Ibu tunggal trauma anak dilarikan penjenayah bersama kereta – Utusan


Ibu tunggal trauma anak dilarikan penjenayah bersama kereta

Oleh TOREK SULONG

SEORANG penduduk kampung melihat bangkai kereta Proton Wira milik Noraini Mohamad yang dipercayai dibakar penyamun di tepi sawah di Kampung Tanjung Takang, Bachok hari ini. – UTUSAN

BACHOK 19 Mac – Seorang ibu tunggal di Kampung Pauh Sembilan, dekat sini masih trauma mengenangkan insiden kehilangan anaknya yang berusia lapan tahun selama beberapa jam selepas keretanya dilarikan penyamun ketika pulang dari berniaga di pasar borong Wakaf Che Yeh, Kota Bharu, Ahad lalu.

Noraini Mohamad, 39, berkata, kejadian yang tidak diduga itu berlaku pada pukul 2.30 pagi ketika dia turun dari kereta untuk membuka pintu pagar.

Kejadian itu juga jelas Noraini, menyebabkan dia kehilangan wang tunai RM4,000, barang kemas, telefon bimbit dan beberapa dokumen penting selain kereta miliknya turut dibakar penjenayah terbabit.

“Ketika itu saya terdengar bunyi orang berlari dalam keadaan gelap dan terus masuk ke dalam kereta. Anak keempat yang turut menemani saya berniaga, Nordini Amalina Mohd. Zabidi, 8, berada dalam kereta berkenaan.

“Saya tergamam dengan kejadian yang berlaku dengan terlalu pantas dan meminta bantuan orang ramai untuk membuat aduan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Bachok selepas itu,” kata ibu kepada enam orang anak itu ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Noraini berkata, anak perempuannya ditemui beberapa jam kemudian di Kemumin, Pengkalan Chepa, dipercayai ditinggalkan di situ oleh penyamun terbabit. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130319/je_12/Ibu-tunggal-trauma-anak-dilarikan-penjenayah-bersama-kereta#ixzz2NzdSprr5
© Utusan Melayu (M) Bhd

Remaja bawa adik terjun tingkat dua elak disambar api – Utusan


Remaja bawa adik terjun tingkat dua elak disambar api

Anggota JPAM memberi rawatan kepada Noor Munirah Syazwani Zakir yang cedera akibat terjun bersama adiknya dari tingkat atas rumah teres dua tingkat semasa rumah mereka terbakar di Melaka, malam semalam.

MELAKA 18 Okt. – Keberanian seorang remaja perempuan berusia 16 tahun terjun dari tingkat atas rumah teres dua tingkat keluarganya yang terbakar malam tadi, bersama adiknya berusia tiga tahun, berjaya menyelamatkan mereka daripada rentung.

Kejadian di Taman Datuk Tamby Chik Karim, Batu Berendam itu berlaku ketika Noor Munirah Syazwani Zakir dan Yasin Amirul Aiman serta seorang lagi, Mohd. Zarif Nazmi, 8, leka menonton televisyen, pukul 9.40 malam.

Mohd. Zarif bagaimanapun diselamatkan jiran menggunakan tangga.

Menurut bapa mangsa, Zakir Abu Hussin, 38, ketika kebakaran yang dipercayai berpunca dari dapur, beliau dan isterinya, Norizan Idris, 39, keluar berniaga di pasar borong berhampiran.

Sila dapatkan naskhah Utusan Malaysia hari ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121019/dn_18/Remaja-bawa-adik-terjun-tingkat-dua-elak-disambar-api#ixzz29iokd3cb
© Utusan Melayu (M) Bhd