Leher luka sangkut tali – Metro


Leher luka sangkut tali

 505  53 Google +1  0  1

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Shah Alam: Seorang murid tahun lima sekolah rendah di sini menanggung derita apabila lehernya cedera terkena tali kain rentang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dipasang parti politik yang masih belum dibuang.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari 7 Mei lalu, Mohd Amir Iqbal Mohamad Zuhaizam, 11, sedang menunggang basikal apabila tiba-tiba lehernya tersangkut pada tali kain rentang yang dipasang pada paras rendah di laluan basikal.

Akibat kejadian itu, leher mangsa luka, namun ia bukan kecederaan serius selepas disahkan doktor yang merawatnya.

Bapa mangsa Mohamad Zuhaizam Kamarudin, 39, berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan jiran yang melihat kejadian itu.

FotoKEADAAN leher Mohd Amir Iqbal akibat tersangkut pada tali kain rentang, minggu lalu.

Menurutnya, dia yang dalam perjalanan dari Perak bergegas pulang ke rumah dan membawa anaknya ke klinik berhampiran.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/13

Tiada Halangan Penjawat Awam Sertai Politik – TPM – mStar


Tiada Halangan Penjawat Awam Sertai Politik – TPM

Oleh NURUL AIN MOHD HUSSAIN

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan tidak menghalang penglibatan penjawat awam dalam parti politik namun mereka perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Beliau berkata satu pekeliling telah dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenai penglibatan kakitangan awam dalam mana-mana parti politik namun mereka tidak boleh melakukannya ketika waktu bekerja.

“Sekiranya wujud dakwaan, kita perlu ada laporan secara rasmi. Pihak JPA akan menyiasat terlebih dahulu sama ada ia mempunyai asas atau tidak.

“Kita tidak boleh bertindak hanya kerana ada seseorang mengatakan individu tertentu terlibat dengan politik pembangkang,” katanya ketika sesi soal jawab pada Majlis Perhimpunan Khas Timbalan Perdana Menteri bersama Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Beliau berkata sekiranya ada laporan rasmi diterima ia akan disiasat secara telus dan adil tanpa sebarang diskriminasi.

Sementara itu Pengerusi Cuepacs, Datuk Omar Osman menyeru penjawat awam yang ingin terlibat dengan aktiviti politik agar mendapatkan kebenaran daripada ketua jabatan masing-masing terlebih dahulu.

“Kita memang ada pekeliling yang mengikat penjawat awam. Mereka perlu minta kebenaran jabatan masing-masing terutamanya penjawat awam daripada Gred 1-40 (kumpulan pelaksana).

“Tak kisah parti politik apa sekalipun jika dia (penjawat awam) tidak meminta kebenaran ketua jabatan, tindakan boleh diambil dan surat tunjuk sebab boleh dikeluarkan,” katanya.

Beliau turut berharap penjawat awam yang mahu terlibat dalam aktiviti politik membuat permohonan secara rasmi kepada ketua jabatan masing-masing menyatakan mereka akan terlibat dengan aktiviti sedemikian selepas waktu pejabat.

“Kita tidak mahu apabila penjawat awam terlibat tanpa mendapat kebenaran dan bila dikenakan surat tunjuk sebab, tindakan tatatertib boleh diambil. Ini akan menimbulkan masalah di kemudian hari.

“Bagi Cuepacs kita sebagai penjawat awam kita telah tanda tangani aku janji, ikrar perkhidmatan awam lebih baik kita tumpukan kepada agenda kita sebagai kakitangan kerajaan,” katanya.

Culik anak doktor: Polis tahan kontraktor – Sinar Harian


Culik anak doktor: Polis tahan kontraktor

NURUL FATIHAH SULAINI
7 Oktober 2012
 Mohd Zakaria Ahmad
Mohd Zakaria Ahmad

ALOR SETAR – Seorang kontraktor membina kuil ditahan untuk membantu siasatan berhubung kes penculikan seorang anak doktor pakar berumur 13 tahun 25 September lalu susulan penahanan lima suspek sebelum ini.

Berdasarkan maklumat awal, dipercayai lelaki berkenaan seorang pemimpin parti politik di peringkat bahagian di Kedah, dikatakan mempunyai hubung kait dengan perancang utama kes itu.

Ketua Jabatan Bahagian Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd Zakaria Ahmad berkata, suspek berumur 52 tahun itu ditahan ketika berada di hadapan sebuah restoran di Jalan Sekerat, Sungai Petani kira-kira jam 6 petang semalam.

“Kita sudah mendapatkan perintah reman dari pendaftar Mahkamah Majistret Alor Setar, Datin Chan Lee Fong untuk menahan suspek sehingga 11 Oktober ini bersama lima suspek yang ditahan pada 28 September lalu,” katanya.

Sinar Harian pada 1 Ogos lalu melaporkan polis berjaya menahan empat lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga Myanmar berketurunan India disyaki terlibat dalam kes penculikan seorang kanak-kanak lelaki.

Penahanan itu dibuat susulan pihak polis menerima satu laporan daripada seorang doktor yang mempunyai sebuah klinik pakar di sini berhubung kehilangan anak lelakinya setelah dipercayai hilang selepas tamat menghadiri kelas tambahan di sebuah rumah di Kampung Pisang, di sini.

Dalam pada itu, sejam kemudian bapa mangsa yang berumur 47 tahun menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memberitahu anaknya berada dalam tangan mereka dan menuntut wang tebusan sebanyak RM500,000.

Namun hasil perbincangan keluarga mangsa dan suspek, nilai wang tebusan dikurangkan kepada RM350,000 sebelum membebaskan mangsa.