‘i-Hadir’ kesan pelajar ponteng – Berita Harian


‘i-Hadir’ kesan pelajar ponteng

2012/05/11

KOTA BHARU: Jabatan Pelajaran Kelantan menjadi perintis mengguna perisian yang dikenali sebagai ‘i-Hadir’ bagi mengenal pasti kehadiran pelajar ke sekolah dan mengesan pelajar ponteng.

Inovasi baru yang diperkenalkan oleh Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pelajaran Kelantan itu boleh diakses bila-bila masa serta memudahkan pihak sekolah dan ibu bapa mengetahui kedatangan anak mereka ke sekolah.

Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussain Awang, berkata, i-Hadir adalah aplikasi mudah, cepat dan tepat, dengan pihak sekolah akan memasukkan rekod kedatangan harian murid ke dalam komputer yang dilengkapi perisian berkenaan.

Pada masa sama, katanya, data itu boleh dipantau oleh pihak Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) walaupun berada di tempat lain.

“Sekiranya ada pelajar yang kerap tidak hadir, pihak JPN akan merujuk semula kepada pihak sekolah berhubung tindakan yang diambil.

“Secara tak langsung, aplikasi ini akan menjadi penghubung antara pihak sekolah dan PPD seterusnya JPN,” katanya pada majlis pelancaran i-Hadir pada perhimpunan ‘Bulanan Jabatan Pelajaran Kelantan di Dewan Bestari, Sekolah Kebangsaan Padang Garong 1, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pelajaran Kelantan, Rosnah Wan Ibrahim.
Perisian yang mula diguna dua bulan lalu itu adalah program perintis, dilihat mampu mengesan kehadiran pelajar ke sekolah dan pada masa sama dapat mengurangkan masalah ponteng membabitkan pelajar sekolah bandar dan luar bandar.

Pembinaan bangunan baru SJK (T) Batang Kali tahun depan – Bernama


Pembinaan bangunan baru SJK (T) Batang Kali tahun depan

9 Mei 2012

HULU SELANGOR – Kementerian Pelajaran hari ini memberi jaminan akan membina satu blok bangunan baru di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil SJK (T) Batang Kali pada perancangan tahun 2013 bagi memastikan suasana pembelajaran yang selesa dan selamat di sekolah itu.

Timbalan Menteri berkenaan Dr Mohd Puad Zarkashi berkata pembinaan bangunan baru dengan enam bilik darjah itu akan dimulakan sebaik sahaja peruntukan diluluskan dan dijadual siap dalam masa setahun.

“Saya akan berbincang segera dengan Menteri Pelajaran untuk mendapatkan persetujuannya. Kita berjanji akan menyelesaikan masalah sekolah dan murid-murid. Ini adalah cara kerajaan diterajui Barisan Nasional.

“Kita sentiasa prihatin dalam isu berkaitan pendidikan serta tidak mahu membiarkan rakyat menderita,” katanya kepada pemberita selepas melawat SJK (T) Batang Kali di sini.

Turut hadir Penyelaras Pelan Tindakan Bagi Masa Depan Sekolah-Sekolah Tamil Malaysia, Pejabat Perdana Menteri Prof Dr N.S. Rajendran, Ketua Pemuda MIC Hulu Selangor V. Mugilan, Penyelia Sekolah Tamil Malaysia M.Baskaran serta wakil-wakil daripada Jabatan Kerja Raya dan Pejabat Pelajaran Daerah.

Pada 4 Mei, Ketua Pemuda MIC Hulu Selangor V. Mugilan mengetuai satu perhimpunan mogok lapar secara aman bersama ibu bapa dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) A. Omparoa selama 24 jam bagi menuntut pembinaan bangunan baru setelah JKR mengisytiharkan bangunan sedia ada tidak selesa dan keselamatan bangunan itu di tahap tidak memuaskan.

Sementara menunggu kelulusan peruntukan kementerian, Puad berkata empat kabin fiber komposit akan ditempatkan di kawasan sekolah dalam masa terdekat.

Kementerian turut memperuntukkan RM100,000 untuk baik pulih blok A yang mengalami kerosakan bumbung dan pembinaan struktur serta RM20,000 untuk mengatasi masalah anai-anai di sekolah itu.

SJK (T) Batang Kali merupakan sekolah Tamil bantuan penuh kerajaan, yang dibina pada 1960-an, mempunyai 10 bilik darjah, sebuah bilik guru, sebuah pejabat, satu bilik darjah prasekolah, sebuah pusat sumber dan sebuah kontena yang dilengkapi dengan pendingin hawa.

Sekolah itu mempunyai 368 murid termasuk 25 pelajar prasekolah.

