Pelajar lahir anak dalam tandas – Utusan


Pelajar lahir anak dalam tandas

KUALA LUMPUR 17 Ogos – Seorang pengawal keselamatan di sebuah sekolah di Kajang dekat sini, tidak menyangka bunyi tangisan yang didengarnya awal pagi ini, datang daripada bayi yang baru dilahirkan oleh seorang pelajar di asrama sekolah tersebut.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab, bunyi yang didengar pukul 5 pagi itu, mengejutkan pengawal yang bertugas tersebut lalu dia pergi memeriksa di asrama terbabit.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bunyi itu datang dari sebuah tandas di asrama tersebut yang berkunci.

“Terdapat seorang pelajar tingkatan lima di dalamnya namun remaja itu enggan membuka pintu sehingga memaksa pengawal terbabit menghubungi guru.

“Guru itu akhirnya berjaya memujuk pelajar berusia 17 tahun itu yang melahirkan seorang bayi perempuan. Pelajar itu kemudian dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Kajang untuk rawatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ab. Rashid memberitahu, pelajar perempuan itu mendakwa dia dirogol dua lelaki tidak dikenali di Taman Kajang Utama, di sini pada November lalu.

“Tetapi tiada laporan yang dibuat terhadap kes rogol itu,” jelasnya dan memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun serta boleh dikenakan sebatan.