Jerebu: Ibu bapa dibenarkan tak hantar anak ke sekolah – Bernama


Jerebu: Ibu bapa dibenarkan tak hantar anak ke sekolah

 

 

KUALA LUMPUR 24 Jun – Ibu bapa dibenar tidak menghantar anak-anak ke sekolah jika bimbang kesihatan mereka berikutan jerebu yang melanda sekarang, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, pihak sekolah hendaklah dimaklumkan terlebih dahulu.

“Ibu bapa diminta merujuk kepada pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut berkaitan status sekolah anak-naka mereka terutama di kawasan yang terlibat,” kata Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan dalam kenyataan di sini hari ini.

Sekolah-sekolah diarahkan tutup hari ini iaitu di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka serta daerah Muar, Ledang dan Segamat di Johor, Port Dickson di Negeri Sembilan dan Kuantan di Pahang.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G.Palanivel memberitahu pemberita di lobi Parlimen hari ini bahawa sekolah-sekolah di Selangor dan Kuala Lumpur dijangka ditutup esok memandangkan keadaan jerebu bertambah buruk.

Muhyiddin berkata, walaupun sekolah-sekolah dalam kawasan jerebu kritikal dan yang bacaan Indeks Pencemaran Udara melebihi paras bahaya telah ditutup, murid-murid dinasihatkan supaya tidak mendedahkan diri di kawasan terbuka.

“Dalam hal ini kerjasama ibu bapa perlu supaya dapat mengawasi pergerakan anak-anak mereka sepanjang tempoh itu,” katanya.

Murid-murid juga dinasihatkan sentiasa memakai penutup hidung dan minum banyak air, manakala pihak sekolah hendaklah merujuk pelajar yang tidak sihat ke klinik atau hospital berhampiran, katanya.

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah sentiasa memantau dan mengikuti perkembangan semasa jerebu untuk mengetahui status terkini jerebu di kawasan masing-masing.

Katanya, semua pengarah pelajaran negeri hendaklah sentiasa mendapatkan pandangan dan nasihat daripada pihak berkuasa di peringkat masing-masing mengenai keperluan penutupan sekolah serta pelaksanaan sebarang aktiviti melibatkan murid.

Muhyiddin juga meminta pihak sekolah mematuhi arahan surat siaran dari semasa ke semasa sama ada untuk menutup sekolah dengan serta merta, menghentikan semua aktiviti di luar bilik darjah atau menghentikan semua aktiviti kokurikulum dengan kadar segera bagi menjamin kesihatan murid. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130624/dn_38/Jerebu-Ibu-bapa-dibenarkan-tak-hantar-anak-ke-sekolah#ixzz2X8n3ep33
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tutup sekolah untuk jamin kesihatan, keselamatan – Bernama


Tutup sekolah untuk jamin kesihatan, keselamatan

20 Jun 2013

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan hari ini mengarahkan pihak pentadbir sekolah mengambil langkah menutup sekolah jika Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi paras bahaya, iaitu 300 bagi menjamin kesihatan dan keselamatan pelajar.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud berkata berkata pihak pentadbir sekolah perlu mengambil tindakan di bawah Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.

Selain ditutup, pihak sekolah juga perlu menghentikan semua aktiviti kokurikulum dan aktiviti di luar bilik darjah jika IPU melebihi 250, dan menghentikan semua aktiviti di luar bilik darjah yang melibatkan murid-murid berisiko tinggi jika IPU melebihi 150, katanya dalam satu kenyataan di sini.

“Kementerian Pendidikan memandang serius perkembangan fenomena jerebu yang melanda negara ketika ini.  Selaras dengan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri pada 15 Ogos 2012 berhubung pindaan kepada Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, kementerian telah mengeluarkan Surat Siaran KPM Bil.14 Tahun 2013 berhubung Langkah-Langkah Kementerian Pendidikan Malaysia Bagi Menjamin Kesihatan dan Keselamatan Murid-Murid Di Sekolah-Sekolah Yang Berada Dalam Kawasan Berjerebu Yang Dianggap Kritikal,” katanya.

Abdul Ghafar berkata Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah juga telah diarah untuk memantau dan mengikuti perkembangan semasa fenomena jerebu melalui media massa dan laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk mengetahui status jerebu di kawasan masing-masing.

Katanya, kementerian itu juga telah membuka bilik gerakan untuk memantau perkembangan fenomena itu, dan untuk memudahkan kementerian mengambil langkah-langkah wajar bagi menanganinya.

“Murid-murid dinasihatkan memakai penutup hidung dan pihak sekolah hendaklah merujuk pelajar yang dikenal pasti tidak sihat ke klinik atau hospital berhampiran bagi memastikan kesihatan dan keselamatan pelajar terjamin,” katanya.

Lebih 200 sekolah di Muar, Johor hari ini diarah tutup buat sementara berikutan bacaan IPU mencatat paras bahaya iaitu 383.

Pengarah Pendidikan Johor Mohd Nor A Ghani berkata keputusan itu dibuat berikutan paras IPU di daerah itu mencecah tahap bahaya, dan tindakan itu melibatkan 76,940 pelajar.

JAS hari ini melaporkan Muar merupakan kawasan yang paling teruk dilanda jerebu dengan IPU 383 pada 11 pagi meningkat daripada 337 pada 7 pagi tadi. – Bernama

Pukul pelajar: 3 pelajar SM Seberang Jaya dibuang sekolah – Bernama


Pukul pelajar: 3 pelajar SM Seberang Jaya dibuang sekolah

10 April 2013

BUTTERWORTH – Tiga pelajar Sekolah Menengah Seberang Jaya di sini dikenakan tindakan buang sekolah setelah didapati bersalah memukul seorang pelajar lain di sekolah berkenaan.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Ahmad Tarmizi Kamaruddin berkata tiga pelajar terbabit dikatakan berang dengan tindakan mangsa, yang juga ketua tingkatan, yang mahu membuat laporan kepada guru kerana mereka membawa telefon bimbit ke sekolah.

Katanya dalam kejadian pada 4 Mac lepas, tiga pelajar terbabit bertindak merancang bersama beberapa pelajar lain dan membelasah mangsa di sekolah.

Kejadian itu dirakam dan tersebar luas dalam laman Youtube sejak beberapa hari lepas dan mendapat komen negatif daripada orang ramai.

“Susulan kejadian itu pihak pengurusan sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah menjalankan siasatan serta membuat keputusan membuang tiga pelajar terbabit sejak 8 Mac lepas kerana melanggar peraturan sekolah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya, pelajar berkenaan masih diberi peluang merayu untuk meneruskan semula persekolahan dan mereka perlu melalui beberapa prosedur termasuk membuat aku janji sebelum diterima meneruskan semula persekolahan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata polis tidak menerima sebarang laporan berkaitan kejadian terbabit.

Bagaimanapun, beliau mengesahkan bahawa pihaknya sudah membuka kertas siasatan berkaitan kejadian itu menurut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merusuh. – Bernama

Dua anak dipukul guru – Sinar Harian


Dua anak dipukul guru

AZLINA OTHMAN
8 April 2013
Dua anak dipukul guru
Hamzah menunjukkan dua laporan polis yang dibuat dan gambar muka anaknya, Muhammad Hafiz Hisham yang didakwa ditampar guru.

KULAIJAYA – Seorang bapa mendakwa dua anaknya berusia 10 dan 12 tahun yang bersekolah di sebuah sekolah rendah di daerah ini dipukul guru masing-masing tanpa alasan yang munasabah.

Bapa berkenaan menyuarakan kekesalan terhadap tindakan guru-guru terbabit yang didakwa memukul pada bahagian muka dan kepala anak-anaknya dalam kejadian berasingan.

Pengawal keselamatan, Hamzah Abdul Hamid, 47, berkata, kejadian pertama dikesan berlaku sekitar dua bulan lalu apabila anaknya, Siti Nuraishah, 12, enggan ke sekolah selepas didakwa dikasari gurunya.

“Saya mengetahui hal ini seminggu selepas kejadian. Siti Nuraishah tidak mahu ke sekolah kerana dipukul pada bahagian kepala menggunakan rotan di hadapan rakan lain selepas tidak dapat menjawab soalan Matematik.

“Saya kemudiannya datang ke sekolah untuk merujuk perkara itu kerana Siti Nuraishah tidak mahu ke sekolah
seperti ketakutan malah malu akibat dipukul.

“Ketika cuba mendapatkan penjelasan, guru besar sekolah hanya memaklumkan akan menyiasat,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Hamzah berkata, dia ada membawa Siti Nuraishah membuat pemeriksaan di Klinik Kesihatan Bandar Tenggara dan diarahkan ke Hospital Kulai dan hasilnya terdapat kesan bengkak pada bahagian kepala.

