Guru pukul murid didakwa – Sinar Harian


Guru pukul murid didakwa

WARTAWAN SINAR HARIAN
31 Mac 2012
Guru pukul murid didakwa

BUTTERWORTH – Seorang guru pusat asuhan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas tuduhan mendedahkan kepada kecederaan emosi dan fizikal terhadap kanak-kanak berusia lapan tahun menggunakan rotan hingga menyebabkan kecederaan.

Beh Yong Kong, 28, yang merupakan guru lepasan ijazah membuat pengakuan itu di hadapan Majistret, Mohd Firdaus Abdul Wahab.

Dia dituduh dengan sengaja mencederakan mangsa dengan memukulnya menggunakan rotan hingga lebam dan cedera di badan, lengan dan leher di sebuah pusat asuhan, di sini, jam 1.30 tengah hari kelmarin.

Yong Kong didakwa mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda sehingga boleh sampai RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Masnuraznim Abd Malik sementara Yong Kong yang hadir berbaju oren diwakili peguam yang enggan namanya dikenali.

Lelaki itu bebas dengan ikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin oleh kenalannya dan kes disebut semula 7 Mei depan.

Sebelum ini, seorang kanak-kanak mendakwa dirotan oleh pengasuhnya hingga cedera.

Sehari selepas itu, ibu kanak-kanak tersebut membuat laporan polis.

Kejadian itu disedari ibu mangsa semasa menjemput anaknya pulang ke rumah tengah hari semalam sebelum bertindak membuat laporan polis sejurus selepas itu.

Jamin bapa rogol cucu – Metro


Jamin bapa rogol cucu

Oleh Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA PILAH: Demi kasih kepada bapa, seorang lelaki sanggup menjamin bapanya yang dibicara kerana merogol anak perempuannya berusia tujuh tahun semata-mata tidak mahu warga emas itu tidur di lokap.

Lebih menyayat hati, bapa kepada kanak-kanak perempuan itu hadir ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam untuk mendengar prosiding bapanya yang dituduh merogol kanak-kanak malang itu di sebuah rumah di Gemencheh dekat sini, tiga tahun lalu.
Bagaimanapun niat murni lelaki berusia lingkungan 40-an itu tidak tercapai kerana Hakim Azura Alwi tidak membenarkannya menjadi penjamin kerana dia berkemungkinan akan dipanggil menjadi saksi pada perbicaraan nanti.

 

Tertuduh yang berusia 71 tahun dari Gemencheh, di sini, yang berkemeja putih mengangguk tanda faham dan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Azura.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol cucu perempuannya yang ketika itu berusia tujuh tahun pada satu hari dalam tahun 2009 kira-kira jam 5.30 petang.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Gemencheh, Tampin dekat sini.

 

 

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun serta tidak kurang daripada 10 sebatan.
Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shukri Hussain menyatakan bahawa pihaknya tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh kerana lelaki itu adalah datuk kepada mangsa.

 

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon dibebaskan dengan ikat jamin dengan alasan sudah tua dan sering sakit.
Azura membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin lain.
Beliau turut memerintahkan tertuduh tidak menghampiri mangsa dan menetapkan 2 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula.

430,000 guru tidak setuju SBPA – Metro


430,000 guru tidak setuju SBPA

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Seramai 430,000 guru dari seluruh negara tidak bersetuju dengan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan meminta kerajaan menimbang semula kepentingan penjawat awam, terutama golongan pendidik, dalam mesyuarat anjuran Majlis Permuafakatan Kesatuan Persatuan Guru (MPKPG) di Taman Setiawangsa, di sini, semalam.

Pengerusinya, Jemale Paiman berharap kerajaan menimbang seadil-adilnya rumusan mesyuarat yang diputuskan bersama 320 pemimpin kesatuan dengan memberi tempoh lapan hari.
Beliau berkata, selain Ceupacs sebagai panel tetap, wakil peguam dan JPA sebagai sekretariat, tiga wakil khas mewakili warga pendidik dilantik untuk berjumpa atau berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) bagi tujuan penambahbaikan pelaksanaan SBPA, terutama bagi membela nasib golongan berkenaan.

