Pelajar cemerlang Imtiaz Melaka ke universiti luar negara – Utusan


Pelajar cemerlang Imtiaz Melaka ke universiti luar negara

ALOR GAJAH 12 Jan. – Pelajar cemerlang Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab Melaka (Imtiaz Melaka) yang lulus beberapa ujian khas termasuk ujian IQ berpeluang melanjutkan pelajaran ke salah daripada 20 universiti terkenal dunia.

Penasihatnya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka yang berkelayakan iaitu mendapat kesemua A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selain markah 400 ke atas bagi ujian IQ akan terus diserapkan ke salah sebuah universiti terkenal dunia termasuk Oxford dan Havard.

“Ini berikutan Pusat Kecemerlangan Y2G yang bertanggungjawab menguruskan Imtiaz Melaka mempunyai hubungan secara terus dengan 20 universiti terkenal dunia bagi mewujudkan program berkembar.

“Selain memastikan mereka yang cemerlang ini dapat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam aliran tertentu, ia sekali gus menjadikan mereka bukan hanya berpengetahuan dalam bidang agama, tetapi juga bidang lain.

“Melalui kerjasama program berkembar ini, mereka akan terus ke peringkat ijazah pertama dalam kursus profesional yang dikenalpasti dan semua ini akan dilakukan untuk tempoh tiga tahun daripada sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis Ramah Mesra Sambutan Pelajar Baru Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab Melaka 2013 di sini hari ini.

Yang turut hadir pada majlis meraikan seramai 80 orang pelajar baru itu ialah Panglima Markas 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Razali Ahmad dan Pengerusi Y2G, Datuk Hisham Abd. Majid.

Kata Ahmad Zahid, pelajar-pelajar Imtiaz Melaka diharapkan boleh menjadi contoh yang cemerlang kepada pelajar lain memandangkan mereka yang berkemampuan menghafal al-Quran tidak akan mengalami kesukaran dalam mata pelajaran lain.

Dalam pada itu, kata Ahmad Zahid, Imtiaz Melaka yang kini mempunyai seramai 170 pelajar yang terdiri daripada pelajar tingkatan satu dan dua itu menyasarkan kesemua pelajar memperoleh keputusan semua A dalam peperiksaan SPM.

Kata beliau, Imtiaz Melaka yang kini dilengkapi beberapa makmal termasuk makmal Bahasa Inggeris, Kimia, Fizik, kaji hayat dan Matematik membolehkan kesemua lepasan Imtiaz Melaka mempunyai cukup persediaan ke universiti.

Bagaimanapun, katanya, kerjasama daripada pelbagai agensi yang mengeluarkan biasiswa seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) amat diperlukan bagi urusan biasiswa pelajar-pelajar cemerlang Imtiaz Melaka yang melanjutkan pelajaran ke universiti luar negara.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130113/dn_07/Pelajar-cemerlang-Imtiaz-Melaka-ke-universiti-luar-negara#ixzz2Hqm2jIGB
© Utusan Melayu (M) Bhd