Anggota Kor Kadet Polis di sekolah dicadang sertai Kelab Pencegahan Jenayah – Bernama


Anggota Kor Kadet Polis di sekolah dicadang sertai Kelab Pencegahan Jenayah

 

19/06/2013 6:47pm

 

KUALA LUMPUR – Polis Selangor bercadang untuk membabitkan kesemua anggota Kor Kadet Polis di setiap sekolah di negeri ini ke dalam Kelab Pencegahan Jenayah.

Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, SAC Hassanuddin Hassan berkata, cadangan tersebut akan dikemukakan kepada Pejabat Pendidikan Negeri bagi membolehkan perkara itu dilaksanakan.

Ia merupakan sebahagian daripada usaha untuk membendung kes salah laku dalam kalangan remaja yang kini semakin membimbangkan, katanya selepas merasmikan perkhemahan Kor Kadet Polis Peringkat Negeri Selangor 2013 di sini hari ini.

Hassanuddin berkata, statistik gejala sosial dalam kalangan remaja di Selangor pada tahun lepas menyaksikan 795 kes dicatatkan membabitkan jenayah kekerasan dan harta benda seperti bunuh, rompak, samun dan rogol.

“Pada tahun 2011, sebanyak 1,811 kes direkodkan dengan tangkapan 2,361 orang. Biarpun angkanya menurun, kita anggap isu ini merisaukan,” katanya.

Diwujud untuk menanam disiplin dan nilai-nilai murni di kalangan pelajar sekolah, Kor Kadet polis bagi Kontinjen Selangor kini mencecah keahlian lebih daripada 10,000 orang.

Seramai 750 anggota Kor Kadet Polis daripada 15 daerah di negeri ini mengambil bahagian dalam perkhemahan empat hari tiga malam bermula Ahad lepas. – Bernama

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0619&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_20.htm#ixzz2WfjJQpgi
Hakcipta terpelihara