 

“Kami mendapati ada klausa kurang jelas dalam pelaksanaan SBPA, misalnya tidak mengambil kira kenaikan gaji tahunan antara tujuh hingga 13 peratus untuk menampung kos sara hidup yang makin tinggi.
“Disebabkan golongan pendidik sektor penting dalam pembangunan negara, perkara itu harus dipertimbangkan sebaik-baiknya.

Perbicaraan kes bapa kurung anak 5 Mac – Bernama


Perbicaraan kes bapa kurung anak 5 Mac

2012/02/03

BUTTERWORTH: Mahkamah Majisteret di sini menetapkan 5 Mac ini untuk perbicaraan kes Tan Hooi Keong, 43, yang dituduh mengurung dua orang anaknya berusia enam dan dua tahun di dalam bilik air yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi.

Majisteret Mohd Zamir Suhaimee membuat keputusan itu bagi membolehkan mahkamah memperoleh laporan perubatan kedua-dua kanak-kanak itu yang masih belum siap.

Tan menghadapi dua pertuduhan, yang pertama menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi terhadap Tan Ming Zhi, 6, dengan merantai kaki anak perempuannya itu dengan rantai besi dan mengurungnya di dalam bilik air pada 28 Disember 2011, antara 3 petang dan 8 malam.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi terhadap Tan Ming Han, 2, dengan merantai kaki anak lelakinya itu dengan rantai besi dan mengurungnya di dalam bilik air juga pada 28 Disember 2011 antara 3 petang dan 8 malam.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah nombor 21, Jalan Mawar, Taman Dahlia di sini.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun atau denda tidak kurang RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Masnuraznim Abdul Malik manakala Tan diwakili peguam bela Abdul Rahim Mohamed. – BERNAMA

Jel 15 tahun, 30 sebatan – Metro


Jel 15 tahun, 30 sebatan

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SHAH ALAM: Seorang pekerja kilang dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan 30 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan merogol anak sulungnya berusia 11 tahun selepas mangsa pulang dari sekolah di Bukit Beruntung, dekat sini, dua tahun lalu.

Hakim Slamat Yahya menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap bapa kepada tiga anak itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Slamat pada penghakimannya berkata, mahkamah memutuskan untuk mempercayai kredibiliti mangsa sebagai saksi pendakwaan kelima.

 

Beliau berkata, ini memandangkan hubungan antara bapa dan anak itu tidak mempunyai sebarang masalah atau perselisihan faham.
Oleh itu, katanya, tiada sebab untuk kanak-kanak itu mereka-reka cerita berhubung kejadian rogol berkenaan. Selain itu katanya, tertuduh ketika membela diri tidak menafikan berada di tempat kejadian, tetapi hanya menidakkan pertuduhan terhadapnya. Mengikut pertuduhan, lelaki berusia 34 tahun itu didakwa merogol anaknya di rumah keluarga itu di Bukit Beruntung, jam 2 petang, pada 14,15 dan 17 April 2010. Dia didakwa mengikut Seksyen 373(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. Slamat menjatuhkan hukuman penjara lapan, 10 dan 15 tahun masing-masing bagi pertuduhan pertama, kedua dan ketiga.
Beliau turut memerintahkan lelaki itu dihukum 10 sebatan untuk setiap pertuduhan.

 

 

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadapnya tanpa menyatakan sebarang alasan. “Saya memang tidak bersalah, tetapi jika Yang Arif mahu menjatuhkan hukuman, saya mohon hukuman ringan,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Siti Syakimah Ibrahim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal memandangkan kesalahan sumbang mahram dilakukan tertuduh amat serius. Beliau berkata, kes itu amat memalukan khususnya dalam konteks masyarakat Melayu beragama Islam. Selain itu, katanya, mahkamah perlu mengambil kira trauma dan kesan terhadap masa depan mangsa.