“Keesokannya, saya merujuk perkara ini kepada Pejabat Pendidikan Daerah Kulaijaya bersama laporan kesihatan anak dan mereka beritahu akan menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

Kemudian, belum pun reda kisah si kakak, Hamzah mendakwa anak lelakinya, Muhammad Hafiz Hisham, 10, pula ditampar
pada bahagian muka hingga meninggalkan sedikit kesan calar dengan alasan tidak membawa buku, baru-baru ini.

“Saya terkejut apabila nampak muka Muhammad Hafiz Hisham merah dan ada kesan calar seperti ditampar.

Anak saya mengaku tidak membawa buku dan mahu berkongsi dengan kembarnya Muhammad Hafiz Hashim di dalam kelas.

“Saya khuatir kerana anak saya menghidap penyakit saluran jantung sempit kerana dilahirkan tidak cukup bulan.

Saya merujuk perkara itu ke sekolah, tapi alasan yang sama diberikan iaitu siasatan akan dilakukan,” katanya.

Dia yang tidak berpuas hati dengan situasi itu mahu dua guru terbabit tampil memohon maaf atas kekasaran dilakukan.

Katanya, dia tidak tidak marah tindakan yang diambil jika benar mahu menghukum kerana anak-anaknya melakukan kesalahan.

“Tetapi, jika mahu mengajar pelajar, gunalah cara yang betul dan tidak menimbulkan kebencian pelajar terhadap guru.
Janganlah sampai dipukul pada bahagian muka atau kepala.

“Sebagai bapa, saya kesal dengan kejadian yang berlaku. Saya anggap perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana ia merupakan masalah kecil,” katanya.

Terdahulu, Hamzah membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Tenggara, dekat sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pelajaran Johor, Md Hasidin Zaini berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara berkenaan dan sekiranya guru terlibat didapati bersalah, tindakan selanjutnya mengikut prosedur ditetapkan akan diambil.

Didik guna elektrik secara selamat – Sinar Harian


Didik guna elektrik secara selamat

WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Mac 2013

SHAH ALAM – Tenaga Nasional Berhad (TNB) Selangor merancang bekerjasama dengan pejabat pendidikan daerah (PPD) di negeri itu dalam usaha memupuk kesedaran berkaitan keselamatan penggunaan elektrik kepada pengguna.

Pengurus Besarnya, Datuk Mohd Azim Yusof berkata, pihaknya sudah merangka beberapa program melibatkan seminar dan pameran mini di sekolah terpilih, dalam tempoh terdekat.

“Kita sekarang dalam proses untuk mengatur rancangan bagi mengadakan perbincangan lanjut dengan PPD berhubung perkara itu supaya mereka boleh beri cadangan sekolah yang bakal terlibat.

“Pada masa sama, kita juga akan perkenalkan kerjaya sebagai jurutera elektrik kepada pelajar. Program ini akan dimulakan tahun ini juga kerana kesedaran berkaitan keselamatan ini wajar diterapkan dari peringkat sekolah lagi,” katanya ketika ditemui selepas Pelancaran Big Wave Asset TNB Selangor, di sini, semalam.

Mengulas mengenai program berkenaan, Mohd Azim berkata, kira-kira 2,700 kakitangan TNB di 12 daerah di Selangor turun padang membuat pemeriksaan secara berkala bermula semalam di semua penempatan pencawang dan kawasan pemasangan elektrik.

Katanya, langkah itu dilakukan bagi memastikan keadaan semua peralatan membekalkan elektrik dalam keadaan selamat, selain mempertingkat perkhidmatan mereka untuk menjamin keselesaan pengguna.

“Kira-kira 14,600 pencawang elektrik di semua daerah di Selangor dibersihkan, diperiksa dan dibaiki bergantung kepada keperluan.

“TNB selalu bergotong-royong menjalankan aktiviti ini, tetapi hari ini (semalam) kita jalankan serentak sebagai menyokong usaha kerajaan yang mengekalkan TNB sebagai sebuah organisasi bersepadu membekalkan elektrik kepada pengguna,” katanya.

1,811 pelajar dibuang sekolah – Utusan


1,811 pelajar dibuang sekolah

KUALA LUMPUR 18 Dis. – Seramai 1,811 murid dan pelajar telah dibuang sekolah setakat November lalu kerana melakukan kesalahan disiplin yang berat.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong (gambar) berkata, tindakan itu tidak dilakukan sewenang-wenangnya, sebaliknya merupakan langkah terakhir selepas beberapa langkah awal seperti memberi amaran, nasihat, motivasi serta gantung sekolah dilaksanakan.

