Derita ciptaan sendiri – Metro


Derita ciptaan sendiri

 2  1 Google +1  0  0

Oleh Siti Fatimah Hassan

Kota Bharu: Akibat kreatif tidak bertempat, seorang remaja lelaki berusia 13 tahun terpaksa menanggung azab apabila serpihan besi pelita panjut tertanam di dalam perutnya, selain terpaksa menerima lebih 15 jahitan di tangan kiri selepas usaha meletupkan mercun buatan sendiri menggunakan belerang mercun bola yang diisi ke dalam pelita panjut tidak menjadi, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 3 petang di Kampung Banggol Keterah, Tanah Merah itu, mangsa, Muhammad Arish Irfan Che Omar baru selesai menunaikan solat Jumaat bersama bapanya, Che Omar Che Mat, 42.
Menurut Che Omar, ketika dia tidur, Muhammad Arish Irfan bersama adiknya, Muhammad Azim berusia 11 tahun secara senyap-senyap bermain mercun di kawasan yang terletak lima meter dari rumahnya.

 

Katanya, anaknya itu menghasilkan mercun buatan sendiri dengan memasukkan belerang mercun bola ke dalam pelita panjut, namun ketika menyalakan sumbu berlaku letupan dan serpihan pelita terkena tangan kiri dan perutnya. “Saya terjaga daripada tidur selepas terdengar bunyi letupan kuat sebelum Muhammad Arish pulang ke rumah dalam keadaan tangan berlumuran darah.
“Saya menghantarnya ke Hospital Tanah Merah sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), semalam (kelmarin),” katanya ketika ditemui di HRPZ II, semalam.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam HRPZ II Zaid Ahmad berkata, mangsa dijangka menjalani pembedahan bagi mengeluarkan beberapa serpihan besi pelita di dalam perutnya.

 

“Setakat ini, Muhammad Arish adalah mangsa ketiga mercun yang dirujuk ke hospital ini. Dia dijangka menjalani pembedahan bagi mengeluarkan serpihan pelita yang meletup itu, malam ini (malam tadi),” katanya. Sehingga kini, Kelantan mencatat tiga mangsa mercun buatan sendiri dengan Ahmad Fuad Jaafar, 27, dari Kampung Salor, dekat sini, yang cedera di tangan kiri pada 13 Julai lalu menjadi mangsa pertama mercun.
Pada 24 Julai lalu pula, Muhammad Nor Hakim Mohd Nawi, 11, cedera di mata kanan dan menerima beberapa jahitan pada kiri mulut selepas cubaannya menghasilkan percikan bunga api dengan mencipta formula menggabungkan belerang, pasir dan mercun bola di dalam botol plastik meletup sebaik dinyalakan.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/30

Pelajar Tingkatan Satu mangsa terbaru mercun buatan sendiri – Bernama


Pelajar Tingkatan Satu mangsa terbaru mercun buatan sendiri

2013/07/29 – 17:07:44 PMCetakEmel Kawan
KOTA BHARU: Seorang pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Pasir, Tanah Merah menjadi mangsa terbaharu mercun buatan sendiri meletup pada Jumaat lepas.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, Muhammad Arish Irfan Che Omar, 13, dari Kampung Banggol Ketereh, Tanah Merah, cedera di tangan kiri dan perut selepas ditusuk serpihan pelita besi yang dimasukkannya belerang daripada mercun bola, meletup.

Bapanya, Che Omar Che Mat, 42, berkata ketika kejadian, beliau sedang tidur sebelum dikejutkan dengan letupan yang kuat di kawasan berhampiran.

“Muhammad Arish Irfan kemudian pulang ke rumah dengan tangan dan perut yang berdarah. Saya kemudian bawa anak sulung saya ini ke Hospital Tanah Merah untuk menerima rawatan.

“Saya difahamkan Muhammad Arish Irfan bermain dengan adik keduanya, Muhammad Azim yang cedera ringan di kaki,” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) hari ini.

Che Omar, seorang buruh, berkata Muhammad Arish Irfan menyucuh mercun buatannya itu menggunakan pemetik api dan tidak sempat membaling pelita berisi belerang yang tiba-tiba meletup di tangannya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam HRPZII Zaid Ahmad berkata mangsa dirujuk ke hospital berkenaan semalam untuk menjalani pembedahan berikutan terdapat empat serpihan besi di dalam perutnya.
“Mangsa akan dibedah dalam masa terdekat bagi mengeluarkan serpihan yang berada di dalam perutnya. Dia turut menerima kira-kira 15 jahitan di tangan kirinya.

