Kertas siasatan kes buli selesai – Utusan


Kertas siasatan kes buli selesai

PULAU PINANG 13 April – Kertas siasatan berhubung kes buli membabitkan sekumpulan pelajar sekolah menengah di Seberang Jaya yang kejadiannya dirakam dan disebarkan dalam laman sosial Facebook baru-baru ini telah siap dan telah dihantar kepada pihak pendakwa raya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, polis telah merekodkan sebanyak 14 keterangan berhubung kes berkenaan dan sedang menunggu arahan pihak pendakwaan untuk tindakan selanjutnya.

“Antara yang direkod keterangan termasuklah beberapa pelajar, doktor, guru sekolah berkenaan dan kesemua ibu bapa pelajar terbabit,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Peringkat Kontinjen negeri di sini hari ini.

Kes buli berkenaan menjadi perhatian ramai selepas rakaman video insiden itu disebarkan dalam laman sosial Facebook sehingga mendapat komen negatif pelbagai pihak yang kesal dengan kejadian itu.

Rabu lalu, Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Ahmad Tarmizi Kamaruddin mengesahkan tiga orang pelajar yang terbabit dalam kes itu telah dibuang sekolah setelah didapati bersalah kerana memukul seorang pelajar.

Mazlan berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merusuh.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130414/je_03/Kertas-siasatan-kes-buli-selesai#ixzz2QOWJhDjk
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sekolah kekurangan murid tidak akan ditutup – Utusan


Sekolah kekurangan murid tidak akan ditutup

BATU PAHAT 6 Jan. – Kementerian Pelajaran tidak akan menutup sekolah kekurangan murid (SKM) selagi tidak mendapat persetujuan ibu bapa pelajar walaupun terpaksa menampung kos yang tinggi bagi memastikan sekolah tersebut terus beroperasi.

Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, selain komitmen kerajaan untuk memberi pendidikan kepada rakyat, negara juga telah menandatangani perjanjian dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk menggunakan dasar Pendidikan Untuk Semua.

Menurutnya, kewujudan SKM berpunca daripada penutupan ladang-ladang yang dimajukan, sekolah di pulau-pulau kecil dan kawasan pedalaman yang kian ditinggalkan.

“Pihak kementerian akan hanya menutup atau menggabungkan SKM sekiranya keluarga pelajar bersetuju untuk berpindah dan pada masa sama mereka tidak menanggung beban untuk ke sekolah baru,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sijil penghargaan dan cenderamata kepada seramai 541 pelajar cemerlang Parlimen Batu Pahat dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2012 di Dewan Jubli Intan di sini hari ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130106/dn_27/Sekolah-kekurangan-murid-tidak-akan-ditutup#ixzz2HG7ZKEpT
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pengetua tunai nazar murid – Sinar Harian


Pengetua tunai nazar murid

WARTAWAN SINAR HARIAN
30 Disember 2012
Pengetua tunai nazar murid
Mohammad Zalkornain (kiri) mencukur rambut Meor sambil dibantu pemandu peribadinya, Abd Hadi Idris.

MANJUNG – Permintaan pelik seorang pelajar untuk dibotakkan kepala oleh pengetua sekolahnya selepas memperoleh keputusan 8A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) akhirnya ditunaikan.

Meor Muhammad Emmier Asyraf Rostam Affandi, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Shahriman, Beruas, berkata, dia bernazar untuk membotakkan kepalanya itu jika mendapat keputusan A bagi semua subjek dan bersyukur ia dimakbulkan malah dia diumumkan antara pelajar cemerlang sekolah tersebut.

Bagi menunaikan hasrat itu, bekas Pengetuanya, Mohammad Zalkornain Jaafar yang kini menjawat jawatan Pegawai Pelajaran Daerah Perak Tengah dengan rela hati membotakkan rambut anak muridnya itu.

“Dalam sejarah hidup saya, belum pernah lagi menggunting rambut orang apatah lagi membotakkan kepala. Tapi saya buat juga memandang ia nazar anak murid saya.

“Dia (Meor) memang pelajar harapan dan pelajar cemerlang di sekolah. Saya bangga dengan kejayaan anak-anak murid saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Meor berkata, tindakan bernazar itu dibuat kerana menganggap bekas pengetuanya itu sebagai idola dan sumber inspirasi kepada kejayaan.

Menurutnya, kejayaan memperoleh 8A itu adalah hadiah yang paling istimewa daripadanya untuk Mohammad Zalkornain.

Jumlah Pelajar Catat Semua A Dalam PMR Merosot – mStar


Jumlah Pelajar Catat Semua A Dalam PMR Merosot

Oleh PRIYA KULASAGARAN

PUTRAJAYA: Jumlah pelajar yang mendapat gred A bagi semua mata pelajaran dalam ujian Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini merosot berbanding tahun lalu.

Seramai 30,474 daripada 440,643 calon yang menduduki peperiksaan itu mencatat gred A bagi semua matapelajaran, menunjukkan penurunan sebanyak 0.85% berbanding 2011.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Amin Senin berkata keputusan itu perlu dianalisis dengan lebih lanjut untuk menjelaskan mengenai kemerosotan tersebut.