– Bernama

Upah samseng halau cikgu – Metro


Upah samseng halau cikgu

Oleh Zaitie Satibi
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PETALING JAYA: Seorang guru wanita yang mengajar di sebuah sekolah rendah jenis kebangsaan Cina di Damansara di sini, mendakwa hidup dalam trauma dan ketakutan selepas diganggu serta diugut sekumpulan samseng yang dipercayai diupah ibu bapa pelajar yang tidak berpuas hati mangsa mengajar di sekolah berkenaan.

Menurut sumber, guru berkenaan yang berusia 40 tahun menerima lima ugutan sejak 10 April lalu dan ugutan terbaru diterima ketika berada di tempat letak kereta rumahnya, jam 10 pagi, Sabtu lalu.
“Ketika kejadian itu, mangsa yang menuju keretanya dihampiri seorang lelaki tidak dikenali dan memarahinya kerana masih mengajar di sekolah itu walaupun beberapa kali diberi amaran supaya berpindah.

 

“Lelaki terbabit yang juga orang sama mengganggunya sebelum ini mengugut dengan mengeluarkan perkataan ‘esok akan mati jika kau berdegil’ dan berpindah dari sekolah berkenaan,” katanya, semalam.
Berikutan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Damansara. Sumber berkata, sekumpulan samseng terbabit turut mengekori guru berkenaan ke mana saja mangsa pergi termasuk membuat gangguan di rumah pada waktu malam apabila pintu rumah diketuk berulang kali.
“Siri gangguan terhadap mangsa bermula selepas isu penggunaan bahasa Melayu di sekolah berkenaan ditimbulkan segelintir ibu bapa pelajar yang tidak sependapat dengan pentadbiran sekolah pada hujung tahun lalu.

 

 

“Mangsa yang mengajar subjek Bahasa Melayu menyediakan kertas ujian pelajar dalam bahasa itu dan tindakan itu menyebabkan ibu bapa pelajar terbabit tidak berpuas hati. “Mangsa yang tidak tahan dengan gangguan itu membuat laporan di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Petaling Utama dan memohon untuk ditukarkan sekolah lain kerana bimbang berlaku perkara tidak diingini terhadapnya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

 

PPD akan diperkasa – TPM – Utusan


PPD akan diperkasa – TPM

KULAIJAYA 6 Mac – Kementerian Pelajaran akan memperkasakan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) di seluruh negara termasuk menambah bilangan pegawai berpengalaman dan berkemahiran bagi memberikan perkhidmatan yang lebih baik.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kajian awal mengenai perkara itu mendapati langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha penting bagi membolehkan mutu perkhidmatan dipertingkatkan.

Beliau berkata, PPD merupakan organisasi paling hampir dengan pihak sekolah dan pelajar serta amat penting dalam membantu meningkatkan mutu pelajaran serta pembelajaran.

“Kita akan memperkasakan PPD dari pelbagai sudut termasuk mengkaji struktur organisasi, bilangan pegawai terlatih serta skop kerja agar ia dapat menjadi pemantau kepada sekolah dan paling penting membantu meningkatkan mutu pendidikan dan pembelajaran dalam bilik darjah.

Isu keselamatan murid terancam – Sinar Harian


Isu keselamatan murid terancam

WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Mac 2012
Isu keselamatan murid terancam

SUNGAI PETANI – Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kuala Muda sedia memberikan kerjasama bagi membincangkan aspek keselamatan di sekolah berhubung kes percubaan menculik yang berlaku di sebuah sekolah rendah di daerah ini.

Pegawainya, Mohd Roslan @ Sobri Ismail berkata, kakitangannya telah berjumpa dengan pihak sekolah bagi mengetahui prosedur keselamatan dan membincangkan aspek keselamatan yang perlu ditingkatkan.

“Tujuan pihak sekolah berjumpa adalah untuk mendapat maklumat terperinci serta mengetahui tahap keselamatan, terutama semasa perjalanan pergi dan balik sekolah. Selebihnya kita serahkan kepada siasatan yang dijalankan pihak polis.

“Kita juga berharap kejadian seumpama ini tidak berulang dan bersyukur kerana mangsa terselamat dari jadi mangsa culik,” katanya ketika melawat Pameran Pendidikan Kerjaya di Karnival Sungai Petani, kelmarin.

Roslan menyatakan demikian berhubung kejadian murid tahun dua yang melalui situasi cemas ditarik penculik ke sebuah van menggunakan taktik sama seperti penculikan arwah Nurin Jazlin Jazimin, lima tahun lalu.

Bapa mangsa yang bimbang dengan keadaan itu segera membuat laporan polis ke balai polis berdekatan yang disiarkan Sinar Harian 27 Februari lalu.

Dalam kenyataan bapa mangsa, penculik menggunakan pendekatan RM5 untuk mengumpan mangsa sebelum ditarik ke sebuah van yang terletak di luar pagar sekolah.