“Ini adalah kes ketiga mangsa mercun yang diterima hospital ini sepanjang Ramadan tahun ini,” katanya. – BERNAMA

KENYATAAN AKHBAR: KEPUTUSAN PEPERIKSAAN SIJIL TINGGI PERSEKOLAHAN MALAYSIA (STPM) 2012


KENYATAAN AKHBAR: KEPUTUSAN PEPERIKSAAN SIJIL TINGGI PERSEKOLAHAN MALAYSIA (STPM) 2012

14 March 2013

 

Keputusan Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia
(STPM) 2012

 

Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012 akan dikeluarkan pada 18 Mac 2013.  Calon sekolah boleh mendapatkan keputusan peperiksaan mereka di sekolah masing-masing pada tarikh tersebut mulai jam 12:00 tengah hari, manakala  calon persendirian individu akan memperolehnya melalui pos.  Di samping itu, calon juga boleh menyemak keputusan mereka melalui Sistem Mesej Singkat (SMS) dengan menaip STPM RESULT<jarak><No. Kad Pengenalan> dan menghantarkannya ke 15888 serta secara dalam talian dengan melayari portal Majlis Peperiksaan Malaysia http://www.mpm.edu.my mulai jam 12:00 tengah hari pada tarikh berkenaan.

Persidangan Akhbar bagi mengumumkan analisis keputusan peperiksaan STPM 2012 akan diadakan pada 18 Mac 2013, jam 12:00 tengah hari, di Dewan Besar, Majlis Peperiksaan Malaysia, Bandar Baru Selayang, Batu Caves, Selangor.

Pada peperiksaan STPM tahun 2012, seramai 51,673 orang calon telah hadir menduduki peperiksaan ini di 760 buah pusat peperiksaan di seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, 47,708 (92.33%) orang adalah calon sekolah kerajaan, 1,112 (2.15%) orang calon sekolah swasta, 2,795 (5.41%) orang calon persendirian individu, dan 58 (0.11%) calon sekolah kerajaan negeri.

Sementara keputusan peperiksaan Penggal 1 STPM 2013 akan dikeluarkan pada 21 Mac 2013.  Calon boleh menyemak keputusan mereka secara dalam talian di portal MPM dan melalui Sistem Mesej Singkat (SMS).
HAJI KHAWARI BIN HAJI IDRIS
Pegawai Perhubungan Awam
Majlis Peperiksaan Malaysia

13 Mac 2013

Budak 13 tahun ditangkap khalwat – Metro


Budak 13 tahun ditangkap khalwat

 778  27 Google +4  4  0

Oleh Gaddafi Musli, Fadly Samsudin dan Yusuf Ghani

KUALA LUMPUR: “Duit saya sudah habis, tidak dapat balik rumah, sebab itu terpaksa tidur dengan kakak,” kata seorang remaja lelaki mengaku berusia 13 tahun yang dicekup ketika berdua-duaan bersama seorang gadis yang didakwa saudara kandung dalam bilik sebuah hotel bajet di ibu negara, awal pagi tadi.

Bagaimanapun ketika ditanya penguat kuasa, remaja berkenaan menukar pula kenyataannya dengan mengatakan gadis berusia 20 tahun itu adalah teman wanita abangnya dan mereka terpaksa tidur bersama kerana tidak dapat menghubungi keluarga.

Pasangan berkenaan antara 10 yang ditahan dalam operasi cegah maksiat sempena hari kekasih yang dijalankan penguat kuasa Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi) di sekitar ibu kota bermula jam 11 malam semalam sehingga 5 pagi tadi.

Kesemua yang ditahan berusia 13 hingga 50 tahun dan disiasat di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997 yang membawa hukuman denda dan penjara jika sabit kesalahan.

Foto 

Selain pemeriksaan hotel bajet, 60 penguat kuasa Jawi turut melakukan rondaan di sekitar Taman Tasik Titiwangsa dan mengeluarkan notis hadir untuk sesi kaunseling kepada tiga pasangan yang didapati berkelakuan tidak sopan di khalayak ramai.
Operasi diketuai Ketua Pegawai Penguatkuasa Jawi, Wan Jaafar Wan Ahmad dan Pegawai Perhubungan Awam Kanan, Tuan Asmawi Tuan Umar.

