Pasangan tak mengaku dera anak
JOHOR BAHRU 27 April – Sepasang suami isteri warga Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan mendera tiga anak mereka pada Ahad lalu.
Idris Yaacob, 46, dan ibu tiri kepada mangsa, Zarina Ibrahim, 39, dituduh dengan sengaja telah mendatangkan kecederaan fizikal dan emosi terhadap ketiga-tiga mangsa yang berusia tujuh, 10 dan 14 tahun.
Pasangan yang bekerja sebagai guru muzik itu didakwa melakukan perbuatan tersebut kira-kira pukul 12 tengah hari, 22 April lalu di sebuah rumah di Kampung Melayu, Gelang Patah dekat sini.
Pegawai pendakwa, Inspektor Hasbullah Noor menawarkan ikat jamin RM45,000 bagi setiap tertuduh namun kedua-duanya merayu agar jumlah tersebut dikurangkan atas alasan kurang berkemampuan dan tidak dapat menghubungi ahli keluarga bagi meminta bantuan.
Majistret Hafizah Johor Ariff Johor kemudian membenarkan pasangan tersebut masing-masing diikat jamin RM25,000 sementara menunggu sebutan kes pada 11 Jun ini.
Memetik laporan akhbar, polis menahan kedua-dua tertuduh di rumah mereka pada Selasa lalu kerana dipercayai mendera tiga anak mereka.
Penahanan tersebut adalah hasil laporan yang dibuat sendiri oleh seorang remaja perempuan berusia 14 tahun kerana tidak tahan dengan penderaan yang dilakukan terhadapnya dan juga ke atas adik perempuannya berusia 10 tahun serta adik lelakinya, tujuh tahun.