Rosmah: Badan amal jangan putus asa bantu kanak-kanak OKU – Bernama


Rosmah: Badan amal jangan putus asa bantu kanak-kanak OKU

6 Ogos 2012
PETALING JAYA – Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor hari ini meminta semua badan amal agar tidak berputus asa dalam menyediakan pelbagai program yang dapat mempersiapsiagakan kanak-kanak Orang Kelainan Upaya (OKU) ke tahap yang lebih tinggi.

Beliau berkata waima sekalipun keadaan golongan itu, masyarakat tidak boleh sesekali terlepas pandang terhadap kebajikan kanak-kanak istimewa itu kerana mereka juga mempunyai kelebihan masing-masing, bahkan mungkin lebih hebat daripada kanak-kanak yang sempurna sifat.

“Tingkatkan kolaborasi dengan pelbagai pihak, tidak kiralah pihak kerajaan, golongan korporat mahupun individu supaya mereka (OKU) sentiasa menjadi sebahagian daripada masyarakat,” katanya dalam ucapan pada majlis penyampaian sumbangan Hari Raya Aidilfitri di Pasaraya Mydin, Subang Jaya di sini.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) Toh Puan Dr Aishah Ong.

Rosmah juga berharap agar tiada lagi kekangan minda dalam kalangan ibu bapa mahupun guru-guru dan masyarakat untuk mendidik anak-anak ini, supaya mereka dapat meneruskan kehidupan yang lebih baik.

Beliau berkata golongan itu juga perlu diberi ruang untuk memainkan peranan secara lebih menyeluruh dan saksama agar dapat mencapai potensi maksimum sebagai masyarakat yang mampu menyumbang ke arah pencapaian matlamat wawasan 2020.

Dalam pada itu, Rosmah berkata tahun ini, Bakti menyerahkan bantuan berjumlah RM10,000 untuk diagih-agihkan kepada kanak-kanak OKU di pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan
Masyarakat

Pada majlis itu, Bakti menyampaikan sumbangan duit raya dan pakaian kepada 237 OKU daripada pusat PDK sekitar Wilayah Persekutuan dan Selangor.

Turut hadir Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd Datuk Ameer Ali Mydin. – Bernama

Jelajah Kolej Vokasional 1 Malaysia dilancar – Bernama


Jelajah Kolej Vokasional 1 Malaysia dilancar

29 Mei 2012

KUALA TERENGGANU – Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) kini giat mempromosi Program Jelajah Kolej Vokasional 1Malaysia kepada umum bagi kemasukan pelajar sesi pertama bermula tahun depan.

Urusetia program jelajah tersebut, Mohd Yunus Yusof berkata usaha itu diharap mampu membuka dan mengikis tanggapan segelintir minda rakyat yang menganggap aliran vokasional sebagai pendidikan kelas kedua.

“Program jelajah bermula semalam melibatkan sebanyak 21 buah sekolah dari seluruh Semenanjung dengan penyertaan 164 peserta dari kalangan guru, staf dan pelajar dari sekolah aliran tersebut di seluruh negara.

“Buat masa ini, ia melibatkan laluan negeri Johor, Pahang, Terengganu, Perak dan Negeri Sembilan dimana kita memberi tumpuan dan penekanan kepada daerah pedalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas tiba bersama rombongan konvoi di sini hari ini.

Rombongan tersebut kemudiannya mengedarkan risalah kepada masyarakat awam di sekitar Perpustakaan Awam Terengganu, Pusat Dagangan Terengganu, Pasaraya Giant dan Pasaraya Mydin sebelum bertolak ke destinasi seterusnya ke Tanah Merah, Kelantan pada hari yang sama.

Sebelum ini, kerajaan bersetuju semua sekolah aliran vokasional di negara ini dinaiktaraf kepada kolej vokasional menjelang tahun 2013 bagi memastikan bekalan tenaga kerja teknikal berkemahiran tinggi di negara iniĀ  mencukupi.

“Kurikulum vokasional dirombak secara komprehensif agar mencapai standard yang memenuhi keperluan pasaran kerja selain pengenalan beberapa kursus baru antaranya kursus penerbangan bagi menarik minat pelajar,” katanya.

Pelajar aliran Kolej Vokasional akan mengikuti kursus selama lapan semester (empat tahun), meliputi 70 peratus kemahiran dan 30 peratus akademik serta akan menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Empat setaraf diploma daripada Kementerian Sumber Manusia.

Pada masa ini, terdapat 78 sekolah vokasional seluruh negara akan dinaik taraf secara berperingkat.- Bernama