VIDEO:

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/14

Korban 2 sepupu – Metro


Korban 2 sepupu

 102  0 Google +0  0  0

Percutian lebih 30 ahli keluarga yang berkelah di Sungai Tombungan, di sini, berakhir dengan tragedi apabila dua daripada mereka lemas selepas cuba menyelamatkan seorang saudara mereka dalam kejadian di Kampung Nawai, Kiulu, semalam.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, kedua-dua mangsa, Ahmad Ainurrahim Paidi, 19, dan sepupunya, Safardi Paumin, 22, maut apabila gagal menyelamatkan diri ketika cuba membantu seorang lagi sepupu mereka, Adibah Litono, 14, yang hampir lemas.
Difahamkan, aktiviti perkelahan itu disertai lebih lima keluarga dari Kampung Kebayou, Telipok, yang tiba di kawasan perkelahan itu seawal jam 8.30 pagi.

 

Menurut seorang ahli keluarga mangsa, Litono Sohia, 53, ketika kejadian, anaknya, Adibah, bersama beberapa sepupu mereka termasuk kedua-dua mangsa mandi-manda di sungai berkenaan.
“Bagaimanapun, tidak lama kemudian, saya terdengar jeritan anak saya meminta tolong dan terkapai-kapai dalam air.
“Ketika itu, kedua-dua mangsa bertindak menyelamatkan anak perempuan saya, namun mereka pula tenggelam ke dasar sungai,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

 

Katanya, dia segera terjun ke sungai untuk menyelamatkan mereka, namun hanya dapat menyelamatkan Adibah, manakala gagal menyelamatkan dua lagi sepupunya.
“Kami kemudian mendapatkan bantuan orang kampung untuk mencari mangsa di dasar sungai berkenaan,” katanya.

 

Litono berkata, kira-kira sejam kemudian, mayat kedua-dua mangsa ditemui tidak jauh dari tempat kejadian.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Affendy K Ramin berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 10.21 pagi dan seramai tiga anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Bagaimanapun, sebaik tiba, kami mendapati kedua-dua mangsa sudah ditemui orang ramai yang membantu di tempat kejadian.
“Operasi ditamatkan sebaik saja mayat ditemui dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/28

Dua sekeluarga ditemui lemas – Utusan


Dua sekeluarga ditemui lemas

Oleh KHAIRATUL AINAL ABDUL KARIM
utusanpahang@utusan.com.my

KUANTAN 17 Nov. – Pasukan Bomba dan Penyelamat Pahang menemui tiga mangsa lemas hari ini manakala seorang lagi masih hilang dalam kejadian yang berlaku di Rompin dan Pekan petang semalam.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Anuar Hassan berkata, dalam operasi pertama di Air Terjun Taman Endau-Rompin, Rompin, pasukan penyelamat menemui mayat Mohd. Hanafi Zainuddin, 15, pada pukul 8.53 pagi dan ibunya, Rosnani Nordin, 31, dua jam kemudian.

Menurut beliau, mayat dua beranak itu ditemui dua meter dari lokasi mereka mandi. Dalam kejadian itu, suami mangsa cuba menyelamatkan isteri dan anaknya namun dia nyaris lemas dan diselamatkan seorang pemuda di kawasan perkelahan itu semalam.

“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat manakala operasi mencari dan menyelamat ditamatkan sebaik sahaja dua mangsa itu dijumpai,” katanya ketika dihubungi di sini.

Langgan akhbar digital Mingguan Malaysia anda hari ini… Mudah dan murah

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121118/dn_15/Dua-sekeluarga-ditemui-lemas#ixzz2CXRREI00
© Utusan Melayu (M) Bhd

2 beradik ditemui lemas di Taman Endau Rompin – Bernama


2 beradik ditemui lemas di Taman Endau Rompin

17 November 2012

KUANTAN  –  Dua beranak yang dilaporkan hilang ketika mandi di kawasan Taman Negeri Endau Rompin semalam ditemui kira-kira dua meter daripada lokasi kejadian pagi ini.

Mayat Mohd Hanafi Zainuddin, 15, ditemui dalam operasi mencari dan menyelamat pada 8.53 pagi sementara  mayat ibunya, Rosnani Nordin, 31, ditemui pasukan selam skuba pada 10.31 pagi tadi.

Kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Muadzam Shah, kata Pegawai Perhubungan Awam Bomba dan Penyelamat Pahang, Anuar Hassan.

Dalam satu lagi kejadian di Nenasi, Pekan, mayat seorang daripada dua bersaudara yang hilang ketika mencari siput di Sungai Badong, Nenasi petang semalam turut ditemui.

