Pelajar sekolah dipercayai hanyut dibawa arus deras – Utusan


Pelajar sekolah dipercayai hanyut dibawa arus deras

Oleh ILAH HAFIZ AZIZ
KUALA LUMPUR 21 Julai – Seorang remaja lelaki dipercayai dihanyutkan arus deras Sungai Krayong selepas terjatuh dari longkang berhampiran Plaza Puteri di Taman Putra Ampang di sini.

Kejadian kira-kira pukul 6 petang itu dipercayai berlaku ketika hujan lebat dan remaja lingkungan usia 14 tahun itu juga dikatakan terjatuh selepas gagal melangkah sebuah lubang saliran di situ.

Remaja berketurunan Melayu itu difahamkan masih berpakaian baju sekolah dan orang ramai gagal menyelamatkan mangsa kerana dia terus menggelongsor masuk ke sungai sebelum hilang dari pandangan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Pandan Indah, Mazlan Zainol berkata, seorang wanita telah menghubungi bilik gerakan kira-kira pukul 6.44 petang dan sepasukan anggota bomba telah dikerahkan ke tempat kejadian.

Bagaimanapun, usaha mengesan mangsa gagal tetapi polis dengan bantuan jentera Balai Bomba Jelatek dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) menjalankan operasi di sungai terbabit.

“Kami menyusuri kira-kira 10 kilometer hingga ke Taman Maluri dan mencari mangsa di tebing-tebing sungai berkenaan.

“Bagaimanapun mangsa masih belum dijumpai meskipun telah mencari di kawasan perangkap sampah di beberapa tempat,” katanya.

Katanya, setakat ini bomba mahupun polis masih belum mendapat maklumat lengkap tentang mangsa.

” Operasi terpaksa dihentikan kira-kira pukul 12 malam dan akan bersambung hingga ke Sungai Besi pada pukul 8 pagi esok,” katanya. – UTUSAN