PENUTUPAN SEMENTARA APLIKASI SEMAKAN TAWARAN TEMU DUGA PISMP AMBILAN JUN 2013 BAGI PELAJAR CEMERLANG SPM TAHUN 2012


PENUTUPAN SEMENTARA APLIKASI SEMAKAN TAWARAN TEMU DUGA PISMP AMBILAN JUN 2013 BAGI PELAJAR CEMERLANG SPM TAHUN 2012

05 April 2013
Adalah dimaklumkan bahawa APLIKASI SEMAKAN TAWARAN TEMU DUGA PISMP AMBILAN JUN 2013 BAGI PELAJAR CEMERLANG SPM TAHUN 2012 akan ditutup sementara bermula jam 5 petang (5/4/2013) sehingga 5 pagi (6/4/2013) untuk kerja-kerja penyelenggaraan. Segala kesulitan amatlah dikesali.

 

Diterbitkan oleh Bahagian Pengurusan Maklumat

Najib ucap tahniah kepada penerima Biasiswa Nasional 2013 – Bernama


Najib ucap tahniah kepada penerima Biasiswa Nasional 2013

2013/04/02 – 16:55:24 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengucapkan tahniah kepada 50 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 yang menerima Biasiswa Nasional 2013.

Beliau turut menasihati pelajar berkenaan supaya tidak melupakan peranan yang disumbangkan ibu bapa dan guru sehingga mereka mencapai kejayaan itu.

“Tahniah kepada 50 pelajar cemerlang SPM tahun lalu yang menerima Biasiswa Nasional. Jangan lupa usaha ibu bapa dan guru yang memainkan peranan penting,” katanya dalam tweet terbaru beliau hari ini.

Pelajar cemerlang itu menerima biasiswa tersebut yang disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu majlis di ibu negara, semalam.

Melalui program Biasiswa Nasional, penerima akan ditaja dari peringkat persediaan hingga peringkat ijazah pertama dalam pelbagai bidang pilihan mereka yang diiktiraf kerajaan di dalam dan luar negara.

Program itu diperkenalkan pada tahun 2010 dengan 30 pelajar cemerlang SPM 2009 menerima biasiswa tersebut, tetapi ditambah menjadi 50 orang mulai 2012 ekoran peningkatan ketara pelajar yang mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM pada tahun 2011.

– BERNAMA

Irene, Pelajar Cemerlang SPM SMK Desa Kencana Felda Sahabat Dapat 10 A – Bernama


Irene, Pelajar Cemerlang SPM SMK Desa Kencana Felda Sahabat Dapat 10 A

LAHAD DATU: Irene Scully Tawan, 17, pelajar Sek Men Keb Desa Kencana Felda Sahabat di sini memperoleh keputusan cemerlang 10A Sijil Pelajaran Malaysia dan terpaksa meraikannya ketika tinggal sementara di Masjid Rahman Kembara Sakti, di sini.

Dia bersama ibu bapa dan dua adik lelakinya meninggalkan rumah mereka semalam atas faktor keselamatan berikutan ancaman pengganas militan dari selatan Filipina dan tinggal sementara di masjid tersebut, 3km dari rumahnya.

Irene yang bercita-cita menjadi doktor hanya dapat mengambil keputusan SPM di sekolahnya pagi tadi dengan ditemani oleh ibu bapanya.Menurut beliau, gurunya telah memaklumkan kepadanya mengenai keputusan itu semalam tetapi beliau hanya dapat mengambilnya pagi Jumaat.

Mengenai rahsia kejayaannya itu, Irene ketika ditemui di masjid tersebut berkata sikapnya yang suka bersaing antara faktor utama mendorong kejayaannya. –BERNAMA

Jaga solat faktor kejayaan – Sinar Harian


Jaga solat faktor kejayaan

WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Mei 2012
kejayaan
Muhammad Azfar (berdiri, kiri) bersama Nurul Najihah (duduk, kanan) berkongsi
rahsia kejayaan masing-masing.

JOHOR BAHRU – Kecacatan fizikal sebagai insan kerdil serta ejekan rakan sebaya tidak menjadi penghalang kepada Nurul Najiha Ishak, 16, mencapai kecemerlangan dengan keputusan 8A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang lalu.

Nurul Najiha berkata, cabaran yang dihadapi menjadikannya lebih bersemangat untuk bersaing dengan rakan-rakan lain bagi membuktikan dirinya juga mampu berjaya seperti insan normal lain.

Anak ketiga daripada lima beradik ini yang bercita-cita menjadi doktor berkata, resipi kejayaannya adalah dengan sentiasa menjaga hubungan di antara Tuhan dan manusia di samping usaha gigih dalam pelajaran.

“Memang ada rakan-rakan yang mengejek dan menghina kekurangan saya, tetapi saya sudah biasa dengan keadaan ini dan terus bertekad untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.

“Selain menumpukan perhatian sepenuhnya dalam proses pembelajaran, saya juga sentiasa menjaga hubungan dengan Tuhan iaitu menunaikan solat dan melakukan ibadat dengan sempurna.

