Kerajaan salur RM1 juta setahun bantu pendidikan Orang Asli di Kelantan – Bernama


Kerajaan salur RM1 juta setahun bantu pendidikan Orang Asli di Kelantan

27 Januari 2013

GUA MUSANG – Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) membelanjakan RM1 juta setahun bagi program kemajuan pendidikan pelajar Orang Asli di Kelantan.

Adun Galas, Ab Aziz Yusof berkata, perbelanjaan itu tidak termasuk bantuan lain berjumlah puluhan juta ringgit setahun yang turut meliputi penyediaan peralatan sekolah dan makanan.

“Kerajaan berbuat demikian kerana mahu melihat pelajar kaum itu lebih maju dan berjaya dalam peperiksaan,” katanya pada majis Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan 2013 kepada Pelajar Sekolah Kebangsaan Pos Hendrop di sini, hari ini.

Ab Aziz yang juga Setiausaha Umno Gua Musang berkata, kerajaan turut menyediakan peruntukan bagi kelas dewasa Orang Asli yang dilaksana di beberapa sekolah berhampiran perkampungan masyarakat itu.

Beliau berkata, kerajaan sanggup berbuat demikian kerana tidak mahu kaum itu terus ketinggalan dalam arus pemodenan negara.

Katanya, bantuan juga sebagai penghargaan kerajaan persekutuan terhadap sokongan kuat mereka kepada Barisan Nasional (BN) pada setiap pilihan raya umum.

“Kita yakin Orang Asli di kawasan pedalaman daerah ini tidak mudah keliru dengan janji pemimpin pembangkang yang ingin melakukan perubahan jika menang kerusi Dun Galas pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Mereka harus ingat, selama Pas memerintah Kelantan lebih 20 tahun lalu, tidak ada kemajuan yang dilakukan untuk kaum terbabit, sebaliknya lebih banyak tanah yang dimajukan Orang Asli dirampas sebelum diserahkan kepada syarikat swasta bagi pembangunan ladang sawit,” katanya. – Bernama

4 lagi sekolah naik taraf K9 – Berita Harian


4 lagi sekolah naik taraf K9

2013/01/09 – 05:26:27 AM Oleh Matzidi DrisCetakEmel Kawan
Lingga: Empat lagi sekolah rendah pedalaman di Sarawak akan dinaik taraf menjadi Sekolah Model Khas Komprehensif K-9 (K9) bagi memastikan semua murid Tahun Enam memasuki Tingkatan Satu.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata tiga sekolah terletak di Baram iaitu Long Lamo, Long Kevok dan Long Jakitan, manakala satu lagi di Belaga iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Lusong Laku.

Beliau berkata, jika projek itu dilaksanakan nanti, Sarawak mempunyai lima sekolah jenis itu kerana pada tahun ini SK Long Bedian, Baram, memulakan K9 pada sesi persekolahan bermula 3 Januari lalu.

Katanya, model itu membolehkan sekolah menyediakan pendidikan daripada Tahun Satu hingga Tingkatan Tiga yang mengambil masa sembilan tahun di sekolah sama.

SK Long Bedian mengambil 94 pelajar Tingkatan Satu yang dibahagikan kepada tiga kelas.

Semua pelajar Tingkatan Satu adalah lepasan Tahun Enam SK Long Bedian, SK Long Pelutan, SK Long Luteng, SK Long Kevok dan SK Long Wat yang majoritinya suku kaum Penan, katanya selepas melawat SK Pulau Seduku, di sini, semalam.

Mohd Puad berkata, sekolah K9 adalah inisiatif Kementerian Pelajaran untuk merealisasikan pendemokrasian pendidikan dengan menyediakan peluang dan akses pendidikan lebih terancang kepada pelajar Orang Asli dan Penan.
Selain Sarawak, sebuah sekolah rendah di kawasan Orang Asli di Pekan Pahang iaitu SK Bandar Dua, Paloh Inai, juga dijadikan K-9 mulai tahun ini, katanya.