Pelajar perempuan hilang selepas sekolah – Bernama


Pelajar perempuan hilang selepas sekolah

13/10/2011 3:44pm

 

KANGAR 13 Okt. – Seorang pelajar perempuan yang berbasikal ke sekolah pagi semalam dilaporkan hilang setelah tidak pulang ke rumah sehingga hari ini.

Bagaimanapun Nurul Nursyawaltie Mohd Sabri, 14, yang menetap di Taman Bukit Kayangan dekat sini dikatakan tidak berada di sekolahnya semalam dan basikalnya ditemui di sebuah kawasan perumahan berhampiran.

Bapanya, Mohd Sabri Samat, 35, yang ditemui di sini berkata, beliau menunggu anak sulungnya di lokasi basikal ditemui sehingga petang semalam namun kelibat anaknya tidak kelihatan.

Eksekutif produksi sebuah syarikat menjahit pakaian itu berkata, beliau telah membuat laporan polis awal hari ini.

Pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Putra itu dikatakan mempunyai sejumlah besar sahabat dalam laman sosial facebook.

Mohd. Sabri tidak menolak kemungkinan anaknya ke Pulau Pinang kerana mempunyai ramai kawan di negeri itu apatah lagi sebelum ini mereka sekeluarga menetap di sana.

Katanya, gambar Nurul Nusyawaltie telah disebar kepada rakan-rakannya melalui telefon bimbit sebagai langkah untuk mengesan anaknya. – Bernama