“Sekiranya masih melakukan kesalahan yang bercanggah dengan disiplin sekolah, pihak sekolah tidak boleh buat apa-apa selain membuang murid atau pelajar bermasalah ini,” katanya menjawab soalan Senator Noriah Mahat dalam sidang Dewan Negara hari ini.

Mengulas lanjut Ka Siong memberitahu, setiap sekolah telah ditempatkan seorang guru bimbingan dan kaunseling (GBK).

“Bagi sekolah menengah, kementerian menempatkan seorang GBK bagi jumlah murid seramai 500 orang ke bawah. Bagi sekolah rendah pula, seorang GBK untuk 350 ke 850 orang murid.

“Selain itu, kementerian turut menggariskan empat prinsip untuk meningkatkan perkhidmatan guru berkenaan iaitu memfokus kepada pembangunan dan perkembangan sahsiah diri pelajar, peningkatan disiplin diri, pendidikan kerjaya dan psiko sosial termasuk mental pelajar,” jelasnya.

Menurut Ka Siong, sejak program pelantikan GBK di setiap sekolah dilaksanakan, indeks disiplin murid dan pelajar sekolah berada pada tahap purata 2.07 peratus sejak 2007.

Katanya, pada 2010 kadar tersebut adalah pada 2.06 peratus dan pada 2011 menurun kepada 2.05 peratus.

Menurut Ka Siong, ibu bapa kepada murid atau pelajar yang dibuang sekolah boleh merayu kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Jabatan Pendidikan Negara (JPN) supaya memberi peluang kedua kepada anak mereka.

Kata beliau, murid atau pelajar yang dibuang dari sekolah asal akan ditukarkan ke sekolah lain untuk memberi persekitaran baru kepada mereka.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Parlimen/20121219/pa_04/1811-pelajar-dibuang-sekolah#ixzz2IO5iGO6L
© Utusan Melayu (M) Bhd

Galak pelajar hargai air – Sinar Harian


Galak pelajar hargai air

WARTAWAN SINAR HARIAN
Galak pelajar hargai air
Antara pelajar yang berjaya memenangi hadiah melalui aktiviti yang dianjurkan bergambar kenangan bersama wakil daripada SAJ

BATU PAHAT – Syarikat Air Johor Holdings (SAJ) Sdn Bhd meneruskan langkah dan usaha memupuk kesedaran pelajar terhadap kepentingan air dengan mewujudkan satu program berbentuk pendidikan.

Program yang dirancang untuk dijadikan aktiviti tahunan ini akan melibatkan seluruh sekolah menengah di negeri Johor dan akan dilaksanakan secara berperingkat.

Ketua Pegawai Eksekutif SAJ, Abdul Wahab Abdul Hamid berkata, program yang bertemakan ‘Setitis Yang Bermakna’ ini bertujuan memberi kesedaran dan pendidikan kepada golongan pelajar sejak di bangku persekolahan lagi.

“Manfaatnya bakal diperoleh apabila pelajar yang terlibat akan mendapat kesedaran mengenai kepentingan memelihara dan juga memulihara bekalan sumber air dan alam sekitar.

“Program ilmiah ini turut mendapat sokongan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) selain kerjasama daripada Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPNJ).

“Selain JPNJ, program yang telah memasuki tahun ketiga ini turut diperluaskan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di 10 daerah di Johor serta banyak sekolah telah menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah dalam aktiviti yang akan dianjurkan,” katanya.

Katanya lagi, Batu Pahat merupakan antara daerah yang begitu komited untuk menjayakan program ini dan pihak PPDnya mengharapkan program ilmiah ini akan dapat diteruskan dari masa ke semasa.

“Baru-baru ini program berkenaan telah dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Menteri, dan telah disertai oleh pelajar dari SMK Tun Ismail, SMK Yong Peng, SMK (P) Temenggong Ibrahim, SMK Tunku Mahmood Iskandar dan SMK Senggarang.

Menurutnya, modul dalam program ini nanti akan menggunakan pendekatan seperti pameran, ceramah pendidikan dan juga pertandingan pengucapan awam.

“Mekanisma yang digunakan ini dijangka dapat memberi impak besar kepada sesebuah sekolah itu nanti apabila penggunaan air secara berhemah diamalkan dan akhirnya memberi faedah kepada pentadbiran sekolah berkenaan untuk mengurangkan bil pada setiap bulan,” katanya.

