Rel kereta api lokasi lepak pelajar sekolah – Sinar Harian


Rel kereta api lokasi lepak pelajar sekolah
WARTAWAN SINAR HARIAN
15 Ogos 2012

Pelajar dilihat sanggup berbaring di kawasan landasan sewaktu sesi persekolahan.
Tiga pelajar berpakaian seragam ini cuba melindungi wajah mereka seolah-olah menyedari gelagat mereka dirakam.
ALOR SETAR – Kawasan projek pembinaan landasan kereta api elektrik berkembar telah disalahguna pelajar sekolah dengan menjadikan kawasan itu sebagai lokasi ponteng setiap hari.

Majlis Ketua Kampung (MKK) Taman Sri Taman, V R Kumar Naidu berkata, masalah yang berlaku sejak empat tahun itu masih belum diatasi walaupun pernah membuat laporan pada pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Setar pada tahun lalu.

Menurutnya, kebiasaannya sekitar 20 hingga 30 pelajar melepak di kawasan itu sekitar jam 7 pagi hingga waktu tengah hari sebelum masuk semula ke kawasan sekolah selepas tamat sesi persekolahan.

“Tahun lalu selepas saya membuat laporan, ada tindakan daripada polis namun selepas setahun kes ini berlalu, ia berlaku semula.

“Mereka yang ponteng itu berusia di antara 13 tahun hingga 17 tahun dan kebiasaannya mereka akan memakai pakaian seragam sekolah, mungkin untuk mengaburi mata ibu bapa,” katanya kepada Sinar Harian.

Kumar berkata, pelajar bukan sahaja baring di kawasan landasan malah ada dalam kalangan penduduk yang mendakwa terlihat golongan terbabit mengutip besi di kawasan sekitar landasan.

Dia berkata, ada juga yang mendakwa pernah terlihat ada kenderaan yang akan datang kepada mereka untuk mengambil besi yang telah dikutip.

Menurutnya, selain itu ada juga dakwaan yang memaklumkan pelajar pernah meminta wang daripada penduduk berkemungkinan untuk membeli makanan bagi mengalas perut.

“Kita bimbang dengan masa hadapan pelajar sekiranya masalah ini tidak diambil peduli atau dibiarkan sehingga bertahun-tahun oleh pihak yang bertanggungjawab.

“Pihak sekolah perlu peka dengan kehadiran pelajar, sekiranya ada pelajar yang tidak hadir selama beberapa hari, mereka perlu mengambil tindakan dengan menghubungi ibu bapa pelajar,” katanya.

Katanya, pihak sekolah dan PPD diharap dapat melakukan pemantauan di kawasan terbabit agar kegiatan pelajar terlibat dapat dihentikan.Selain sekolah dan PPD, ibu bapa juga perlu memainkan peranan dengan memastikan anak mereka sentiasa berada di dalam kawasan sekolah pada waktu persekolahan.

Tidak mampu tampung pelajar – Sinar Harian


Tidak mampu tampung pelajar
WARTAWAN SINAR HARIAN
4 Julai 2012

Dewan serba guna diperlukan untuk menampung pertambahan bilangan pelajar.
JENGKA 16 – Ibu bapa dan guru meminta pihak berwajib membina dewan serba guna dan lebih banyak kelas untuk menampung jumlah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Jengka 16 yang semakin meningkat.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Ahmad Awang berkata, ia berikutan sudah sampai masanya dewan sedia ada berganti baru.

“Dewan serba guna penting untuk menganjurkan pelbagai acara gilang-gemilang di sekolah ini. Tambahan pula, pelajar menggunakan bahagian terbuka di bawah bangunan yang kadangkala tidak cukup untuk menampung pertambahan pelajar,” katanya.

Beliau berkata, dengan jumlah pelajar yang semakin meningkat, mereka memerlukan lebih banyak kelas baru.

“Kelas sedia ada tidak cukup untuk menampung jumlah pelajar yang kini mencecah lebih kurang 560 orang,” katanya.

Beliau berkata, permohonan dibuat sejak sekolah tersebut dibina pada 2000 dan difahamkan ia sudah dimasukkan di dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10).

“Saya diberitahu ia dimasukkan di dalam RMK10. Justeru saya berharap pembinaan tersebut dapat dijalankan segera kerana semakin hari, jumlah pelajar semakin bertambah.” katanya.

Perkara sama turut disuarakan Pengetuanya, Mohd Mohd Nor ketika menyampaikan ucapan perasmian Karnival Pendidikan 2012 di sekolah itu, Khamis lalu.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri, Rusdi Ismail dan Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Maran, Baharom Mamat.

Program berlangsung selama tiga hari itu menyediakan pelbagai aktiviti menarik yang bukan hanya disertai pelajar, malahan penduduk setempat.