Penduduk kampung yang menyaksikan tindakan mencurigakan itu segera meminta penculik wanita berusia 30-an terbabit melepaskan genggaman tangan mangsa yang menyelamatkannya dari percubaan menculik.

UMNO Besut bantu tingkat pembelajaran murid – Bernama


UMNO Besut bantu tingkat pembelajaran murid

17/02/2012 2:56pm

BESUT 17 Feb. – UMNO Bahagian Besut akan membantu dan menyokong Kementerian Pelajaran dalam memastikan murid-murid sekolah rendah di daerah itu mencapai kemahiran asas pembelajaran melalui Program Saringan Literasi dan Numerasi (Linus) yang dilaksanakan sejak tiga tahun lepas di seluruh negara.

Program itu diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran bagi mencapai tahap celik huruf dan kebolehan mengira 100 peratus bagi semua kanak-kanak sekolah tanpa mengalami kesukaran pembelajaran apabila mereka sampai ke Tahun Tiga dalam menekankan kemahiran membaca, mengira dan menulis.

Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, kepimpinan UMNO Besut akan berganding bahu dengan ibu bapa untuk merealisasikan sasaran Pejabat Pelajaran Daerah Besut kepada sifar peratus ke atas murid-murid sekolah daerah ini mulai tahun ini.

Setakat ini terdapat 3,067 murid Tahun Tiga daripada 53 buah sekolah rendah di daerah itu sedang mengikuti Program Linus.

“Daripada jumlah itu tiga orang didapati masih tegar dan 46 yang lain dalam kelompok sederhana untuk Literasi manakala bagi Numerasi pula terdapat tiga murid tegar dan 29 pada tahap serdahana,” katanya kepada Bernama di sini hari ini. — BERNAMA

Galak sekolah, pengusaha kantin lain – Sinar Harian


Galak sekolah, pengusaha kantin lain

WARTAWAN SINAR HARIAN
14 Februari 2012

KULAIJAYA – Jabatan Pelajaran Johor menyambut baik usaha Sekolah Kebangsaan (SK) Kulai dekat Kampung Melayu, di sini, yang menjadi sekolah pertama di negara ini mengadakan Program Kantin 1Malaysia bermula 9 Februari yang lalu.

Pengarahnya, Mohd Nor A Ghani berkata, pihaknya menyokong dan memuji usaha Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kulaijaya yang menjadi pencetus idea untuk merealisasikan program terbabit selain turut menerima cadangan dari PPD lain untuk mewujudkan pada masa akan datang.

Menurutnya, sekolah mahupun pengusaha kantin lain di negeri ini digalakkan untuk mencontohi sekolah berkenaan yang mana program tersebut berlandaskan konsep 1 Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib Tun Razak.

“Program ini mengambil kira kepada sekolah yang mempunyai pelajar berbilang kaum iaitu Melayu, Cina dan India yang mana menu makanan dan minuman dijual pada harga RM1 selaras dengan konsep 1 Malaysia.

“PPD Kulaijaya telah membentangkan perkara ini sebelum ini. Kami di peringkat jabatan tiada masalah dan mengalu-alukan usaha sedemikian yang mana dibuat berdasarkan kemampuan pelajar, sekali gus ia berupaya meringankan ibu bapa juga.

“Namun, biarpun terdapat menu makanan 1 Malaysia bernilai RM1, tetapi harga makanan lain yang lebih rendah dari harga tersebut juga perlu disediakan oleh pengusaha kantin,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sementara itu, Pegawai Pelajaran Daerah Kulaijaya, Fauzan Sukimi berkata, tercetusnya idea untuk mengadakan program itu sejak beliau bertugas di sebuah sekolah sebelum ini, di mana kebanyakan pelajar tidak makan pada waktu rehat kerana kekurangan wang.

Menurutnya, meskipun menu makanan terbabit berharga RM1, makanan tersebut tetap mengandungi khasiat dan kualiti yang diperlukan untuk pertumbuhan murid-murid sekolah bertepatan dengan slogan Murid Didahulukan, Kualiti Diutamakan.

“Kantin 1Malaysia turut mementingkan aspek 4 K iaitu kebersihan, keceriaan, kualiti serta kuantiti; dan 2 M iaitu murah dan mesra. Ini bermaksud ia turut mengutamakan persekitaran yang bersih dan mesra pelanggan serta kondusif.

“Untuk menjayakan program ini, keadaan kantin juga perlu berubah wajah dan kelihatan lebih ceria. Biarpun makanan dijual harga murah, tetapi murid-murid turut dilayan dengan mesra, selain menjadi medium atau tempat untuk mengeratkan perpaduan dalam kalangan murid-murid,” katanya.

Beliau berharap, lebih banyak lagi sekolah lain mencontohi SK Kulai untuk mewujudkan program Kantin 1Malaysia di sekolah masing-masing sebagai melambangkan keprihatinan dalam membantu golongan yang memerlukan.