Pelajar sekolah terbabit aktiviti pecah rumah – Bernama


Pelajar sekolah terbabit aktiviti pecah rumah

20 Jun 2013

NIBONG TEBAL – Pelajar sekolah adalah antara 17 lelaki yang berjaya diberkas polis kerana terbabit dalam kegiatan pecah rumah yang dilapor menjadi – jadi di sekitar daerah Seberang Perai Selatan kebelakangan ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Shafien Mamat berkata mereka yang berusia 15 hingga 30 tahun itu merupakan anggota tiga kumpulan pecah rumah dikenali ‘Geng Belalang’, ‘Geng Amirul’ dan ‘Geng Simpang Ampat.

“Kebanyakan anggota kumpulan tersebut adalah pelajar sekolah dan baru hendak berjinak-jinak dengan kegiatan berkenaan,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Menurutnya kesemua mereka diberkas dalam beberapa serbuan sejak awal bulan ini hasil risikan pasukan petugas khas yang ditubuhkan dua bulan lalu bagi membanteras kegiatan pecah rumah di sekitar daerah berkenaan.

“Dengan tertangkapnya mereka, polis percaya dapat menyelesaikan 13  kes, yang mana lima kes dilaporkan di Sungai Bakap, Simpang Ampat (tiga kes) dan Nibong Tebal (lima kes),” katanya.

Menurutnya polis juga memberkas 10 lagi individu termasuk pelajar sekolah kerana membeli barangan hasil pecah rumah kumpulan terbabit.

Shafien berkata polis juga menemui semula sebahagian barangan yang dicuri tiga kumpulan itu dengan anggaran nilai RM70,000.

“Mereka ini ambil apa sahaja barang yang mereka nampak termasuk patung, kereta mainan dan tilam,” katanya.

Menurut Shafien, modus operandi tiga kumpulan terbabit hampir sama iaitu mengumpil pintu dan memanjat bumbung serta menyasarkan rumah tiada penghuni.

Hasil ujian air kencing mendapati 11 daripada suspek positif dadah jenis syabu, katanya. – Bernama

‘Geng Kechik Selayang’ aktif curi motosikal tumpas – Utusan


‘Geng Kechik Selayang’ aktif curi motosikal tumpas

Zakaria Pagan menunjukkan motosikal yang dirampas daripada Geng Kechik Selayang di Balai Polis Kepong, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 21 Mac – Polis menumpaskan penjenayah dikenali sebagai ‘Geng Kechik Selayang’ yang aktif mencuri motosikal di beberapa Felda di Pahang dan Lembah Klang, berikutan tertangkapnya 21 anggota kumpulan itu termasuk seorang remaja perempuan.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, suspek berusia lingkungan 17 hingga 28 tahun ditangkap dalam beberapa serbuan di sekitar Lembah Klang dan beberapa Felda di Pahang, sejak 5 Mac lalu sehingga semalam.

Beliau berkata, tujuh daripada suspek ditahan di Pahang dipercayai terlibat mencuri motosikal, manakala lima orang pula merupakan pembeli dan dua orang menjadi orang tengah dalam urusan jual beli kenderaan curi tersebut.

“Siasatan mendapati kumpulan penjenayah terbabit telah aktif melakukan kegiatan curi motosikal, samun dan pecah rumah sejak setahun lalu.

“Kegiatan mereka bagaimanapun terbongkar apabila ketua kumpulannya dikenali sebagai ‘Kechik’ berusia 21 tahun ditahan polis selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan di Jalan Gombak di sini pada 5 Mac lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Balai Polis Kepong di sini hari ini.

Zakaria berkata, suspek ditahan semasa sedang mencari motosikal untuk dicuri tetapi seorang rakannya yang menunggu atas sebuah motosikal berjaya melepaskan diri setelah menyedari kelibat sepasukan anggota polis yang sedang menjalankan rondaan jenayah.

Beliau berkata, hasil siasatan terhadap suspek, polis berjaya mengesan dan menahan beberapa rakannya yang terlibat dalam jenayah itu serta merampas semula 27 motosikal yang dilaporkan dicuri sebelum ini.

“Kumpulan penjenayah ini menyasarkan mencuri motosikal jenis Honda EX5, Yamaha LC dan Yamaha RXZ yang diletak di tempat-tempat letak motosikal awam.

