Pasangan didenda berkhalwat – SInar Harian


Pasangan didenda berkhalwat

WARTAWAN SINAR HARIAN
3 April 2012

KAMPUNG RAJA – Sepasang kekasih yang ditangkap ketika berdua-dua dalam sebuah hotel ketika satu operasi sempena Hari Kekasih pada Februari lalu didenda maksimum sebanyak RM3,000 seorang oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini.

Lelaki berumur 48 tahun dan pasangannya yang berumur 17 tahun itu dijatuhkan hukuman selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan khalwat itu dihadapan Majistret Mohd Nazri Yusof.

Mereka ditangkap dalam satu operasi pada jam 5.15 pagu, 15 Februari lalu di sebuah hotel di Kuala Besut kerana berdua-duaan tanpa hubungan sah sebagai suami-isteri atau muhram yang boleh mendatangkan syak melakukan perbuatan tidak bermoral.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (takzir) Terengganu 2001 kerana kesalahan berkhalwat yang boleh dihukum denda maksimun RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes yang dibacakan Pendakwa Syarie, Mohd Kasmizan Abdullah, sepasukan penguatkuasa pejabat Agama Daerah telah membuat pemeriksaan pada sebuah bilik di hotel tersebut.

Selepas lima minit pintu utama diketuk, seorang lelaki yang hanya memakai kain pelikat tanpa baju telah membuka pintu.

Keadaan dalam bilik itu gelap dan selepas lampu dibuka, anggota penguatkuasa mendapati seorang perempuan memakai kain batik, baju T lengan pendek tanpa tudung terbaring atas katil bersama seorang bayi lelaki berumur lima bulan.

Pasangan yang beralamat di Kampung Peramu Maju, Kuantan, Pahang itu membayar denda yang dikenakan menyebabkan mereka terlepas daripada hukuman penjara sebulan.

Sementara itu, bayi lelaki bersama wanita itu adalah anak luar nikahnya dengan lelaki lain sebelum ini.