Jabatan Pelajaran Selangor pohon RM500,000 tampung kerugian banjir – Bernama


Jabatan Pelajaran Selangor pohon RM500,000 tampung kerugian banjir

31 Mac 2012

SHAH ALAM – Jabatan Pelajaran Selangor memohon peruntukan kira-kira RM500,000 daripada Kementerian Pelajaran bagi menampung ganti rugi kerosakan fizikal yang dialami 15 sekolah di Klang akibat banjir semalam.

Pengarah Jabatan Pelajaran Selangor Abdullah Mad Yunus berkata peruntukan itu adalah anggaran kasar setakat ini dan jumlah kerosakan terperinci di setiap
sekolah terlibat masih dalam siasatan.

“Kementerian, Jabatan Pelajaran Selangor dan Pejabat Pendidikan Daerah Klang juga sedang memantau dengan teliti perkembangan terbaru di semua sekolah
berkenaan berikutan hujan yang masih berterusan.

“Kami akan ambil tindakan yang perlu untuk pastikan keselamatan murid-murid dan kami tidak mahu kejadian seperti banjir ini menganggu pengajaran dan pembelajaran murid-murid,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Abdullah berkata daripada 15 sekolah itu, lapan sekolah terlibat dengan penutupan iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Rahimah (STAR), SMK La Salle, SK (SK) La Salle, SK Simpang Lima 1, SK Simpang Lima 2, SK Sungai Udang, SK Teluk Gadong dan Sekolah Menengah (SM) Vokasional.

Sementara tujuh sekolah lagi yang terlibat dengan banjir beroperasi seperti biasa, katanya.

Abdullah berkata tinjauan sehingga tengah hari ini mendapati kesemua 15 sekolah terbabit masih menjalankan kerja-kerja pembersihan. Beliau berkata daripada lapan sekolah yang terlibat dengan penutupan, STAR paling teruk dilanda bencana alam itu.

Abdullah berkata dalam minggu ini sahaja, STAR dinaiki air sebanyak tiga kali. Masalah banjir di sekolah itu dialami sejak tahun 80-an dan dalam setahun kira-kira tujuh kali ia dinaiki air.

Ditanya kemungkinan memindahkan sekolah berkenaan ke tempat lain untuk mengelak kejadian itu berulang, Abdullah berkata cadangan itu boleh dipertimbang namun beberapa perkara perlu diambil kira.

“Cadangan itu boleh tetapi sekolah bersejarah (Ethos) seperti ini selalunya ingin kekal berada di tempat asal,” katanya. – Bernama

Rotan jika salah, bukan belasah – Kosmo


Rotan jika salah, bukan belasah

 

Oleh AINSAFRE BIDIN
berita@kosmo.com.my

 

ZULKEFLImenunjukkan laporan akhbar Kosmo! mengenai kejadian cucunya dibelasah sambil diperhatikan oleh isterinya, Rokiah Arshad di Teluk Intan semalam.

 

TELUK INTAN – Datuk kepada seorang pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib di sini kecewa apabila cucunya yang mendakwa dipukul seorang guru sekolah kelmarin telah menjadi mangsa perbuatan pihak yang sepatutnya mendidik dan bukan bertindak di luar batas undang-undang.

Zulkefli Lope, 61, berkata, tindakan keterlaluan guru terbabit menyebabkan cucunya, Muhammad Ziqril Hakin Mohd. Farol pengsan dan terpaksa dirawat di Hospital Teluk Intan di sini.

Tambah mengecewakan Zulkefli ialah dia selaku penjaga pelajar itu hanya mengetahui kejadian tersebut daripada rakan sekelas Muhammad Ziqril Hakin selepas waktu sekolah.

“Sudahlah saya tidak dimaklumkan langsung, cucu saya itu pula ditinggalkan bersendirian di perhentian bas untuk pulang ke rumah selepas mendapat rawatan di hospital.

“Saya akui dia nakal sebab berkelahi di sekolah dan saya tak kisah dia dirotan tapi janganlah dibelasah sampai begitu sekali,” kata Zulkefli ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Batu 8, Jalan Changkat Jong di sini semalam.

Dalam kejadian kelmarin, Muhammad Ziqril Hakin mendakwa dipukul tiga kali di muka dan leher oleh seorang guru sehingga pengsan.

Kejadian pukul 12.30 tengah hari itu berlaku selepas pelajar berkenaan berkelahi dengan seorang pelajar lain hingga menyebabkan guru terbabit masuk campur.

Dalam pada itu, Pengarah Pelajaran Perak, Datuk Mohd. Rauhi Mohd. Isa memandang serius kejadian tersebut dan telah mengarahkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hilir Perak membuka kertas siasatan.