“Kenderaan curi ini kemudian dijual kepada pembeli-pembeli di kawasan Felda dengan harga antara RM300 hingga RM1,000 sebuah dan ada juga diambil alat ganti untuk dijual,” katanya.

Menurut Zakaria, modus operandi penjenayah ini ialah mengagihkan beberapa tugas kepada ahli kumpulannya seperti mencari sasaran lokasi mencuri, pembeli dan tukang lerai komponen motosikal untuk dijual.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati ‘Kechik’ baru sahaja dibebaskan oleh mahkamah dengan jaminan bon bagi kes yang sama kira-kira dua minggu yang lalu.

Katanya, polis percaya dapat menyelesaikan 10 kes kecurian motosikal dilaporkan di Lembah Klang dan dua kes di Temerloh, Pahang dengan tertumpasnya kumpulan penjenayah itu.

“Kesemua suspek direman sehingga Ahad ini, untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan kerana terlibat dalam curi kenderaan bermotor; Seksyen 457 Kanun Keseksaan (pecah rumah); Seksyen 411 (memiliki barang curi) dan Seksyen 395/170 Kanun Keseksaan kerana menyamun secara berkumpulan,” ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130322/je_03/Geng-Kechik-Selayang-aktif-curi-motosikal-tumpas#ixzz2OHJ1emvU
© Utusan Melayu (M) Bhd

Perompak cilik dicekup ketika cuba pecah masuk kedai telefon – Utusan


Perompak cilik dicekup ketika cuba pecah masuk kedai telefon

SHAH ALAM 27 Nov. – Polis menumpaskan satu kumpulan perompak cilik ekoran penahanan dua kanak-kanak lelaki berusia 11 dan 12 tahun serta dua remaja lelaki berusia 13 dan 16 tahun di Teluk Panglima Garang, Banting, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supritendan Nordin Manan berkata, kesemua mereka ditangkap ketika cuba memecah masuk sebuah kedai telefon pada pukul 3 pagi.

Beliau berkata, polis sebelum itu menerima maklumat awam yang curiga melihat gelagat mereka.

“Ketika dicekup, mereka sedang berusaha memecahkan pintu kedai berkenaan menggunakan peralatan pecah rumah.

“Hasil siasatan, kita mendapati dua kanak-kanak dan remaja berusia 13 tahun itu sudah dibuang sekolah ekoran masalah disiplin manakala seorang lagi remaja tidak pernah bersekolah kerana ibu bapanya merupakan warganegara Indonesia,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Langgan akhbar digital Utusan Malaysia anda hari ini… Mudah dan murah

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121128/je_04/Perompak-cilik-dicekup-ketika-cuba-pecah-masuk-kedai-telefon#ixzz2DUKNPn8A
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tadika kena pecah masuk – Sinar Harian


Tadika kena pecah masuk

WARTAWAN SINAR HARIAN
8 September 2012
Din Ahmad
Din (dua, kiri) menunjukkan sebahagian barangan yang ditemui bersama suspek.

BATU PAHAT – Tiga lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes pecah masuk taman didikan kanak-kanak (tadika) di Senggarang, dekat sini, berjaya ditahan polis di rumah masing-masing pada 28 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian tersebut oleh pengadu yang juga merupakan seorang guru di situ pada 24 Julai lalu.

Menurutnya, pengadu menyedari tadika tersebut dipecah masuk ketika tiba untuk membuka pintu tadika.

“Antara barang yang hilang televisyen LCD, satu set komputer dan sebuah pencetak, dipercayai hasil curi ini akan dijual oleh suspek untuk mendapatkan bekalan dadah,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, hasil laporan yang diterima, pihaknya melakukan risikan dan berjaya menahan kesemua suspek yang berumur antara 19 hingga 25 tahun.

“Berdasarkan ujian air kencing, kesemuanya positif dadah dan salah seorang daripadanya mempunyai dua rekod kesalahan lampau,” katanya.

Katanya, hasil soal siasat tertuduh turut mengaku melakukan pecah rumah dan menjual hasil curi termasuklah televisyen LCD, manakala sebahagiannya telah dilupuskan bagi mengelakkan bukti dijumpai.

“Turut ditemui sebuah periuk nasi yang juga dicuri dan dipercayai akan dijual untuk mendapatkan dadah, selain sebuah basikal dan beberapa barang elektrik yang lain.

