Pelajar korban terbaru H1N1, sekolah ditutup – Utusan Malaysia


Pelajar korban terbaru H1N1, sekolah ditutup

Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL
pengarang@utusan.com.my

Pelajar diarah pulang selepas sekolah diarah tutup setelah seorang daripada mereka menjadi korban terbaru H1N1 manakala seramai 149 lagi menunjukkan gejala serupa di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sungai Long, Kajang, Selangor, semalam. – China Press


KUALA LUMPUR 2 Mac – Seorang pelajar perempuan tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sungai Long, Kajang menjadi korban terbaru wabak Influenza A (H1N1).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, ekoran penularan terbaru itu, kementerian mengarahkan sekolah berkenaan ditutup buat sementara waktu sebagai langkah berjaga-jaga.
“Kementerian telah menghantar sepasukan pemantau ke sekolah berkenaan dan pemeriksaan mendapati 15 pelajar menunjukkan gejala H1N1 seperti demam dan batuk.
“Pada hari ini pula, seramai 149 lagi pelajar menunjukkan gejala serupa manakala dua guru sekolah itu juga diberikan cuti sakit,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas mengenai kematian terbaru itu, Tiong Lai berkata, pelajar itu pada mulanya hanya mengalami batuk dan dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Saya nasihatkan semua orang sentiasa berwaspada dan mengamalkan kebersihan diri. Jangan ambil mudah jika terdapat tanda-tanda seperti itu,” katanya.