Pelajar pecut motor tanpa topi keledar – Harian Metro


Pelajar pecut motor tanpa topi keledar

Oleh Yusmawati Mhd Yusof
yusmawati@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MELAKA: Umpama undang-undang koboi. Itu ungkapan bagi menggambarkan suasana setiap kali tamat waktu sekolah di Jalan Paya Dalam/Bukit Lintang apabila kebanyakan pelajar sekolah di kawasan itu menunggang motosikal dengan memecut laju tanpa memakai topi keledar.

Tinjauan Metroplus mendapati, bukan hanya pelajar, ada juga ibu bapa mengambil sikap sambil lewa dengan melanggar peraturan dan membahayakan nyawa kerana menunggang tanpa topi keledar.
Segelintir pelajar lelaki juga dilihat menunjukkan aksi berani ala mat rempit di sekitar laluan berkenaan. Bahkan dengan selamba ada di antara mereka yang masih berbaju sekolah menunggang sambil menghisap rokok.

 

Tinjauan mendapati, tidak hanya keselamatan pelajar terutama yang berjalan kaki dan menaiki bas terancam dengan aksi penunggang motosikal, malah mereka juga gerun dengan tindakan pengguna jalan raya lain kerana memandu laju di kawasan berkenaan.
Difahamkan, lokasi terletak di kawasan kampung itu menjadi faktor mengapa pengguna jalan raya berani bertindak demikian hingga ada segelintir penunggang motosikal membonceng dua penumpang dalam satu-satu masa. Pelajar, Ayu Rohaina Mohd Khir, 13, berkata, biarpun suasana ‘pesta’ itu sudah menjadi kebiasaan bagi penunggang dan pemandu kenderaan apabila tamat sesi persekolahan, namun ia menimbulkan kebimbangan di kalangan pelajar lain khususnya mereka yang menggunakan laluan berkenaan.
Katanya, lebih menyukarkan keadaan sesak di hadapan pintu pagar sekolah dengan pelbagai kenderaan menyebabkan pandangan mereka terhad apatah lagi lokasi sekolah berada di selekoh menyebabkan pelajar sukar melintas jalan.

 

 

“Memang ada lintasan pejalan kaki dan pengawal keselamatan mengawal lalu lintas setiap kali waktu pulang, tetapi bagi mereka yang keluar lambat perlu melintas sendiri dan ia berbahaya kerana sikap pemandu di sini yang tidak mematuhi had laju.
“Kebiasaannya yang tidak menggunakan topi keledar adalah pelajar lelaki, malah pernah satu ketika pihak berkuasa menjalankan operasi lalu lintas di sini dan ramai dikenakan saman kerana tidak mempunyai lesen memandu,” katanya.

 

Tinjauan juga mendapati, ramai pembonceng tidak menggunakan topi keledar dan ada di antara motosikal dinaiki lebih daripada dua orang sehingga membahayakan nyawa mereka.
Sementara itu, pengguna jalan raya dikenali sebagai Mai, 42, berkata, apa yang lebih dibimbangkan adalah keselamatan pelajar sekolah rendah berhampiran yang turut menggunakan laluan berkenaan.
Menurutnya, pemantauan berterusan daripada pihak berkuasa perlu dilakukan bagi memastikan pengguna jalan raya mengikut peraturan dan keselamatan pelajar terjamin.
“Memang tamat waktu persekolahan mereka tidak sama tetapi kebiasaannya pada hari Jumaat pelajar sekolah menengah dan sekolah rendah ini hampir sama.
“Dengan kenderaan yang dipandu laju dan sikap penunggang motosikal pastinya ia berbahaya kepada kanak-kanak yang berjalan kaki dan menunggang basikal,” katanya.