Pelajar dakwa dirogol bekas teman lelaki – Utusan


Pelajar dakwa dirogol bekas teman lelaki

 

Oleh MALINDA ABDUL MALIK

PULAU PINANG 21 Jun – Seorang pelajar sekolah berusia 17 tahun menjadi mangsa rogol bekas teman lelakinya selepas tidak sedarkan diri sebaik sahaja minum air yang dipercayai mengandungi pil khayal.

Kejadian berlaku pada 10 Mei lalu kira-kira pukul 8 malam semasa mangsa keluar dengan suspek yang berusia lingkungan 20-an untuk makan malam.

Semasa dalam perjalanan, suspek memberhentikan keretanya di sebuah stesen minyak untuk membeli air mineral untuk mangsa.

Selepas meminumnya, mangsa tidak sedarkan diri.

Sebaik sedarkan diri kira-kira tiga jam kemudian, mangsa mendapati dirinya berada di dalam bilik sebuah hotel di Jalan Raja Uda, Butterworth dalam keadaan berbogel.

Mangsa kemudian dihantar pulang oleh suspek dan diugut supaya tidak memberitahu kejadian kepada sesiapa.

Kelmarin, mangsa membuat laporan di Balai Polis Tasek Gelugor kerana berasa tidak puas hati dengan tindakan suspek.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Nasir Salleh ketika dihubungi Utusan Online mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

“Pihak polis kini memburu suspek bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130621/je_12/Pelajar-dakwa-dirogol-bekas-teman-lelaki#ixzz2WrAkb0xG
© Utusan Melayu (M) Bhd