4 lagi sekolah naik taraf K9 – Berita Harian


4 lagi sekolah naik taraf K9

2013/01/09 – 05:26:27 AM Oleh Matzidi DrisCetakEmel Kawan
Lingga: Empat lagi sekolah rendah pedalaman di Sarawak akan dinaik taraf menjadi Sekolah Model Khas Komprehensif K-9 (K9) bagi memastikan semua murid Tahun Enam memasuki Tingkatan Satu.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata tiga sekolah terletak di Baram iaitu Long Lamo, Long Kevok dan Long Jakitan, manakala satu lagi di Belaga iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Lusong Laku.

Beliau berkata, jika projek itu dilaksanakan nanti, Sarawak mempunyai lima sekolah jenis itu kerana pada tahun ini SK Long Bedian, Baram, memulakan K9 pada sesi persekolahan bermula 3 Januari lalu.

Katanya, model itu membolehkan sekolah menyediakan pendidikan daripada Tahun Satu hingga Tingkatan Tiga yang mengambil masa sembilan tahun di sekolah sama.

SK Long Bedian mengambil 94 pelajar Tingkatan Satu yang dibahagikan kepada tiga kelas.

Semua pelajar Tingkatan Satu adalah lepasan Tahun Enam SK Long Bedian, SK Long Pelutan, SK Long Luteng, SK Long Kevok dan SK Long Wat yang majoritinya suku kaum Penan, katanya selepas melawat SK Pulau Seduku, di sini, semalam.

Mohd Puad berkata, sekolah K9 adalah inisiatif Kementerian Pelajaran untuk merealisasikan pendemokrasian pendidikan dengan menyediakan peluang dan akses pendidikan lebih terancang kepada pelajar Orang Asli dan Penan.
Selain Sarawak, sebuah sekolah rendah di kawasan Orang Asli di Pekan Pahang iaitu SK Bandar Dua, Paloh Inai, juga dijadikan K-9 mulai tahun ini, katanya.

Tak perlu panik soalan percubaan SPM bocor – Berita Harian


Tak perlu panik soalan percubaan SPM bocor

Shah Alam: Kementerian Pelajaran akan menyiasat dakwaan berlaku kebocoran soalan kertas peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti dihebahkan dalam laman sosial Facebook.

Timbalan Menterinya, Datuk Wee Ka Siong, berkata beliau mengarahkan pegawai kementerian menyiasat dakwaan berkenaan, tetapi menasihatkan orang ramai tidak panik kerana peperiksaan percubaan bukan pengukur kejayaan calon serta tidak mempengaruhi prestasi pada peperiksaan sebenar.

“Kita ada kaedah dan tahap keselamatan tinggi termasuk penggunaan bilik kebal yang tidak mudah diceroboh bagi memastikan kertas soalan peperiksaan tidak bocor,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan hadiah Cabaran Toyota Eco Youth, di sini semalam.

Mohon jadi guru

Dalam perkembangan lain, Ka Siong berkata, kementerian menggalakkan lepasan SPM yang cemerlang memohon menjadi guru, manakala guru sedia ada yang berkelulusan diploma pula digalak melanjutkan pengajian, selaras sasaran menaik taraf sistem dan kualiti perguruan di negara ini selain membuka peluang guru ditawarkan gred lebih kompetitif.

Sementara itu di Melaka, seorang lagi Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata semua 79 sekolah menengah vokasional (SMV) di seluruh negara akan dinaik taraf kepada kolej vokasional menjelang tahun depan dengan 15 sekolah dipilih dalam program rintis bagi melihat keberkesanan kursus selama empat tahun itu.

Katanya, lapan lagi SMV termasuk yang sedang dibina ketika ini akan dinaik taraf serupa penghujung Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) termasuk tiga di Johor iaitu Tanjung Piai, Pagoh dan Pasir Gudang, manakala masing-masing satu di Pasir Puteh, Kelantan; Kuala Berang, Terengganu; Pekan, Pahang; Dengkil, Selangor dan Gurun, Kedah.
“Pendidikan vokasional laluan penting ke arah melahirkan modal insan berkemahiran tinggi, berpengetahuan, inovatif dan mampu menghadapi saingan peringkat global,” katanya selepas merasmikan majlis penutup Persidangan Kebangsaan Pendidikan Vokasional 2012, semalam.

Lapan lagi Kolej Vokasional akan dibina – Bernama


Lapan lagi Kolej Vokasional akan dibina

2012/04/09

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan membina lapan lagi Kolej Vokasional (KV) dalam memastikan bekalan tenaga kerja teknikal di negara ini mencukupi.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata tiga KV itu akan dibina di Johor iaitu Tanjung Piai, Pagoh dan Pasir Gudang manakala lima lagi setiap satu di Pasir Puteh (Kelantan), Kuala Berang (Terengganu), Pekan (Pahang), Dengkil (Selangor) dan Gurun (Kedah).

“Kementerian sudah melaksanakan transformasi pendidikan vokasional secara menyeluruh iaitu proses reka semula melalui penubuhan KV menggantikan Sekolah Menengah Vokasional (SMV) dan memperkenalkan Program Asas Vokasional (PAV).

“Bagi tujuan itu 15 buah SMV dinaik taraf sebagai Kolej Vokasional manakala 15 lagi sekolah menengah kebangsaan akan melaksanakan PAV secara rintis mulai 2012,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Sabuti, Sarwak, Ahmad Lai Bujang.

Beliau berkata, bagi negeri Sarawak terdapat 188 kekosongan di enam buah SMV dan sebuah Sekolah Menengah Teknik (SMT) sehingga 31 Januari lalu.

“Data 31 Januari lalu juga menunjukkan enrolmen murid di SMV, SMT dan KV adalah seramai 3,110 orang. Jumlah itu menunjukkan SMV, SMT dan KV sedia ada mampu menampung keperluan murid di Sarawak,” katanya.

Mohd Puad berkata, kementeriannya akan mempertimbangkan untuk membina sebuah lagi KV di Sarawak bagi memastikan keperluan tenaga kerja dalam Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dapat dipenuhi. – BERNAMA