan transformasi kerana keupayaan dan kebolehan daya berfikir pelajar masih lemah dan jauh ketinggalan berbanding negara lain di rantau Asia.

Berdasarkan keupayaan pelajar negara ini menjawab soalan tidak berkaitan peperiksaan dalam Program Penilaian Pelajar Antarabangsa baru-baru ini, Malaysia menduduki tangga ke-55 dari 77 negara yang mengambil bahagian, katanya.

Malah kata Puad, kedudukan negara jauh ketinggalan berbanding pelajar China, Hong Kong dan Singapura.

Beliau berkata keupayaan berfikir pelajar di negara ini dikategori lemah kerana sistem pendidikan lebih ke arah peperiksaan. – Bernama

Ambil keterangan remaja kes sumbang mahram – Metro


Ambil keterangan remaja kes sumbang mahram

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Polis sudah mengambil keterangan anak perempuan seorang pemimpin parti pembangkang yang berusia 56 tahun terbabit dalam kes sumbang mahram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata, siasatan terperinci dijalankan untuk mengetahui pembabitan lelaki itu dalam kes berkenaan selepas anak perempuannya yang berusia 15 tahun melahirkan anak.
Katanya, polis juga menyiasat sama ada terdapat individu lain terbabit dalam kes sumbang mahram itu.

 

Keputusan asid deoksiribonukleik (DNA) diambil daripada kedua-dua suspek akan diketahui dalam tempoh seminggu lagi,” katanya.
Harian Metro semalam melaporkan seorang pemimpin sebuah parti pembangkang dan anak lelakinya ditahan bagi membantu polis berhubung satu kes sumbang mahram sehingga remaja perempuan itu melahirkan seorang bayi lelaki di sebuah pusat bersalin di Cheras, Kuala Lumpur empat hari lalu.
Pemimpin bersama anak lelakinya berumur 14 tahun ditahan reman pada 22 Ogos lalu bagi membantu siasatan apabila anak perempuannya yang berumur 15 tahun melahirkan bayi lelaki sebelum dibebaskan Isnin lalu.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 30/08/2012

Kes sumbang mahram: Pemimpin kanan parti pembangkang, anak ditahan – Bernama


Kes sumbang mahram: Pemimpin kanan parti pembangkang, anak ditahan

28 Ogos 2012
JERANTUT – Seorang pemimpin kanan sebuah parti pembangkang dan anak lelakinya ditahan bagi membantu polis berhubung satu kes sumbang mahram.

Pemimpin utama sebuah parti baru itu bersama anak lelakinya yang berumur 14 tahun ditahan reman pada 22 Ogos lepas bagi membantu siasatan apabila anak perempuannya yang berumur 15 tahun melahirkan seorang bayi lelaki.

Mereka dibebaskan semalam.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut DSP Zakaria Kasim, mangsa, 15, melahirkan seorang bayi lelaki tiga hari lepas di sebuah pusat bersalin di Cheras, Kuala Lumpur.

“Kedua-dua suspek, bapa dan anak itu bagaimanapun dibebaskan semalam atas jaminan pihak polis,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata polis juga mengambil sampel DNA kedua-dua suspek dan keputusannya dijangka diketahui dalam tempoh seminggu.

Suspek yang juga saudara terdekat kepada seorang pemimpin kanan sebuah parti pembangkang tanah air, pernah bertanding pada pilihan raya umum ke-12.

Bagaimanapun, suspek yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri di Pahang pada pilihan raya umum lepas itu kalah kepada calon Barisan Nasional. – Bernama

MB nafi soalan bocor punca UPSR cemerlang – Utusan


MB nafi soalan bocor punca UPSR cemerlang

KUALA TERENGGANU 27 Mac – Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mendakwa Pas yang bertanggungjawab menyebarkan tohmahan kononnya Terengganu berjaya mengekalkan kedudukan sebagai negeri terbaik dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) selama 11 tahun disebabkan soalan bocor.

Menurutnya, parti pembangkang terbabit melakukan perbuatan itu dalam ceramah politik mereka sebelum ini sehingga menimbulkan persepsi negatif banyak pihak terhadap keupayaan Terengganu dalam bidang akademik.

Tegasnya, memang tidak pernah berlaku soalan bocor dalam peperiksaan tersebut dan ia sengaja ditimbulkan Pas bertujuan menidakkan kemampuan dan pencapaian cemerlang Terengganu dalam pelajaran.

“Kadang kala kita tidak mahu mengiktiraf kebolehan kita, kita tidak mahu mengaku usaha kerajaan, guru-guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Jangan lupa jasa kerajaan – Sinar Harian


Jangan lupa jasa kerajaan

ALAUDIN MA
15 Mac 2012
Jangan lupa jasa kerajaan

GUA MUSANG – Guru Kelas Fardu Ain (Kafa) perlu ingat jasa kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memberi peluang kepada mereka mengajar dengan menawarkan tangga gaji yang tinggi dan sekali gus mampu menanggung kos sara hidup ahli keluarga.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Ab Aziz Yusof berkata, bagi mendapatkan jawatan itu bukan perkara mudah kerana ia terpaksa melalui proses temu duga dan mereka yang layak sahaja dipilih.

Beliau berkata, mereka yang berjaya dipilih adalah orang harapan kerajaan BN untuk mendidik anak bangsa dan jangan salah gunakan saluran mengajar itu untuk menghentam balik pemimpin kerajaan tersebut.

Menurutnya, walaupun setakat ini belum ada guru Kafa yang bertindak demikian, namun kerajaan bimbang dengan pelbagai perkembangan mutakhir ini yang mudah terpengaruh hasutan pemimpin dari parti pembangkang.

“Oleh itu, kita mahu mereka tumpukan kepada tugas masing-masing mendidik anak bangsa dan jika perlu boleh juga memperjelaskan dasar kerajaan kepada rakyat supaya mudah faham serta tidak keliru hasutan pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Penyampaian Watikah 101 Guru Kafa 2012 Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas di Dewan Sekolah Kebangsaan Seri Wang 2 (SKSW2), dekat sini, kelmarin.

Ab Aziz juga Setiausaha Umno Bahagian Gua Musang berkata, kerajaan BN di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melakukan yang terbaik untuk rakyat sejak kebelakangan ini.

Katanya, langkah itu adalah semata-mata bagi mencapai transformasi kerajaan untuk faedah seluruh rakyat tanpa mengira kaum sama ada yang tinggal di bandar atau luar bandar.

“Kita (kerajaan) memandang jauh ke hadapan kerana tidak mahu lihat rakyat terus dibebani dengan pelbagai masalah hidup terutama tekanan perbelanjaan harian berikutan kos rasa hidup yang meningkat.

“Guru Kafa boleh main peranan untuk turut membantu kerajaan menjelaskan secara tepat apa yang dilaungkan selama ini untuk menjadikan rakyat hidup senang dan menikmati kemajuan sepanjang masa,” katanya.

Beliau yakin guru Kafa yang dilantik setiap tahun dalam kalangan mereka yang mempunyai ilmu serta pengalaman luas untuk berdepan dengan pelbagai isu semasa bagi memperjelaskan bersama.

“Namun, apa yang kita pastikan tugas mereka mendidik pelajar tidak terjejas walaupun turut membantu kerajaan dalam mengembangkan minda kemajuan negara,” katanya.