Pelajar ponteng kena baca al-Quran – Berita Harian


Pelajar ponteng kena baca al-Quran

2012/02/07

KOTA BHARU: Seramai 29 pelajar lelaki dari beberapa sekolah menengah di jajahan ini yang ditahan kerana ponteng, semalam diarah mengikuti kaunseling dan membaca al-Quran.

Semua pelajar terbabit ketika ditahan masih beruniform dan mereka dipercayai keluar tanpa pengetahuan sekolah, serta ada sudah membawa pakaian lain untuk menukarnya.

Kebanyakan yang ditahan dipercayai keluar untuk membeli dan menghisap rokok di tempat tersembunyi yang sering kali dijadikan `port’ ponteng bersama rakan lain.

Pengarah Pelajaran (JPN) Kelantan, Hussin Awang, berkata semua pelajar yang ditahan itu dibawa ke Masjid Mukim Telipot di sini, untuk diberi kaunseling dan diarah membaca al-Quran di bawah bimbingan imam masjid itu, Ahmad Yunus.

Pelajar terbabit yang berumur antara 15 dan 18 tahun itu ditahan di pusat beli-belah, taman perumahan dan surau.

“Kesemua pelajar menjalani ujian air kencing yang dilakukan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi mengesan sama ada mereka mengambil dadah.

“Ibu bapa pelajar juga dipanggil untuk datang bagi melihat sendiri keadaan anak mereka supaya tahu apa yang dilakukan pelajar terbabit,” katanya ketika ditemui, semalam.
Hussin berkata pelajar terbabit kemudiannya dibebaskan selepas diambil kenyataan dan latar belakang mereka oleh guru disiplin atau kaunselor untuk tindakan lanjut.

Operasi bersepadu yang dipanggil ‘Ops Ponteng” itu turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA), Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB), AADK serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK).