Pelajar sembunyi bawah katil hotel bajet – Sinar Harian


Pelajar sembunyi bawah katil hotel bajet

WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Januari 2013

KLUANG – Bahana tidak berfikir panjang dan terlalu mengikut nafsu, seorang pelajar perempuan tingkatan lima sanggup ponteng sekolah kerana ingin berjumpa teman lelakinya di sebuah hotel bajet di bandar ini, pagi semalam.

Malangnya, mereka dicekup berkhalwat dalam serbuan dilakukan Pegawai Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) kira-kira jam 9 pagi.

Pegawai Tadbir Jaij daerah Kluang, Mohd Khalil Md Noor berkata, serbuan dilakukan hasil aduan dan maklumat awam.

“Sewaktu operasi dijalankan, lelaki berusia 18 tahun berkenaan yang bekerja di pasar malam membuka pintu bilik hotel, manakala pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu menyorok di bawah katil lengkap berpakaian sekolah dan bertudung.

“Hasil soal siasat dijalankan, pelajar tersebut pada mulanya pergi ke sekolah tetapi tidak masuk ke kelas sebaliknya menunggu teman lelaki mengambilnya di sekolah,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Khalil berkata, pasangan berkenaan akan di dakwa di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Difahamkan, ibu bapa pasangan tersebut akan dipanggil untuk ke pejabat agama malah, pengetua serta guru kaunseling turut dimaklumkan mengenainya.

Pelajar Maut Nahas Ketika Ke Sekolah – Bernama


Pelajar Maut Nahas Ketika Ke Sekolah
KUANTAN: Seorang pelajar lelaki Tingkatan Lima maut selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Jalan Besar Chenor, dekat Maran, pagi Khamis.

Mangsa Lukmanul Hakim Ruslan, 17, pelajar Sekolah Menengah Tengku Ampuan Afzan Chenor, meninggal dunia ketika dirawat di Klinik Kesihatan Chenor akibat parah di kepala dan badan.

Pegawai Penguatkuasa Tadbir Trafik Pahang, ASP Zainalabidin Othman berkata, dalam kejadian pukul 7.10 pagi itu, mangsa yang membonceng motosikal rakannya dalam perjalanan ke sekolah.

“Dipercayai motosikal yang ditunggang rakannya itu bergesel ketika cuba memotong sebuah motosikal di hadapan mereka.

“Motosikal yang dinaiki mangsa terjatuh ke laluan bertentangan sebelum sebuah kereta merempuh mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, Khamis.

“Siasatan awal mendapati rakan mangsa yang menunggang motosikal itu tidak memiliki lesen memandu sah dan kedua-dua mereka juga tidak memakai topi keledar,” katanya.

Sementara itu, seorang pemandu lori maut dilanggar sebuah kenderaan yang masih belum dikenal pasti, ketika mangsa berhenti di lorong kecemasan untuk memeriksa kenderaannya di Km151.8 Lebuhraya Pantai Timur dekat Maran pagi Khamis.

Dalam kejadian pukul 9.35 pagi itu, mangsa P. Thiharajah, 65, dari Banting, Selangor mati di tempat kejadian.

“Mangsa yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan telah memberhentikan lorinya di lorong kecemasan.

“Mangsa kemudian turun untuk memeriksa lorinya di bahagian belakang dan dipercayai telah dirempuh sebuah kenderaan. Kita sedang mengesan kenderaan terbabit,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

Pelajar berkhalwat di hotel – Sinar Harian


Pelajar berkhalwat di hotel

WARTAWAN SINAR HARIAN
17 April 2012
Pelajar berkhalwat di hotel

SURA GATE – Demi cinta, seorang pelajar perempuan yang masih menuntut di tingkatan lima sebuah sekolah menengah di sini sanggup ponteng untuk menemui teman lelakinya bagi memadu asmara di sebuah hotel murah, dekat bandar ini.

Bagaimanapun, kunju-ngan gadis itu ke bilik disewa teman lelakinya dengan harga RM65 satu malam sejak dua hari lalu itu membawa padah apabila mereka dicekup pihak Pegawai Penguatkuasa Syariah (PSS) kerana berdua-duaan di bilik hotel.

Ketika serbuan dilakukan PPS Dungun kira-kira jam 8.30 pagi, gadis yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu berpakaian biasa manakala teman lelakinya yang berasal dari Kuala Terengganu hanya berseluar pendek.

Pelajar perempuan itu dikatakan keluar rumah dengan memakai uniform sekolah, namun dia tidak pergi ke sekolah, sebaliknya menuju ke bandar Dungun untuk menemui teman lelakinya di hotel yang terletak di deretan bangunan perniagaan Sura Gate.

Difahamkan, kedua-dua pasangan tersebut berkenalan melalui telefon sejak beberapa minggu lalu dan ketika ditahan, gadis berasal dari Kampung Tanah Lot itu dikatakan datang ke hotel berkenaan untuk menghantar makanan kepada teman lelakinya yang difahamkan baru bangun tidur.

Soal siasat PPS mendapati kedua-dua mereka tiada hubungan muhrim sah dan pasangan itu kemudiannya dibawa ke Pejabat Agama Dungun untuk diambil keterangan.

Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 31(a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001. Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.