“Sama ada ia adalah prestasi keseluruhan atau pelajar cemerlang dalam mata pelajaran individu, kita perlu melakukan kajian secara menyeluruh untuk menerangkan pencapaian para pelajar,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan keputusan itu disini pada Rabu.

Sementara itu, hanya 241 calon memperoleh keputusan gred E dalam semua mata pelajaran berbanding 346 calon tahun lalu.

Kemahiran jamin masa depan pelajar tak minat akademik – Sinar Harian


Kemahiran jamin masa depan pelajar tak minat akademik

WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Februari 2012

SEGAMAT – Pelajar yang kurang berminat dalam pelajaran disarankan mengambil inisiatif lain seperti mengikuti modul kemahiran bagi menambahkan ilmu selain sebagai bekalan masa depan mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemelah, Datuk Ayub Rahmat berkata, bidang kemahiran tidak pernah dipinggirkan sebaliknya telah banyak melahirkan pelajar yang berjaya dari segi pertukangan, pembinaan dan pendawaian elektrik.

“Bidang kemahiran adalah platform khas bagi mereka yang kurang berminat dalam akademik agar golongan ini mempunyai hala tuju hidup meskipun mereka tidak memiliki kelulusan tinggi,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Menurutnya, bagi pelajar yang lemah dalam pelajaran dan hanya berminat dengan sukan pula, mereka perlu berusaha gigih mencapai kejayaan dalam sukan yang dipilih kerana ruang untuk memiliki masa depan yang cerah terbuka buat mereka selain bidang berkenaan juga mampu memberikan pulangan lumayan buat mereka.

Terdahulu, Ayub menyampaikan anugerah kecemerlangan kepada seramai 74 pelajar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2011 di bawah Dewan Undangan Negeri (Dun) Kemelah sebagai tanda penghargaan atas kejayaan mereka melakar kecemerlangan dalam peperiksaan berkenaan.

Beliau berkata, peningkatan kejayaan pelajar ini menunjukkan ada pendedahan yang boleh diteruskan selain pelajaran pada waktu sekolah untuk memperluaskan lagi medan ilmu mengikut rentak dunia pembelajaran masa kini
“Pada setiap tahun, di bawah Dun Kemelah disediakan peruntukan sebanyak RM3,000 bagi setiap sekolah rendah dan sebanyak RM5,000 bagi sekolah menengah untuk menjayakan kelas tambahan dan aktiviti pelajar.

“Setiap tahun ada peningkatan kecemerlangan dengan 60 peratus lebih ramai berbanding tahun sebelumnya dan ini atas usaha guru di samping ibu bapa dan pelajar sendiri yang mahukan kejayaan,” katanya.

Pada masa sama, pelajar cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Dun Kemelah turut menerima anugerah kecemerlangan dan peruntukan RM10,000 diberikan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Segamat Baru.

Pelajar cemerlang, adik rentung – Berita Harian


Pelajar cemerlang, adik rentung 
Oleh Poliana Ronnie Sidom

2012/01/16

TAWAU: Kegembiraan Andi Herah Andi Muddah, 19, untuk mendaftar di Kolej Perubatan MAHSA di Kota Kinabalu akhir bulan ini tidak kesampaian apabila pelajar cemerlang itu ditemui rentung bersama seorang adiknya dalam kebakaran yang memusnahkan lapan rumah di Blok 5, Kampung Titingan di sini, awal pagi semalam.

Mayat anak kedua daripada lima beradik itu ditemui rentung dalam keadaan berpelukan dengan adiknya, Andi Putri Intan, 6, dalam kejadian kira-kira jam 3.45 pagi.

Andi Herah dijadualkan melapor diri di Kolej MAHSA pada 28 Januari ini. Kebakaran itu turut menyebabkan 74 penghuni daripada 23 keluarga tinggal sehelai sepinggang.

Kedua-dua mangsa tinggal bersama ibu bapa dan dua beradik lagi di tingkat bawah rumah manakala 11 saudara termasuk nenek mereka menetap di tingkat atas.

Difahamkan, bapa mangsa, Andi Muddah Manawang, 51, cuba menendang pintu bilik untuk menyelamatkan kedua-dua anaknya tetapi tidak berjaya kerana terkunci rapat manakala api semakin marak.

Nenek mangsa, Rahmah Beddu Rahman, 65, berkata beliau nyenyak tidur bersama tiga cucu berusia satu, tiga dan enam tahun sebelum menyedari kediaman mereka dijilat api.

“Saya tersedar apabila terdengar jeritan di luar rumah disusuli letupan kuat. Saya bingkas bangun dan menarik ketiga-tiga cucu sebelum membawa mereka turun secara mengengsot melalui tangga dapur,” katanya di sini, semalam
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Rudy Fredzek, ketika dihubungi Berita Harian berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.50 pagi dan menghantar dua jentera bersama 21 anggota ke lokasi kebakaran.

“Api marak terlalu cepat berikutan kedudukan rumah yang rapat dan struktur papan memudahkan kebakaran merebak. Kita berjaya mengawal kebakaran pada jam 4.52 pagi,” katanya sambil menambah kebakaran turut memusnahkan sebuah kereta dan lori milik penduduk.