Pelajar dicabul waktu tidur – Sinar Harian


Pelajar dicabul waktu tidur

WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Februari 2012

KUALA KANGSAR – Tiga pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah di sini, berasa hairan apabila alat sulit dan buah dada mereka berasa sakit sebaik sahaja tersedar daripada tidur, ketika bermalam di asrama sekolah itu kelmarin.

Bimbang sesuatu tidak diingini berlaku ke atas diri mereka, salah seorang daripada pelajar berkenaan membuat laporan polis mendakwa dicabul ketika sedang tidur.

Ketua Polis Daeah Kuala Kangsar, Superitendan Abdul Gaffar Mohamad berkata, pelajar terbabit turut mendakwa dipukau sehingga tidak sedar diperlakukan sedemikian.

Menurutnya, pelajar itu mengesyaki ada beberapa orang lelaki lelaki menceroboh bilik mereka kerana salah seorang rakannya ternampak kelibat lelaki itu beberapa jam sebelum kejadian.

“Pada jam 3 pagi salah seorang pelajar melihat kelibat lelaki masuk ke asrama terbabit kemudiannya melarikan diri.

“Dua daripada pelajar berkenaan mengalami rasa sakit di bahagian alat sulit, manaka seorang lagi sakit di bahagian payu dara.

“Salah seorang mangsa bersama ibu bapanya yang juga mewakili dua rakan lain telah membuat laporan polis pada jam 2 petang.

“Selain mengadu rasa sakit, telefon bimbit milik ketiga-tiga mangsa juga turut lesap,”katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Tambahnya, susulan laporan itu, empat lelaki berusia 16 hingga 23 tahun ditahan untuk membantu siasatan.

“Empat lelaki itu yang bekerja di kantin asrama berkenaan telah ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut.

“Mereka disyaki terlibat apabila rakan mangsa terlihat ada lelaki melarikan diri ke arah kantin asrama.

“Kesemua pelajar terbabit dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk pemeriksaan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.