Dua beradik derita talasemia – Sinar Harian


Dua beradik derita talasemia
ERMA YUSNIDA JUSOH
13 Ogos 2012

Wan Emril menyampaikan sumbangan kepada Ruziean dan Muhammad Azri pada program itu.
KUANTAN – Dua beradik di Taman Tas di sini melalui kehidupan tidak normal apabila terpaksa berulang alik ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi menjalani pemindahan darah ekoran penyakit talasemia yang dihidapi sejak kecil.

Talasemia adalah penyakit kelainan pada darah iaitu kegagalan tubuh membentuk hemoglobin yang normal menyebabkan kerosakan pada sel darah merah.

Ruziean Azyanti, 25, yang menghidap talasemia Major dan Muhammad Azri Zulkifli, 15, pula berada di tahap sederhana reda dan menerima keadaan diri masing-masing walaupun sukar untuk melakukan aktiviti harian kerana penyakit yang dihidapi mereka.

Bagi ibunya, Siti Fatimah Mamat, 43, anak keduanya itu menunjukkan perubahan fizikal dan sering sakit ketika usia empat bulan manakala anak bongsunya pada usia lapan bulan.

“Apabila keadaan Ruziean sering demam dan pucat, saya membawanya ke klinik dan selepas pemeriksaan doktor mengesahkan dia mengalami talasemia.

“Malah doktor juga meminta saya membuat pemeriksaan dan disahkan sebagai pembawa penyakit itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Tas, sempena Jelajah Ramadan anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pahang dengan kerjasama Dewan Undangan Negeri (Dun) Panching.

Hadir sama, Presiden GPMS Pahang, Wan Emril Nizam Wan Embong, Setiausahanya, Nasrul Isyam Abd Hamid dan Yang Dipertua GPMS Paya Besar, Mohd Isharizal Sahak.

Siti Fatimah berkata, keadaan fizikal kedua-dua anaknya sedikit terbantut selain tidak mampu melakukan berat.

“Mereka akan cepat letih dan ada kalanya pitam sekiranya kekurangan darah, buat masa ini, kedua-duanya akan mendapatkan bekalan darah sebulan sekali di hospital dan jumlah bergantung pada keperluan.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana mereka kuat menghadapi dugaan penyakit ini,” katanya.

Jangan jual semula netbook – Sinar Harian


Jangan jual semula netbook
NOOR AZIANTY NORMAN
10 Julai 2012

Mohd Zaili menyampaikan netbook 1 Malaysia kepada salah seorang pelajar.
KUANTAN – Guru sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Panching diminta untuk memantau pelajar yang menerima bantuan netbook bagi mengelakkan mereka menjual semula kemudahan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Panching, Datuk Mohd Zaili Besar berkata, mana-mana pelajar yang didapati melakukan perkara itu, pelajar lain dari sekolah terbabit mungkin akan dikecualikan daripada menerima bantuan itu.

“Ini bukan satu gertakan, tetapi sebagai peringatan kepada pelajar dan guru untuk lebih bertanggungjawab dengan pemberian kerajaan. Jika ada pelajar yang melakukan kesalahan itu, kita mungkin tidak akan memberikan lagi bantuan itu kepada pelajar dari sekolah yang sama.

“Bila kita mengenakan tindakan ini, secara tidak langsung pihak sekolah akan memberikan kerjasama dengan memantau pelajar yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Netbook 1 Malaysia Untuk Pelajar Sekolah Menengah Parlimen Paya Besar, semalam.

Katanya, pelajar yang terpilih seharusnya menghargai pemberian kerajaan kerana masih ramai lagi yang menanti untuk menerima bantuan netbook itu.

“Jika mereka tidak mahu, maklumkan kepada pihak sekolah supaya netbook yang ada boleh diberikan kepada pelajar yang lebih memerlukan. “Kerajaan memberikan kemudahan ini bukan untuk pelajar menjualnya semula, tetapi untuk dimanfaatkan dalam menelaah pelajaran,” katanya.

Mohd Zaili berkata, sebelum ini beliau pernah mendengar khabar angin bahawa ada pelajar yang menjual netbook itu dengan harga ‘suka sama suka’.

“Walaupun tidak pernah terima aduan jelas, namun saya tetap mahu mengingatkan pelajar kerana tidak mahu perkara seperti ini berlaku.

“Saya harap, ibu bapa juga dapat bekerjasama memantau anak-anak mereka serta memastikan kemudahan itu tidak disalahgunakan,” katanya.

Dalam majlis itu, seramai 1,100 pelajar melibatkan empat buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Garuda, SMK Sri Panching, SMK Pandan dan SMK Bukit Rangin hadir menerima netbook.

Peruntukan naik taraf SAR – Sinar Harian


Peruntukan naik taraf SAR

WARTAWAN SINAR HARIAN
10 April 2012
Abdul Manan (tengah) menyampaikan cek kepada wakil enam sekolah di sekitar kawasan Parlimen Paya Bes

KUANTAN – Sebanyak RM21,974 peruntukan telah disalurkan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) untuk menaiktaraf sekolah tersebut bagi menjamin kualiti pembelajaran di situ.

Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail berkata, SAR memainkan peranan penting dalam membentuk ilmu pendidikan Islam di kalangan murid-murid selain tumpuan kepada mata pelajaran akademik.

Menurutnya, dengan peruntukan yang diberikan oleh kerajaan ini dapat menaiktaraf SAR itu agar lebih selesa dengan keselamatan yang terjamin.

“Kita juga sedia maklum bahawa SAR ini tiada bantuan khusus yang disalurkan. Oleh itu, dengan bantuan daripada kerajaan ini ia menunjukkan komitmen kerajaan yang tinggi dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Saya yakin dengan adanya peruntukan ini, murid di sekolah ini boleh berjaya dalam kedua-dua bidang akademik dan pendidikan Islam,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar Kafa, Felda Lepar Utara Satu, Shuhaida Che Saad berkata, peruntukan disampaikan itu akan digunakan untuk membaiki beberapa kerosakan yang ada selain menaiktaraf bangunan sekolah yang uzur.

“Alhamdulillah dengan peruntukan ini dapatlah kami gunakan untuk kepentingan sekolah kerana keadaan sekolah ini masih perlukan pembangunan lagi.

“Terima kasih kepada pihak kerajaan kerana memahami kehendak dan keperluan murid di sekolah ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar ada bantuan susulan dapat disalurkan untuk menaiktaraf sekolah tersebut selaras dengan pembangunan sekolah-sekolah yang lain di negara ini.