 

Menurutnya, tertuduh sebagai ayah kandung kepada anaknya itu sepatutnya bertanggungjawab melindungi kanak-kanak itu. “Mangsa ketika memberi keterangan berkata dia tahu perbuatan ayahnya itu salah dan memberitahu mahkamah ‘sedangkan haiwan pun sayangkan anaknya,”’ katanya.
Sepanjang perbicaraan, seramai 10 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan tampil memberi keterangan.
Berdasarkan keterangan saksi, tertuduh merogol anaknya pada kejadian pertama selepas terangsang akibat menonton video lucah.
Pada masa kejadian, isterinya tiada di rumah kerana berkerja pada siang hari manakala tertuduh akan ke tempat kerja pada sebelah petang.
Tembelang tertuduh pecah apabila anaknya terpaksa memberitahu rakan sekolah kerana bimbang akan mengandung.
Pemeriksaan perubatan kemudian mengesahkan terdapat kesan koyakan melebihi tempoh 72 jam pada kemaluan mangsa.

Cium kaki minta maaf – Metro


Cium kaki minta maaf

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SHAH ALAM: Seorang bekas pegawai pendakwa mencium kaki anak tirinya selepas Mahkamah Sesyen di sini, semalam menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun berikutan mengaku salah merogol kanak-kanak berusia 11 tahun itu di rumahnya di Seksyen 17, di sini.

Tertuduh berusia 59 tahun itu berbuat demikian bagi memohon maaf terhadap mangsa yang dirogolnya sejak berusia enam tahun. Sambil menangis teresak-esak di atas lantai, lelaki itu melahirkan perasaan kesal terhadap perbuatannya sambil disaksikan isterinya yang juga ibu mangsa.
Berdasarkan fakta kes, hubungan terlarang itu pernah disaksikan isterinya, tetapi tidak diendahkan.

 

Bagaimanapun, ‘drama’ tidak berakhir di situ apabila ibu mangsa memeluk erat anaknya tidak rela berpisah dengan mangsa yang diletakkan di bawah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Lelaki itu yang pernah berkhidmat dengan agensi kerajaan didakwa merogol mangsa di sebuah rumah di Seksyen 17, di sini, pada waktu pagi, antara 2005 dan 30 April tahun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar memerintahkan hukuman bermula dari tarikh tangkapan tertuduh pada 8 Mei tahun lalu. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Salwa Asmary Abdul Rahim memohon hukuman berat kerana tertuduh sepatutnya melindungi anak tirinya sebaliknya merogol mangsa. Malah, mangsa pernah mengadu kepada ibunya, tetapi dimarahi.

 

 

Katanya, kejadian menyebabkan mangsa trauma dan memberi tanggapan negatif terhadap anaknya.
itu, katanya, hukuman berat perlu bagi memberi pengajaran kepada masyarakat.

 

Bagaimanapun, peguam bela, Mohd Hidir memohon hukuman ringan.
atas alasan anak guamnya tua dan menghidap penyakit jantung, kencing manis serta buah pinggang.
Katanya, pengakuan salah lelaki itu juga sudah menjimatkan masa dan kos mahkamah. “Tiada alasan atas apa yang berlaku, cuma tertuduh amat kesal. Dia bertanggungjawab (atas kesalahan itu),” katanya. Berdasarkan fakta kes, tembelang tertuduh pecah apabila mangsa menceritakan kepada ustazahnya bahawa dia ‘berzina’ dengan bapanya selepas mempelajari perkara yang membatalkan puasa ketika pendidikan agama.
Ustazah itu merujuk kepada guru kelas sebelum membuat laporan polis.
Siasatan mendapati, kejadian berlaku ketika ibu mangsa tiada di rumah. Malah, ibu mangsa mengetahui kejadian itu tetapi mendiamkan diri dan berpura-pura ia tidak berlaku, malah memarahi anaknya.
Mangsa menyatakan tertuduh mengugut menghentak kepalanya ke dinding jika tidak memenuhi permintaan mengadakan hubungan seks, selain mengemukakan kondom diberikan tertuduh kepadanya.