“Kes ini akan disiasat di bawah seksyen 457 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan mereka boleh dijatuhi hukuman penjara 14 tahun, selain boleh dikenakan denda dan sebatan.

“Kami pihak polis mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang memberikan maklumat selama ini, sehingga berjaya melakukan beberapa tangkapan sekali gus mengurangkan kes jenayah di daerah ini,” katanya.

‘Tanggungjawab semua’ – Metro


‘Tanggungjawab semua’

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Pihak sekolah tidak wajar diletakkan sebagai institusi yang bersalah dan gagal membentuk peribadi pelajar, sekiranya terdapat kumpulan kecil golongan remaja itu terbabit kegiatan jenayah sama ada yang ringan mahupun serius.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng berkata, pihak sekolah sentiasa berusaha melakukan yang terbaik dan guru dilatih dengan sempurna untuk mendidik pelajar menjadi generasi berguna pada masa depan.
“Namun, bukan tanggungjawab kami sepenuhnya untuk memastikan pelajar dalam keadaan baik, sebaliknya ia tanggungjawab semua pihak terutama ibu dibantu masyarakat keliling untuk membentuk mereka ini, halang mereka daripada terjebak dengan perkara tidak elok,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

 

Beliau mengulas laporan muka depan Harian Metro, kelmarin, mengenai remaja berusia 14 tahun yang masih bersekolah, namun cekap melakukan jenayah pecah rumah bersendirian dan disyaki terbabit dalam sekurang-kurangnya 10 kes membabitkan kerugian ribuan ringgit.

Toyol dara pecah flat – Metro


Toyol dara pecah flat

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

DITAHAN...suspek
DITAHAN…suspek

SUBANG JAYA: Dia gadis sunti yang masih bersekolah, namun cekap melakukan jenayah pecah rumah bersendirian dan disyaki terbabit dalam sekurang-kurangnya 10 kes di Flat Sri Kayan, di sini, membabitkan kerugian mencecah ribuan ringgit.

Aktiviti remaja berusia 14 tahun itu terbongkar apabila dia dicekup selepas memecah masuk dan mencuri kelapa di sebuah rumah penduduk flat berkenaan, jam 5 petang kelmarin.

Menurut sumber, penangkapan suspek yang juga pelajar sebuah sekolah menengah di sini, sekali gus melegakan penduduk di flat berkenaan yang sebelum ini kebimbangan apabila 10 rumah penduduk di situ dipecah masuk sepanjang enam bulan lalu.

“Suspek yang bergerak sendirian mencuri apa saja barangan milik penduduk dan antara yang dilaporkan hilang termasuk wang, barang kemas, komputer riba dan kamera yang nilai keseluruhannya mencecah ribuan ringgit,” katanya.

 
Sumber itu berkata, remaja terbabit memiliki kemahiran membuka tingkap atau pintu rumah yang dikunci selain licik melalui celahan besi tingkap sempit.

3 pelajar antara 10 ditahan terbabit kes pecah rumah di Kangar – Bernama


3 pelajar antara 10 ditahan terbabit kes pecah rumah di Kangar

2012/02/24

KANGAR: Tiga pelajar, seorang daripadanya berusia 16 tahun, adalah antara 10 lelaki yang ditahan polis kerana terbabit dalam kegiatan pecah rumah di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superitendan Abdul Rahman Mohd Noordin, berkata kesemua mereka ditahan dalam beberapa operasi dari 13 hingga 21 Februari lalu.

Suspek yang dipercayai anggota ‘Geng Kola’ berusia antara 16 dan 27 tahun, dengan lima daripadanya diuji positif dadah, katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

“Kami masih mengesan tiga lagi anggota kumpulan yang masih bebas berumur antara 19 tahun dan lewat 20-an,” katanya.

Beliau berkata, hasil penangkapan itu juga polis menemui semula empat unit komputer riba, satu komputer netbook, lima telefon bimbit yang dipercayai dicuri kumpulan terbabit.

Abdul Rahman berkata, kesemua mereka yang ditahan juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Dengan penangkapan ini juga polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 14 kes pecah rumah dan curi di daerah ini, katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan curi, serta Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana membantu menyembunyikan harta curi.
– BERNAMA