Pendidikan Terlalu Berharga Untuk Dipolitikkan – PM – mStar


Pendidikan Terlalu Berharga Untuk Dipolitikkan – PM

Oleh MAZWIN NIK ANIS dan SYED AZHAR

TUMPAT: Kerajaan Persekutuan tidak akan meminggirkan negeri-negeri diterajui Pembangkang dalam hal pendidikan kerana ia terlalu berharga untuk dijadikan sebagai agenda politik.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, walaupun Kelantan berada di bawah pemerintahan pembangkang PAS selama lebih 20 tahun, para pelajar di negeri itu menikmati faedah yang sama dengan mereka di tempat lain.

“Kita mungkin mempunyai perbezaan pandangan dan kita boleh berhujah mengenai sesuatu isu.

“Tetapi kita menyedari bahawa pendidikan adalah jauh lebih berharga untuk ia dipolitikkan.”

“Kehadiran saya di sini hari ini adalah untuk mengulangi pendirian kerajaan,” katanya semasa lawatan sehari ke Kelantan pada Ahad.

Najib menegaskan bahawa kerana perhatian yang serupa diberikan kepada negeri itu, Kelantan muncul sebagai kedua terbaik dalam peperiksaan UPSR yang lalu.

Najib berkata demikian pada majlis penyampaian bantuan sekolah RM100 kepada 3,274 pelajar dari tiga sekolah di sini.

Beliau turut melancarkan program Janji Ditepati dan membuat lawatan di Pasar Siti Khadijah.

350,000 pelajar Kelantan terima bantuan awal persekolahan tahun ini – Bernama


350,000 pelajar Kelantan terima bantuan awal persekolahan tahun ini

18 Januari 2013
Mustapa Mohamed
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Seri Mustapa Mohamed

KOTA BHARU – Kira-kira 350,000 pelajar di Kelantan, termasuk sekolah bantuan kerajaan, agama dan swasta akan menerima wang tunai di bawah bantuan awal persekolahan RM100 seorang yang akan dilancarkan Perdana Menteri, Ahad ini.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka menyampaikan bantuan itu sebagai gimik pelancaran di Sekolah Kebangsaan Sri Wakaf Baharu, Tumpat, pada perhimpunan pagi sekolah itu.

Majlis itu sempena lawatan kerja sehari Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor ke negeri ini.

“Kalau (tahun) dulu, kerajaan menyampaikan bantuan pendahuluan persekolahan ini akhir tahun, tapi kali ini kita bagi awal persekolahan supaya ia dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh golongan sasaran,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Terdahulu, Mustapa yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan merasmikan Kursus Simulasi Pilihan Raya dan Pelancaran Jentera Siber Pemuda BN Kelantan.

Mustapa berkata sempena lawatan itu, Najib akan mengadakan lawatan ke Pasar Siti Khadijah, sebuah pasar pusat yang menjadi ikon pelancongan yang terkenal dengan sifat kerajinan wanita Kelantan dalam bidang perniagaan.

Katanya terdapat kira-kira 700 wanita memiliki ruang niaga di pasar itu, di mana kerajaan pusat membelanjakan berjuta ringgit bagi beberapa projek pengubahsuaian dan menaik taraf pasar tersebut.

“Ini sebagai suatu penghormatan yang diberikan Perdana Menteri kepada rakyat Kelantan, terutama peniaga,” katanya.

Membuktikan kerajaan Pusat tidak mengabaikan pembangunan untuk kepentingan rakyat Kelantan walaupun berada di bawah parti pembangkang, katanya.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata banyak lagi projek pembangunan akan dapat dilaksanakan di negeri ini, jika BN diberi mandat mentadbir Kelantan dalam pilihan raya umum nanti.

Beliau berkata selepas melawat Pasar Siti Khadijah, perdana menteri dan isteri akan menemui rakyat pada Program Jelajah Janji Ditepati di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kelantan di Tunjung di sini.

Katanya Najib yang juga Presiden Umno mengakhiri lawatannya dengan menghadiri Mesyuarat Badan Perhubungan Umno Kelantan di sebuah hotel di sini. – Bernama

Gadis tomboi disyaki turut diperkosa – Kosmo


Gadis tomboi disyaki turut diperkosa

 

Oleh YATIMIN ABDULLAH
berita@kosmo.com.my

 


 

KOTA BHARU – Siasatan polis berhubung kes kematian seorang gadis tomboi, Nor Ain Shafnie Mohd. Azizi (gambar) yang mayatnya ditemui dibakar bersama motosikalnya di kawasan ladang kelapa sawit di Jeram Tekoh, Gua Musang minggu lalu percaya mangsa turut dirogol sebelum dibunuh.

Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara tersebut dengan menyoal siasat sembilan suspek termasuk dua wanita yang ditahan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu.

Kesemua mereka merupakan rakan-rakan Nor Ain Shafnie, 16, dan kebanyakan mereka adalah penagih dadah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman memberitahu, pihaknya tidak boleh mendedahkan lebih banyak maklumat kerana bimbang ia akan mengganggu siasatan.

“Polis mengesyaki gadis berkenaan telah dirogol sebelum dibunuh dan dibakar. Siasatan masih berjalan dan kita tidak boleh dedahkan semuanya,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di Pasar Siti Khadijah dan Buluh Kubu di sini semalam.