KGT beri faedah berterusan – Bernama


KGT beri faedah berterusan

24 Julai 2013
 

KUALA LUMPUR – Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) sebanyak dua kali yang diberi oleh kerajaan memberikan faedah berterusan kepada penjawat awam sepanjang tempoh perkhidmatan mereka dan selepas bersara kelak.

Ini kerana pemberian KGT sebanyak dua kali itu akan membolehkan penjawat awam mendapat pendapatan bulanan yang lebih serta menambahkan lagi pencen maksimum dan ganjaran yang boleh diterima apabila pencen kelak.

Menurut carta Bahagian Pasca Perkhidmatan Jabatan Perkhidmatan Awam, seorang Pembantu Am Pejabat Gred N11, sebagai contoh, akan mendapat tambahan pencen bulanan sebanyak RM96 dan tambahan ganjaran sebanyak RM4,320 dengan adanya KGT sebanyak dua kali itu.

Tanpa pemberian KGT dua kali itu, penjawat awam berkenaan hanya memperoleh gaji pokok maksimum RM1,977.74 sebulan dengan ganjaran RM53,398.98 dan pencen bulanan RM1,186.64 apabila bersara.

Ini berbanding dengan gaji pokok maksimum RM2,137.74, ganjaran RM57,718.98 dan pencen bulanan RM1,282.64 selepas mendapat dua KGT.

Faedah persaraan itu adalah bagi pegawai yang mempunyai tempoh perkhidmatan 30 tahun (360 bulan) untuk melayakkannya mendapat ganjaran dan pencen penuh.

Dengan adanya dua KGT itu, tambahan pencen bulanan bagi Pembantu Tadbir (N17) pula ialah RM114, Penolong Pegawai Tadbir (N27) RM174, dan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (M54) RM384.

Dari segi ganjaran pula, tambahan yang akan diperoleh oleh Pembantu Tadbir RM5,130, Penolong Pegawai Tadbir RM7,831 dan Pegawai Tabdir dan Diplomatik RM17,280.

Secara umumnya, Pembantu Am Pejabat melibatkan mereka yang mempunyai kelulusan Sijil Rendah Pelajaran, Pembantu Tadbir (Sijil Pelajaran Malaysia), Penolong Pegawai Tadbir (Diploma) dan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Ijazah).

Pada kebiasaannya, penjawat awam hanya mendapat sekali KGT bagi tempoh setahun.

Semasa mengumumkan KGT dan Bayaran Bantuan Khas Hari Raya Kewangan 2013 hari ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata faedah KGT itu akan diperoleh sepanjang tempoh perkhidmatan.

“Mereka juga akan menerima faedah pencen yang lebih tinggi berikutan kenaikan dua KGT pada tahun ini,” kata Najib. – Bernama

Pelan pembangunan pendidikan ke Kabinet Januari ini – Utusan


Pelan pembangunan pendidikan ke Kabinet Januari ini

PUTRAJAYA 28 Dis. – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 akan dibentang kepada Kabinet Januari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata pelan yang lengkap kemudiannya akan dipersembah kepada Majlis Raja-Raja untuk mendapat restu peringkat tertinggi itu, bagi pelaksanaannya tahun depan.

“Pelan yang kini berada di peringkat akhir setelah menerima laporan dan pandangan daripada pelbagai pihak, sudah diterima supaya ianya dapat dilaksanakan untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara.

“Kita sudah banyak membuat perbincangan. Saya fikir tidak ada satu pihak yang terkecuali.

“Jadi langkah ini agak komprehensif dan lengkap dan sudah disediakan. Malahan kita tambah baik lagi kalau ada kekurangan kita lihat dalam tempoh dua tiga bulan lepas,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis interaksi bersama Pegawai Tadbir dan Diplomatik Muda di sini, hari ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121228/dn_20/Pelan-pembangunan-pendidikan-ke-Kabinet-Januari-ini#ixzz2GUlUkMU6
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kenyataan Akhbar: “Khidmat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tamat Pada 1 Julai 2012” – JPA


Kenyataan Akhbar: “Khidmat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tamat Pada 1 Julai 2012”

29 JUN 2012

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ingin memaklumkan bahawa khidmat YBhg. Tan Sri Abu Bakar bin Haji Abdullah, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam tamat pada 1 Julai 2012.

YBhg. Tan Sri telah memulakan perkhidmatan sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada September 1977 di Kementerian Perdagangan dan Perindustrian.

Beliau seterusnya berkhidmat di beberapa Kementerian antaranya Kementerian Pertahanan Malaysia, Kementerian Wilayah Persekutuan, dan Jabatan Perdana Menteri.

Beliau merupakan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan sebelum menyandang jawatan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam pada 1 Julai 2010. Beliau telah menyumbang kepada perkhidmatan awam selama 35 tahun.
Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia
Putrajaya
29 Jun 2012

Kesatuan guru bantah PTD isi jawatan penolong kanan – Berita Harian


Kesatuan guru bantah PTD isi jawatan penolong kanan
Oleh Mohd Feroz Abu Bakar
feroz@bharian.com.my
2012/01/30

Menafikan peluang kenaikan pangkat cikgu

KESATUAN guru membantah klausa khas sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang membuka peluang kepada Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) membolot jawatan Penolong Kanan di sekolah menengah.

Jika PTD dibenarkan mengisi jawatan berkenaan, dikhuatiri sebanyak 2,282 jawatan Penolong Kanan pada Gred DG48 akan diisi PTD sekali gus menafikan peluang kenaikan pangkat guru.

Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) melihat kemasukan PTD khas untuk memegang jawatan Penolong Kanan (Pentadbiran) tidak akan menyelesaikan isu pengurusan sekolah yang dikatakan tidak profesional.

Pengerusi KGMMB Cawangan Terengganu, Abdullah Mamat, berkata ketika ini guru pada Gred DG44 yang dilantik sebagai Penolong Kanan (DG48) menguruskan hal ehwal kewangan (pentadbiran) dan juga akademik.

“Penolong Kanan sekarang menjaga dua bahagian pengurusan dan banyak tugas perlu diselesaikan hingga didakwa PTD sebagai tidak profesional.

“Jika PTD memasuki sekolah dengan hanya menjaga bahagian pentadbiran atau kewangan, guru pun boleh melakukan tugas ini kerana sekarang pun mereka sudah menjalankan dua tugas sekali gus.
“Lebih baik Kementerian Pelajaran membuka dua jawatan Penolong Kanan kepada guru, satu untuk pentadbiran dan satu lagi untuk akademik supaya pengurusan lebih kemas,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) meminta warga pendidikan bersifat terbuka dengan langkah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membuka jawatan di sekolah dan institusi lain di bawah Kementerian Pelajaran untuk pegawai daripada skim bukan pendidikan.

Presidennya, Hashim Adnan, berkata pelantikan pegawai bukan skim pendidikan bertujuan menggunakan kepakaran mereka bagi penambahbaikan sistem penyampaian di sekolah dan institusi lain seperti institut pendidikan guru atau Pejabat Pelajaran Daerah.

Beliau berkata, ketika ini, PTD sudah diterima di peringkat Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dengan memegang jawatan Ketua Sektor (Pengurusan).

“Ini strategi lautan biru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memaksimumkan kepakaran pegawai jabatan lain dengan diminta bertugas di jabatan baru yang bukan secara tradisinya tempat mereka bertugas.

“Pada masa sama, kita berharap pegawai kanan Kementerian Pelajaran daripada skim pendidikan (DG) juga diterima bertugas di kementerian lain jika ada keperluan berbuat demikian,” katanya.

Namun, Hashim berkata, PTD yang sudah ditempatkan di JPN atau Kementerian Pelajaran perlu membuktikan mereka mahu memudahkan urusan guru, bukan sebaliknya.

Beliau berkata, KPPK menerima banyak aduan daripada guru bahawa PTD di Bahagian Kewangan enggan meluluskan tuntutan guru yang bergerak ke luar daerah.
Keengganan itu katanya dengan alasan guru berkenaan sepatutnya bertugas di dalam daerah penempatan masing-masing sedangkan guru berkenaan perlu menjalankan tugas rasmi.

Bayar segera wang bantuan pelajar – Utusan


Bayar segera wang bantuan pelajar

BATU PAHAT 21 Jan. – Kementerian Pelajaran meminta sekolah-sekolah swasta tidak melewatkan pembayaran bantuan persekolahan kepada pelajarnya kerana wang tersebut telah dimasukkan ke dalam akaun sekolah pada 17 Januari lalu.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kira-kira 38,720 pelajar sekolah swasta di seluruh negara terlibat dalam bantuan fasa pertama itu dan mereka sepatutnya menerima bantuan RM100 bagi setiap pelajar bermula semalam.

“Sekolah swasta yang layak menerima bantuan adalah sekolah yang berdaftar dengan Kementerian Pelajaran termasuk sekolah persendirian dan sekolah agama kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan hamper kepada masyarakat Cina di sini hari ini.

Sempena sambutan Tahun Baru Cina, Mohd. Puad yang juga merupakan Ahli Parlimen Batu Pahat menyumbangkan 6,000 hamper kepada masyarakat Cina di kawasan diwakilinya dalam program selama lima hari berakhir esok.

Menurut Mohd. Puad, bantuan dibuat dalam dua fasa bagi mengelakkan ada kalangan pelajar yang tercicir daripada menerima bantuan tersebut.

Dalam pada itu, katanya, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diminta berbincang dengan kesatuan-kesatuan berkaitan berhubung cadangan penempatan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) dalam sistem pengurusan dan pentadbiran di Kementerian Pelajaran serta agensi di bawahnya.

Beliau berkata, pihaknya menyerahkan kepada JPA untuk menimbangkan keputusan terbaik tetapi berharap perbincangan antara kedua pihak perlu dibuat supaya aspek pembelaan dan kepentingan guru-guru diberi keutamaan.

Baru-baru ini, media melaporkan sebanyak 27 kesatuan dan persatuan guru menolak cadangan penempatan PTD dalam sistem pengurusan dan pentadbiran di Kementerian Pelajaran serta agensi di bawahnya termasuk di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), institut pendidikan guru (IPG), kolej matrikulasi, Institut Aminuddin Baki (IAB) dan sekolah.

Pertubuhan itu yang mewakili kira-kira 430,000 guru di seluruh negara memutuskan hanya guru berupaya melaksanakan tugas pengurusan dan pentadbiran dengan berkesan dalam bidang pendidikan.

27 kesatuan guru bantah PTD – Berita Harian


27 kesatuan guru bantah PTD
Oleh Syuhada Choo Abdullah

2012/01/17

KUALA LUMPUR: Sebanyak 27 kesatuan dan persatuan guru sebulat suara menolak cadangan penempatan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) dalam sistem pengurusan dan pentadbiran di Kementerian Pelajaran dan agensi di bawahnya.