Pejabat diceroboh, dibakar – Metro


Pejabat diceroboh, dibakar
KOTA BHARU: “Saya syak pejabat ini diceroboh dan kemudian dibakar. Ini kerana, ada kesan pintu dicungkil dan barangan berselerak di bilik guru yang terletak bersebelahan pejabat,” kata Hasan Mat Tamat, Mudir Sekolah Menengah Agama Taqaddum Maarif, Pasir Tumboh, di sini, mengenai kejadian kebakaran membabitkan pejabat sekolah itu, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi, sekolah berkenaan bukan saja terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM50,000, tetapi pada masa sama terpaksa ditutup buat seketika dan dibuka semula Ahad ini.
Ini kerana, banyak rekod pelajar musnah, selain tiga buah komputer dan beberapa peralatan pejabat lain turut musnah.

Menurut Hasan, penceroboh dipercayai lebih daripada seorang dan memasuki pejabat melalui bilik guru.
“Saya bersyukur kerana seorang bekas pelajar sekolah ini melihat kebakaran yang berlaku sebelum menghubungi bomba. Ini adalah kejadian pertama pejabat sekolah ini dibakar.
“Sebelum ini, sekolah ini pernah beberapa kali diceroboh, tetapi tidaklah dibakar,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Kubang Kerian, dekat sini, pada jam 11 pagi, semalam.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Mohamad Sabri Ismail berkata, seramai 21 anggota bersama pegawai bomba bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 4.37 pagi.
“Api berjaya dikawal dalam tempoh 10 minit, manakala punca kebakaran masih disiasat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/13