Pembantu restoran dituduh rogol gadis bawah umur – Sinar Harian


Pembantu restoran dituduh rogol gadis bawah umur
RUBIAH OMAR
1 Ogos 2012

Nor Iskandar mengaku tidak bersalah merogol gadis bawah umur di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, semalam.
KUALA TERENGGANU- Seorang pembantu sebuah restoran francais di bandar raya ini, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas dakwaan merogol seorang gadis bawah umur, dua tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Nor Iskandar Ahmad Shamsol Bahri, 20, dari Rumah Awam Kos Rendah, Bukit Payong, Marang, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas dakwaan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan itu.

Dia mengaku tidak bersalah merogol mangsa yang semasa kejadian berusia 13 tahun di dalam bilik tidur di sebuah rumah di Jalan Sultan Mahmud, di sini, pada 2 Ogos 2010 antara jam lebih kurang 1 petang hingga 1.20 petang.

Dengan itu, dia mengaku tidak bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh boleh sampai 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud di hadapan hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Selepas pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, Wan Fadhilah menetapkan 3 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin.

Dituduh rogol kekasih bawah umur – Sinar Harian


Dituduh rogol kekasih bawah umur
WARTAWAN SINAR HARIAN
14 Jun 2012
KUALA TERENGGANU – Baru lapan bulan bercinta, seorang buruh berani mengambil kesempatan merogol teman wanitanya yang ketika itu baru berusia 15 tahun, di dua lokasi berasingan pada Julai dan September tahun lalu.

Akibatnya, Mohammad Hafizuddin Maula Manan, 21, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas dua pertuduhan merogol kekasihnya itu yang masih di bawah umur.

Bagaimanapun, dia yang berasal dari Kampung Berangan Pak Ayu, Bukit Payong, Marang, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana merogol mangsa dibacakan dihadapan Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin.

Mengikut pertuduhan pertama, dia yang bekerja sebagai buruh itu mengaku tidak bersalah atas dakwaan merogol mangsa di Lorong 6, Pulau Kambing, di sini antara jam 11 hingga 12 malam, 23 Julai 2011.

Dia yang memakai baju T berwarna putih turut mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan kedua, yang mendakwa dia merogol mangsa di sebuah rumah di Kampung Bukit Bayas, di sini, kira-kira jam 12 malam, 12 September 2011.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Mohammad Hafizuddin berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.

Selepas pengakuan tidak bersalah Mohammad Hafizuddin direkodkan, Zainal Abidin menetapkan 17 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes nuntuk lantikan peguam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Masriwani Mahmud @ Mamat.

‘Saya pun mampu berjaya’ – Metro


‘Saya pun mampu berjaya’
Oleh Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my

KUALA TERENGGANU: Tidak dapat bergerak selincah kanak-kanak seusianya kerana menghidap penyakit sendi lembik atau Arthrogyroposis Multiplex Congenita With Bilateral Ctev tidak mematahkan semangat murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Bukit Payong, Marang untuk mengejar cita-citanya menjadi pendidik.

Kesungguhan Nur Fatihah Abdul Karim, 11, mengejar cita-citanya dapat dilihat dengan pencapaian cemerlang dalam peperiksaan apabila memperoleh 5A dalam peperiksaan akhir tahun lalu.
Menurut anak sulung daripada empat beradik itu, penyakit yang dihidapinya sejak kecil membataskan pergerakannya apabila tidak mampu menggerakkan tangan dan kaki seperti orang lain.

“Sebelum ini, saya sering menangis apabila mengenangkan kekurangan diri apatah lagi apabila melihat rakan boleh bermain dan berlari membuatkan saya rasa kerdil.
“Namun, dorongan ibu bapa, keluarga, guru dan rakan menjadikan saya kuat dan menerimanya sebagai ujian.
“Saya sedar tidak sepatutnya menjadikan penyakit ini alasan untuk kelihatan lemah dan perlu membuktikan saya mampu berjaya seperti individu normal,” katanya selepas menerima kunjungan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan isteri, Toh Puan Seri Norliza Mahmud di Kampung Gong Kiat, di sini, semalam.

Nur Fatihah yang lebih dikenali Along dalam keluarganya berkata, sebelum ini dia langsung tidak dapat menulis atau makan sehingga terpaksa bergantung kepada ibunya, Mahani Mat Leha, 32, dan ayahnya, Abdul Karim Abdullah, 39.
“Namun, dengan kesabaran dan tunjuk ajar ibu bapa serta guru di sekolah, saya boleh menulis menggunakan jari tangan dan mengulang kaji pelajaran dengan e-Book walaupun menggunakan jari kaki,” katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata, kerajaan negeri akan mencari penyelesaian bagi membantu Nur Fatihah dan sudah menghubungi doktor pakar saraf di Kuala Lumpur bagi membolehkan pemeriksaan lanjut dijalankan.
“Kami akan menghantar Nur Fatihah mendapatkan rawatan secepat mungkin dan kos ditanggung kerajaan negeri. “Kami juga akan membantu keluarga ini memberi keperluan harian Nur Fatihah seperti lampin pakai buang dan ubat.
Sementara itu, Mahani melahirkan rasa terharu dan terima kasih dengan kunjungan Menteri Besar serta isteri.
“Sebagai ibu, saya mahu melihatnya membesar seperti rakan seusianya dan berharap kunjungan Menteri Besar memberi sinar baru kepada Nur Fatihah.
“Dengan pendapatan suami RM1,000 sebagai penjual ikan, bantuan mendapatkan rawatan pakar dan keperluan harian sedikit sebanyak meringankan beban kami sekeluarga,” katanya.