Pelajar bakal duduki UPSR putus jari akibat mercun – Bernama


Pelajar bakal duduki UPSR putus jari akibat mercun

2011/08/22

KOTA BAHARU: Seorang pelajar yang bakal menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bulan depan menerima padah akibat mercun apabila jari telunjuk sebelah kanannya putus dalam kejadian tengah hari ini.

Pelajar Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Sri Ketereh, Noor Saiful Muhammad, mengalami kemalangan itu di rumahnya di Kampung Laka, Ketereh di sini pada pukul 1 tengah hari selepas pulang dari sekolah.

“Mercun bola yang saya gunakan itu meletup sebelum sempat saya lemparkan ke luar,” katanya kepada pemberita di Wad Kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.

Noor Saiful berkata, ketika itu dia bermain mercun dengan menggunakan api yang dipasang melalui dapur memasak dan mahu melempar bahan itu di luar dapur.

“Bila meletup tiba-tiba tangan saya jadi kebas dan darah keluar dengan banyak lalu saya pun jerit meminta tolong,” katanya.

Ketika kejadian, ibunya Siti Mariam Ibrahim, 52, sedang menggosok pakaian tanpa menyedari Noor Saiful secara diam-diam ke bahagian dapur untuk bermain mercun.

Akibat letupan itu juga ibu jari tangan dan jari tengah mangsa turut cedera.
Abang mangsa, Akif Shariffuddin, 17, berkata, ketika kejadian hanya adik dan ibunya sahaja yang berada di rumah manakala bapa mereka Muhammad Ya, 53, bekerja.

Katanya, Noor Saiful dihantar ibu dan jiran ke Klinik Ketereh sebelum dihantar ke hospital itu untuk rawatan lanjut.

“Sebelum ini tak pernah pula saya lihat adik bermain mercun tapi hari ini terkejut apabila dimaklumkan mengenai kejadian itu,” katanya.

Pegawai Perhubungan Awam HRPZ II, Zaid Ahmad berkata, ini adalah kejadian ketujuh yang direkodkan oleh hospital itu akibat mercun.

“Keadaan adik Noor Saiful kini stabil,” katanya. – BERNAMA