Pelajar maut motosikal bertembung ambulans – Kosmo


Pelajar maut motosikal bertembung ambulans

 

Oleh NORLIDA AKMAR IDROS
norlida.idros@kosmo.com.my

 

ALOR SETAR – Seorang pelajar tingkatan satu maut apabila motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah ambulans yang dalam perjalanan mengambil seorang pesakit di persimpangan jalan ke Kampung Pokok Asam, Jalan Langgar di sini malam kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 8 malam itu, mangsa, Muhammad Mu’az Johari, 13, dari Kampung Alor Raja, Jalan Langgar, mengalami kecederaan parah di kepala dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Mangsa yang tidak sedarkan diri dikejarkan menggunakan ambulans sama yang terlibat dalam kemalangan itu.

Muhammad Mu’az bagaimanapun meninggal dunia kira-kira pukul 10 pagi semalam ketika mendapatkan rawatan di HSB.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd. Jan memberitahu, kejadian berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kris bertembung dengan ambulans dari HSB yang ketika itu mahu membelok ke satu simpang.

“Kita dimaklumkan bahawa ketika kejadian, beberapa kereta telah berhenti dan memberi laluan kepada ambulans untuk membelok ke simpang menghala Kampung Pokok Asam.

“Bagaimanapun, ketika ambulans itu membelok, sebuah motosikal ditunggang mangsa secara tiba-tiba datang dari arah bertentangan dan bertembung dengan ambulans tersebut,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Kata beliau, mangsa yang dipercayai tidak memakai topi keledar mengalami kecederaan parah di kepala akibat hentakan kuat pada cermin ambulans selain kaki kanannya patah.

“Pemandu ambulans dan tiga pegawai perubatan di dalam ambulans tidak mengalami kecederaan dan keterangan sudah diambil daripada mereka,” ujarnya sambil memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pelajar maut motosikal bertembung ambulans – Bernama


Pelajar maut motosikal bertembung ambulans

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ALOR SETAR: Seorang pelajar tingkatan satu terbunuh selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah ambulans Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) yang dalam perjalanan untuk mengambil seorang pesakit dekat sini malam tadi.

Kejadian berlaku di persimpangan Kampung Pokok Asam pada 8 malam tadi ketika Muhammad Mu’az Johari, 13, dipercayai dari arah Pekan Langgar tidak sempat mengelak sebuah ambulans yang sedang membelok masuk ke kampung itu untuk mengambil pesakit.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan berkata Muhammad Mu’az, dari Kampung Alor Raja, Langgar dekat sini, cedera parah di kepala selain patah kaki kanan.

“Ambulans yang membawa tiga pegawai perubatan itu kemudiannya membawa mangsa ke hospital tetapi dia meninggal dunia pukul 10 pagi tadi di HSB,” katanya kepada pemberita.

 
Adzaman berkata pemandu serta tiga pegawai perubatan yang berada dalam ambulans itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kita sudah mengambil keterangan pemandu ambulans tersebut dan sekarang ini kita menunggu bapa mangsa datang memberi keterangan,” kata Adzaman.

Beliau berkata menurut keterangan yang diberi oleh pemandu ambulans berkenaan, ketika dia mahu membelok masuk ke kampung itu, semua kenderaan dari kedua-dua arah telah memberi laluan tetapi tiba-tiba sebuah motosikal datang lalu merempuh bahagian depan ambulans. – BERNAMA