Pelajar maut elak nangka atas jalan – Berita Harian


Pelajar maut elak nangka atas jalan

2011/04/07

BACHOK: Akibat hendak mengelak sebiji nangka gugur atas jalan, seorang pelajar maut, selepas motosikal dibonceng bersama rakannya merempuh sebuah pokok, di Kampung Seneng, Jelawat, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, Anuar Ali, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jelawat, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala, manakala rakannya, Mohd Azrizal Azlan, 15, yang menunggang motosikal itu, cedera pada di kening.

Ibu mangsa, Rohimah Abdullah, 57, berkata sebelum kejadian, anak bongsu daripada sembilan beradik itu bersama rakan baru menikmati mi rebus di Kampung Seneng dan membonceng bersama rakannya untuk pulang ke rumah di Kampung Cabang Tiga Bator, dekat sini.Katanya, ketika dalam perjalanan itu, Mohd Azrizal cuba mengelak sebiji nangka yang tiba-tiba gugur di atas jalan, menyebabkan motosikal ditungganginya bersama mangsa terbabas sebelum merempuh sebatang pokok berhampiran jalan kampung itu.

“Akibat rempuhan kuat itu, arwah yang membonceng, cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Mohd Azrizal mengalami kecederaan di kening dan menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian,” katanya.

“Kebiasaannya, setiap kali selesai waktu persekolahan, arwah anak bongsu itu akan tiba ke rumah jam 3 petang, namun kelmarin, saya terkejut menerima berita malang itu dari seorang rakan arwah jam 3.20 petang, lalu bergegas bersama suami, Ali Abdul Rahman, 65, ke tempat kejadian dan melihat arwah ketika itu dalam keadaan tenat sebelum meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam/Trafik Negeri, Superintendan Azli Md Nor, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan itu.