Mayat Mohamad Syafiruddin Hussin, 14, dari Bandar Seri Bandi, Kemaman ditemui tenggelam kira-kira dua kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan lemas.

Mangsa bersama saudaranya, Mazura Ali, 14, dari Kampung Badong, Merchong dilaporkan hilang ketika mencari siput di Sungai Pahang berdekatan Nenasi.

Anggota Unit Skuba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan dan Pekan masih meneruskan operasi mencari dan menyelamat Mazura. – Bernama

Usah tembak asal pokok bergoyang – Metro


Usah tembak asal pokok bergoyang

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Kejadian seorang guru maut akibat terkena tembakan abang iparnya ketika berburu di Tampin, Rabu lalu boleh dielakkan sekiranya kedudukan setiap individu yang menyertai aktiviti itu diketahui dengan teliti.

Pegawai Perhubungan Awam Bukit Aman, Asisten Komisioner Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mereka yang memiliki senjata api untuk berburu perlu peka, berhati-hati dan tenang ketika menjalankan aktiviti berkenaan bagi mengelakkan sebarang risiko.
“Mereka perlu tahu kedudukan orang lain yang menemani sama ada di belakang, selari serta tidak bertentang.

 

“Ketika berburu jangan terlampau teruja, berhati-hati dan tenang kerana disebabkan perasaan membuak-membuak mahu menangkap haiwan liar, tembakan dilepaskan hanya disebabkan pokok bergoyang tanpa mengetahui mungkin ia disebabkan rakan sendiri,” katanya yang dihubungi semalam.
Akhbar semalam melaporkan seorang guru maut akibat terkena peluru penabur daripada tembakan abang iparnya ketika mereka memburu rusa bersama tiga rakan di hutan Kampung Anak Air, Durian Daun, Pondoi di Tampin, Negeri Sembilan. Dalam kejadian jam 11.15 malam itu, abang ipar mangsa berusia 52 tahun dikatakan melepaskan tembakan senapang patah ke arah pokok bergoyang dalam gelap kerana menyangkakan terdapat haiwan buruan. Bagaimanapun, lelaki terbabit terperanjat besar apabila mendapati adik iparnya, Amir Ain, 40, parah di perut manakala rakan mereka, Mohd Isa Salican, 50-an yang bekerja di ladang lembu di kampung itu cedera di bahagian pinggul. Amir disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Tampin akibat kecederaan parah dialaminya itu, manakala Mohd Isa kini dirujuk ke Hospital Melaka. Ramli berkata, kecuaian menjadi penyebab kejadian tertembak rakan sendiri berlaku ketika aktiviti pemburuan haiwan.
“Kejadian seumpama ini boleh dielakkan jika pemilik senjata api itu berhati-hati bagi mengelak sebarang risiko akibat kecuaian,” katanya.

Kuiz Asean Peringkat Kebangsaan 2012


Kuiz Asean Peringkat Kebangsaan 2012

Sukacita dimaklumkan bahawa Jabatan Penerangan Malaysia, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia akan menganjurkan Kuiz Asean Peringkat Kebangsaan 2012.

Pertandingan yang akan dilaksanakan dalam Bahasa Inggeris ini adalah terbuka untuk para pelajar Sekolah Menengah kerajaan dan swasta berumur 15 hingga 17 tahun. Ia bertujuan mendedahkan golongan belia kepada aspek kebudayaan, politik, ekonomi dan sosial negara-negara Asean serta meningkatkan tahap pengetahuan dan kesedaran mengenai hal ehwal Asean di kalangan peserta.

Pendaftaran melaui pihak sekolah boleh dibuat secara atas talian (online) diwww.penerangan.gov.my atau melalui borang yang juga boleh didapati di sekolah-sekolah dan semua Jabatan Penerangan Negeri dan daerah. Borang penyertaan boleh dihantar melalui faks di 03-8911 4959 atau emel ke aseanquiz2012@inform.gov.my.

Tarikh tutup penyertaan adalah pada 29 Februari 2012. Peringkat Saringan akan diadakan secara serentak di seluruh negara pada 22 Mac 2012.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Puan Wan Saidatul Shafina Mohd Amin, Pegawai Perhubungan Awam di talian             03-8911 7369       /             012-212 1465       atau emel ke shafina@inform.gov.my.

Kerjasama dan sokongan tuan/puan dalam perkara ini amatlah dihargai dan didahului dengan ucapan terima kasih.

Sekian.