“Selain itu, saya juga mengelakkan dari menyakiti hati orang lain dan berlaku baik terhadap kedua ibu bapa, keluarga serta orang di sekeliling,” katanya.

Anak kepada pasangan petani dan suri rumah yang berasal dari Tongkang Pecah, Batu Pahat ini berharap dia akan terus sukses dan menempa kecemerlangan pada masa akan datang bagi merealisasikan hasrat membantu masyarakat sebagai doktor.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Kecemerlangan Pelajar Istimewa PMR dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Peringkat Negeri Johor anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat, di sini, semalam.

Sementara itu, pelajar cemerlang SPM, Muhammad Azfar Firdaus Azlah, 18, berkata, pencapaian 9A dalam SPM tahun lalu menyuntik semangat kepadanya untuk terus mencapai kejayaan.

“Akibat penyakit albino, saya terpaksa belajar menggunakan teleskop di sekolah kerana menghadapi masalah penglihatan.

“Namun saya bersyukur dengan kehadiran keluarga, guru dan rakan-rakan yang tidak jemu memberi sokongan dan membantu saya dalam pelajaran,” katanya.

Muhammad Azfar yang berasal dari Kampung Api-api, Pontian ini berkata, beliau berhasrat untuk menyambung pelajaran ke luar negara dalam bidang ekonomi selepas kejayaan yang dikecapnya itu.

Anak Karim cemerlang SPM terima sumbangan – Utusan


Anak Karim cemerlang SPM terima sumbangan

KHAIR Najid Karim (tengah) menunjukkan sijil penghargaan yang diterima kepada ibu bapanya, Siti Hawa Mohd. Ariff (kanan) dan Karim Sulaiman pada Majlis Anugerah Ibu Bapa dan Pelajar Cemerlang SPM 2012 anjuran Khairul Group di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, semalam.

 

KUALA LUMPUR 5 April – Anak pemenang Anugerah Kajai 2001, Karim Sulaiman, 51, iaitu Khair Najib adalah antara pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diraikan oleh Khairul Group.

Khair Najib yang memperoleh 9A pada SPM lepas, menerima sumbangan RM500 yang disampaikan oleh Pengerusi Khairul Group, Datuk Khairul Anwar Rahmat di sini hari ini.

Karim yang menderita penyakit papular mucinosis turut hadir ditemani isterinya, Siti Hawa Mohd. Ariff pada majlis tersebut.

Menurut Siti Hawa, kejayaan Khair Najib, yang cacat tangan kanan, menjadi kebanggaan beliau dan suaminya yang tidak mampu bertutur dengan lancar dan perlu dibantu untuk menjamah makanan.

Maidam tawar pelajar cemerlang SPM belajar perubatan di Jordan – Bernama


Maidam tawar pelajar cemerlang SPM belajar perubatan di Jordan

31 Mac 2012

BESUT – Fatin Hamimi Abdullah, 17, pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 Terengganu yang memperoleh 11A+ ditawar mengikuti pengajian Ijazah Kedoktoran di bawah Program Sakit Puan oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Jika menerima tawaran itu, Fatin Hamimi dari SMKA Nurul Ittifaq, Kuala Besut, akan memulakan pengajian di Universiti Sains Teknologi Jordan pada September ini.

Surat tawaran itu diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Wan Harujan Sulaiman kepada Fatin Hamimi di rumahnya di Kampung Gong Manak, Kuala Besut di sini hari ini.

Anak kedua daripada enam beradik pasangan guru itu memperolehi A+ dalam Fizik, Kimia, Biologi, Matematik Tambahan, Matematik Moden, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Al-Sunnah dan Al-Quran, Pendidikan Syariah Islamiah dan Bahasa Arab Tinggi.

Pelajar itu akan diminta mengikuti kursus permulaan di Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) Kuala Terengganu selama sebulan dari 4 Jun hingga 5 Julai sebelum berlepas ke Jordan pada September.

Wan Harujan berkata pihaknya memilih pelajar itu setelah mendapatinya seorang yang konsisten dengan pencapaian cemerlang semasa ujian akhir di sekolah sehinggalah keputusan SPM sebenar.

Katanya, Fatin Hamimi antara tiga pelajar dari negeri ini yang ditawarkan  mengikuti kursus tersebut sebagai usaha kerajaan negeri untuk melahirkan anak tempatan yang pakar dalam bidang sakit puan.

Menurutnya, ini kali kedua Maidam menawarkan peluang itu dengan kumpulan pertama tiga pelajar cemerlang SPM telah menerima tawaran sama tahun lalu.

Sementara itu, Fatin Hamimi yang terkejut dengan tawaran itu berkata dia bersyukur kerana terpilih untuk mengikuti kursus perubatan di Jordan sebagaimana yang dicita-citakannya selama ini.

Dia berjanji akan melakukan yang terbaik dan berharap merealisasikan hasratnya menjadi pakar sakit puan yang dapat memberi khidmat kepada golongan memerlukan. – Bernama