Lelaki saman anak kali kedua tuntut nafkah cucu – Berita Harian


Lelaki saman anak kali kedua tuntut nafkah cucu

2012/01/10

KUALA TERENGGANU: Seorang bapa yang pernah menyaman anak lelakinya bagi mendapatkan tuntutan nafkah dua cucunya hampir dua tahun lalu, semalam mengemukakan empat tuntutan baru terhadap anak sulungnya di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, berikutan kegagalan defendan membayar nafkah dipersetujui sebelum ini.

Mustafa Ismail, 66, membuat tuntutan terhadap Nasrun Mustafa, 39, supaya membayar tunggakan nafkah penjagaan dua a anak defendan, sejak dia menjaga dua beradik berkenaan lapan tahun lalu sebanyak RM18,866 iaitu RM9,309 bagi anak lelaki defendan kini berusia 17 tahun dan RM9,556 bagi anak perempuan, kini 15 tahun.

Dalam tuntutan yang difailkan melalui peguam, Fazru Anuar Yusoff, Mustafa yang juga pesara sebuah syarikat cari gali turut memfailkan tuntutan duit raya sebanyak RM1,000 setahun.

Selain itu, plaintif mengemukakan tuntutan supaya defendan kembali taat dengan pulang ke kampung menjenguk ibu bapa dan dua anaknya selain menuntut defendan memohon ampun kepadanya dan isteri, Che Meriam Abdullah, 58.

Warga emas itu juga memfailkan permohonan menuntut defendan yang berkhidmat sebagai pengurus syarikat cari gali minyak di Kuala Lumpur dengan pendapatan RM17,000 sebulan membayar RM400 sebulan kepadanya dan isteri sebagai saraan hidup.

Hakim Rushdi Harun menetapkan 16 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula bagi membolehkan dua anak defendan dipanggil untuk memberi keterangan.

Akhbar pada Julai 2010 melaporkan bapa memfailkan tuntutan terhadap anak lelakinya untuk memberi nafkah kepada dua cucunya yang diabaikan defendan sejak ditinggalkan bersama plaintif tujuh tahun sebelum itu.
Dalam tuntutan itu, plaintif berkata, defendan meninggalkan seorang anak perempuan berusia enam tahun dan anak lelaki berusia sembilan tahun kepadanya selepas bercerai dengan isteri pertama.

Pembantu kedai makan mengaku rogol remaja 14 tahun – Utusan


Pembantu kedai makan mengaku rogol remaja 14 tahun

06/01/2012 7:42pm

 

 

MOHD. AZRAIE MD. YUSOF

 

KUALA LUMPUR 6 Jan. – Seorang pembantu kedai makan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang, dekat sini hari ini atas tuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun pada sambutan tahun baru lalu.

Mohd. Ismail Johan, 23 didakwa melakukan perbuatan itu di bilik No. 13, Hotel Melawati, No. 321-A, 1, Lorong Selangor, Bandar baru Taman Melawati, Ampang Jaya dekat sini antara pukul 1.30 petang, 31 Disember 2011 dan pukul 2 pagi, 1 Januari lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Fadzlin Abd. Zawawi mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Bagaimanapun, tertuduh memohon perintah hukuman ke atasnya ditangguhkan kerana keluarganya yang kini berada di Kelantan merancang untuk melantik peguam bagi mewakilinya membuat rayuan sebelum hukuman dijatuhkan.

Hakim Manira Mohd. Nor yang membenarkan permohonan itu turut menetapkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh sementara menunggu hukuman dijatuhkan pada 31 Januari ini. – UTUSAN